Mohd Shahrizal Nasir
Kini anak-anak sedang berada dalam musim sekolah. Inilah masa yang ditunggu-tunggu oleh anak-anak kita kerana mereka mempunyai masa untuk berehat setelah menjalani proses pembelajaran sepanjang sesi persekolahan yang lepas. Biasanya anak-anak telah pun mempunyai perancangan sendiri berkaitan aktiviti yang ingin mereka lakukan sepanjang musim cuti persekolahan.
Ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam memandu anak-anak untuk mengisi masa cuti mereka dengan perkara yang berfaedah. Anak-anak tidak boleh diberi kebebasan secara mutlak untuk berbuat apa sahaja mengikut perancangan mereka sendiri. Usia anak-anak yang masih di bangku sekolah amat muda untuk dibiarkan menentukan perkara yang mereka ingin lakukan tanpa pengawasan dan pengawalan ibu bapa.
Dengan kecanggihan media sosial dan teknologi komunikasi hari ini, anak-anak terdedah dengan pelbagai maklumat yang sukar untuk dikawal. Jika ibu bapa leka dalam mengawasi perilaku anak-anak, dikhuatiri mereka mudah terjebak dengan perkara yang tidak berfaedah malah membawa mudarat kepada proses perkembangan sahsiah mereka Usah biarkan mereka leka dengan gajet masing-masing terutama telefon pintar. Hal ini kerana ia menyumbang kepada berlakunya perkara negatif seperti anti sosial, pembaziran masa, pengabaian ibadah dan sebagainya.
Meskipun ramai dalam kalangan ibu bapa yang bekerja semasa musim cuti sekolah, masa untuk anak-anak perlu diambil perhatian sewajarnya. Manfaatkanlah masa cuti sekolah ini untuk meluangkan masa berharga bersama anak-anak dan seluruh ahli keluarga. Ibu bapa perlu mencari masa untuk dimanfaatkan bersama anak-anak. Inilah yang akan menjadikan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak menjadi bertambah akrab.
Rancanglah aktiviti yang bermanfaat bersama anak-anak. Tidak semestinya aktiviti itu memerlukan belanja yang besar seperti bercuti di luar negara atau pergi ke tempat-tempat percutian. Boleh sahaja masa diambil untuk membawa anak-anak bercuti di kampung halaman atau membawa mereka mengikuti ceramah atau kuliah agama di masjid. Meskipun aktiviti sebegini kelihatan amat ringkas namun faedahnya amat bermakna.
Paling tidak pun, ibu bapa perlu memanfaatkan waktu antara Maghrib dengan Isyak dengan aktiviti-aktiviti yang boleh memberi santapan rohani kepada anak-anak. Mungkin boleh membaca al-Quran dan terjemahan secara berjemaah, membaca hadis Rasulullah SAW, membaca sirah kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda atau tazkirah ringkas tentang apa sahaja nasihat yang baik. Hal ini tidak memerlukan ibu bapa memiliki ijazah dalam bidang Pengajian Islam sebelum melakukannya. Semua aktiviti tersebut boleh dilakukan dalam rumah masing-masing.
Allah SWT mengingatkan ketua keluarga agar memastikan ahli keluarga sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan dijauhkan daripada perkara yang boleh membawa mereka ke neraka. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya (terdiri daripada) manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)
Waktu antara Maghrib dengan Isyak merupakan antara waktu yang sangat sesuai untuk mengajak anak-anak agar meninggalkan seketika aktiviti seperti menonton televisyen, bersembang kosong, leka dengan gajet dan sebagainya. Masa ini perlu diisi dengan aktiviti-aktiviti yang boleh mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT. Meskipun masa ini agak singkat namun ia amat berharga.
Memandangkan jarak masa antara Maghrib dengan Isyak yang singkat, maka seluruh ahli keluarga boleh sama-sama mendapat doa malaikat kerana menunggu waktu solat. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Tidaklah seseorang di antara kalian duduk menunggu solat, selama dia berada dalam keadaan suci, melainkan para malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah, sayangilah dia.'” (Hadis riwayat Muslim)
Selain itu, masa cuti sekolah juga boleh dimanfaatkan dengan aktiviti berfaedah lain seperti beriadah, menziarahi saudara mara dan jiran tetangga, menyertai aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya. Anak-anak tidak boleh dibiarkan hanyut dengan kehidupan sendiri bersama gajet mereka. Sebaliknya mereka perlu digalakkan agar bercampur dengan masyarakat setempat melalui program bermanfaat seperti gotong-royong dan sebagainya.
Setiap ibu bapa menggalas tanggungjawab yang besar terhadap proses pembesaran anak-anak mereka. Anak-anak perlu dinasihatkan agar menjauhkan diri mereka dengan perkara negatif dengan sentiasa memberi pesanan dan peringatan kepada mereka.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Kalian semua adalah pemimpin dan kalian akan diminta pertanggungjawaban atas yang dipimpin. Penguasa adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas yang dipimpin. Dan seorang lelaki adalah pemimpin dalam keluarganya dan akan diminta pertanggungjawaban atas yang dipimpin.” (Muttafaq ‘alaih)
Ingatlah bahawa ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan anak-anak mereka sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Usah hanya menyerahkan kepada pihak lain untuk menjaga dan mendidik anak sepenuh masa. Sepanjang musim persekolahan, anak-anak diasuh dan dididik oleh guru mereka di sekolah. Maka musim cuti sekolah ini perlu dimanfaatkan sebaiknya agar anak-anak dapat menyaksikan kesungguhan ibu bapa sendiri dalam membesarkan mereka sehingga dapat menjadi insan yang baik.
Kita perlu khuatir jika anak-anak tidak berasa seronok ketika berada di rumah. Apabila mereka lebih suka berada di luar rumah berbanding di rumah sendiri, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan urus tadbir rumah kita. Anak-anak bukan memandang wang sebagai perkara utama namun masa dan kebersamaan dengan ibu bapa adalah perkara yang sangat mereka perlukan. Marilah kita menjadikan rumah sendiri sebagai madrasah untuk mentarbiah anak-anak agar menjadi hamba-Nya yang terbaik.
Rebutlah peluang masa cuti sekolah sekarang ini dengan melakukan aktiviti-aktiviti bermanfaat untuk anak-anak. Mereka merupakan waris kita yang amat berharga lebih-lebih lagi pada saat harta dan kemewahan dunia sudah tidak berguna lagi melainkan doa daripada anak-anak soleh. Nabi Ibrahim berdoa memohon dikurniakan anak-anak yang soleh sepertimana dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung daripada kalangan orang yang soleh.” (Surah as-Saffat, ayat 100)
Rasulullah SAW mengingatkan kita agar sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk ahli keluarga dan baginda sendiri telah menunjukkan contoh yang terbaik dalam hal ini. Sabda baginda yang bermaksud: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya. Aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)