BERSAMA Aisyah Jamilah Bt Moh shin
Peristiwa agung pada 27 Rejab yang perlu dihayati oleh semua umat Islam iaitu berkaitan pensyariatan ibadat solat semasa peristiwa Israk Mikraj, sekali gus menjadi elemen terpenting dalam peristiwa berkenaan. Sayang dan kasihnya Nabi Muhammad SAW kepada umatnya dengan memohon kepada Allah SWT untuk diringankan ibadah solat fardu yang pada asalnya diperintahkan 50 waktu sehari semalam hingga menjadi lima waktu sahaja. Hal ini berikutan Nabi Muhammad SAW memikirkan keadaan umatnya yang lemah dan tidak mampu melaksanakan ibadah solat yang banyak itu. Oleh itu, selaku umat Islam peristiwa itu menuntut kita untuk menyemak dan menilai kembali pelaksanaan ibadat solat dalam kehidupan seharian.
Tujuan pensyariatan solat kepada umat Nabi Muhammad SAW adalah untuk mewujudkan hubungan yang akrab antara seorang hamba dengan Khaliqnya sebagai tanda pengakuan atau ikrar kehambaan serta kerendahan diri seorang hamba kepada Tuhannya. Selain itu, ia berperanan untuk menzahirkan rasa kesyukuran atas pelbagai nikmat dan rahmat yang dikurniakan. Hal ini juga menjadikan solat sebagai tonggak agama sebagai satu daripada Rukun Islam seperti yang dijelaskan dalam satu hadis:
“Islam didirikan di atas lima perkara, penyaksian bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan Muhammad itu hamba dan utusan-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada Ramadan dan mengerjakan haji.” (Riwayat Bukhari)
Tambahan itu juga, solat menjadi perkara pertama yang akan dinilai di akhirat kelak. Seperti dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara pertama yang akan dinilai di akhirat daripada amalan seseorang hamba itu ialah solat. Jika baik solatnya, maka dia akan berjaya dan selamat, sekiranya buruk solatnya, maka dia akan menyesal dan rugi.”
Bagi memperoleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan akhirat, solat tidak cukup sekadar dihayati melalui anggota zahir seperti rukuk, sujud, tahiyat dan sebagainya, tetapi perlu dipastikan kesempurnaannya melalui adab secara batin iaitu melalui hati. Hati organ utama dalam memastikan kesempurnaan solat iaitu dengan menghadirkan sifat khusyuk.
Berkata Imam al-Ghazali dalam Kitab Ihya’ Ulumuddin, cara penghayatan solat yang perlu dilakukan supaya menjadi khusyuk adalah dengan melakukan beberapa perkara seperti berikut:
Pertama, menghadirkan hati dengan mengosongkannya daripada memikirkan kesibukan perihal dunia. Hati apabila tidak hadir dalam solat, tentulah tidak akan berdiam sahaja tanpa memikirkan apa-apa. Hati pasti berlegar-legar ke sana ke mari dan memikirkan sesuatu yang menjadi perhatian ke arah ia digunakan terutama berhubung dengan perkara keduniaan. Jadi, tidak ada penawar lain untuk menghadirkan hati melainkan dengan mengarahkan perhatian yang sepenuhnya kepada solat yang dilakukan. Perhatian ini tidak mungkin dapat diarahkan kepada solat dengan mudah jika tidak diinsafi dengan sebenarnya bahawa hati itu dituntut untuk cenderung ke arahnya. Perkara yang demikian boleh dilakukan dengan keimanan dan kepercayaan bahawa penempatan di akhirat adalah lebih baik dan kekal. Justeru solat jambatan dan wasilah untuk memperoleh kebahagiaan di sana.
Kedua, mempunyai pengetahuan yang mantap tentang makna bacaan dalam solat. Hal ini adalah suatu perkara yang mesti diketahui di sebalik kehadiran hati, yakni hatinya mengetahui pengertian seluruh lafaz yang diucapkan. Pengetahuan makna yang halus dan lembut sewaktu solat itu dapat mencegahnya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.
Ketiga, mengharapkan atau tamak kepada pahala yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sebagai imbangannya ialah takut terhadap seksaan-Nya, sehingga tidak akan melengah-lengahkan dalam melaksanakan sesuatu yang diperintahkan.
Keempat, malu yang timbul disebabkan berasa bahawa diri serba kekurangan dan tidak sempurna dalam mengerjakan segala perintah Allah SWT. Perasaan malu ini timbul atas dosa yang telah dilakukan.
Kesimpulannya kedatangan peristiwa Israk Mikraj menjadi detik sesuai untuk kita bermuhasabah dan melakukan refleksi diri terhadap pelaksanaan ibadat solat dalam kehidupan seharian.
Solat adalah platform paling tepat dan sesuai bagi seorang hamba berkomunikasi dengan Penciptanya. Solat yang khusyuk dan sempurna ekoran pemeliharaan adabnya kelak akan menjadikan seorang hamba mampu mencapai matlamat dan tujuan solat.
Natijahnya, solat mampu melahirkan insan yang bertakwa, beriman, memiliki hati yang bersih, tawaduk, mengakui kebesaran dan kekuasaan Allah selain suci jiwanya daripada nifak serta syirik.