Prof Madya Dr Mohd Shukri Hanapi
Rasuah merupakan antara perbuatan yang amat membahayakan perkembangan ekonomi dan kelicinan pembangunan masyarakat. Andainya amalan ini terus berleluasa, sudah pasti keharmonian sesebuah masyarakat akan terjejas. Bukan setakat itu, malah agama, keadaan rakyat, ekonomi dan sistem pentadbiran negara akan turut menjadi kucar-kacir.
Sebenarnya apabila timbul rasa ingin cepat kaya dalam kehidupan seseorang dan menganggap harta kekayaan sebagai matlamat penting dalam kehidupannya, maka dia akan sanggup melakukan apa sahaja untuk memenuhi keinginan dan mencapai matlamat tersebut. Antaranya seperti mengamalkan rasuah.
Perbuatan rasuah atau lebih dikenali dengan istilah ‘makan suap’ atau ‘suapan’ bukanlah suatu perkara baru dalam kehidupan masyarakat moden hari ini. Malah ia adalah satu penyakit sosial yang sudah lama merebak dalam masyarakat dan merosakkan nilai integriti mereka.
Berhubung hal ini, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang telah kami lantik untuk memegang sesuatu pekerjaan, yang kami tetapkan pula pendapatannya, jika dia mengambil lebih daripada (pendapatan) yang ditetapkan itu (iaitu dengan cara rasuah), dia adalah mencuri.” (Riwayat Abu Daud)
Kekayaan dan kemegahan hidup yang diperolehi dengan cara rasuah dan tidak berintegriti ini sangat dikutuk oleh Islam. Merujuk kepada sejarah kepemimpinan khalifah Islam, terutamanya kisah kepemimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz (682-720) yang merupakan antara khalifah yang memimpin kerajaan Islam Umayyah (beliau memerintah antara tahun 717 hingga 720 secara tegasnya menentang perbuatan rasuah ini. Khalifah Umar Abdul Aziz dikhabarkan sebagai seorang yang berhati-hati dalam urusan urus mengurus harta negara terutama yang membabitkan harta rakyat.
Berdasarkan sirah para khalifah Islam, ada dijelaskan bahawa Khalifah Umar Abdul Aziz bertindak menolak hadiah ketika menjadi khalifah Islam. Apabila beliau menolak pemberian hadiah itu, ada pihak yang berkata kepadanya “Rasulullah SAW ada menerima hadiah.” Lantas Khalifah Umar Abdul Aziz pun menjawab: “Apa yang diterima oleh Rasulullah SAW itu memang hadiah, tetapi yang diberikan kepada saya ini bukan hadiah. Pada saya ia adalah suapan (rasuah).”
Supaya lebih jelas lagi tentang pengertian rasuah, ingin ditegaskan bahawa ia bukanlah terhad kepada penerimaan wang sahaja, tetapi merangkumi perkara-perkara seperti tidak menjalankan tugas yang diamanahkan secara jujur dan tidak melakukan kebenaran dalam segala tingkah laku.
Pegawai-pegawai yang kurang bertanggungjawab atau menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepada mereka adalah salah satu sebab timbulnya perbuatan rasuah. Amalan rasuah suatu unsur penting yang boleh menghancurkan pembangunan ekonomi, masyarakat, agama dan negara.
Perbuatan rasuah akan berlaku apabila wujud orang-orang yang terlalu ingin mencari taraf hidup yang lebih tinggi daripada yang tersedia ada. Tambahan pula ia disertai dengan perasaan hendak menunjuk-nunjuk kemewahan tersebut, padahal perkara ini di luar kemampuannya. Untuk memastikan kemewahan yang diinginkan itu tercapai, lalu seseorang itu akan berusaha mencarinya walaupun dengan cara yang tidak jujur, iaitu rasuah.
Pegawai-pegawai yang ditugaskan untuk menguruskan kepentingan orang ramai wajib menjalankan segala tugas
dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab. Hal ini semata-mata untuk menjamin kebahagiaan dan keharmonian masyarakat dan seterusnya mewujudkan keamanan negara.
Seseorang pegawai itu boleh dikatakan bertanggungjawab sekiranya tugas yang dilakukannya semata-mata untuk kebajikan rakyat dan kerana Allah SWT, bukan kerana disogok atau diupah dengan cara tidak jujur untuk kepentingan diri sendiri. Segala macam bentuk hadiah dan buah tangan yang diberikan dengan tujuan untuk mempercepatkan sesuatu urusan orang-orang atau pihak-pihak tertentu, adalah dianggap rasuah.
Hidup mewah dengan hasil perbuatan rasuah amat dikutuk oleh Islam. Hidup mewah seperti itu hanya menurut kehendak hawa nafsu semata-mata. Padahal di sebalik kemewahannya itu berapa banyak pula harta, hak dan kepentingan orang lain terkorban. Mereka sebenarnya lupa akan segala azab dan sengsara yang akan mereka terima di akhirat nanti akibat perbuatan mereka sendiri itu.
Berhubung perkara ini, Rasulullah SAW memperingatkan umatnya yang dilantik menjadi pegawai-pegawai dan diamanahkan bagi menjalankan kerja-kerja untuk kebajikan orang ramai, supaya jangan menunjuk-nunjukkan hidup yang terlalu mewah.
Baginda SAW pernah bersabda kepada Mu’az bin Jabal RA ketika beliau dilantik menjadi Kadi di Yaman yang bermaksud: “Jauhilah daripada hidup dalam keadaan hidup yang serba mewah, kerana hamba Allah SWT yang setia bukanlah orang-orang yang hidup dalam keadaan yang serba mewah.” (Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal)
Mu’az bin Jabal RA mematuhi pesan dan nasihat Rasulullah SAW itu. Dia tidak menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa, jawatan dan tugas yang sudah diamanahkan kepadanya. Dia tidak ingin menjadi penyeleweng kerana bertuankan hawa nafsu. Kehidupan beliau tidak melebihi pendapatan yang diperolehi.
Oleh itu, beliau tidak termasuk dalam golongan yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Nanti akan ada orang-orang daripada umatku memakan sajian makanan dan minuman yang bermacam-macam serta memakai pakaian yang beraneka jenis dan mereka pandai pula bercakap, berbual dan memutarbelitkan kenyataan. Mereka itu adalah penjahat-penajahat dalam umatku.” (Riwayat al-Tabraniy)
Seorang pegawai Rasulullah SAW dari bahagian perbendaharaan negara setelah memungut cukai, dia kembali ke Kota Madinah untuk menyerahkan hasil pungutan kepada Rasulullah SAW. Pegawai itu berkata: “Wahai Rasulullah, ini hasil negara dan ini hadiah untuk saya”. Mendengar kata-kata itu, wajah Rasulullah SAW terus berubah, lalu Baginda SAW bersabda kepada orang ramai yang bermaksud: “Aku sudah melantik seorang pegawai untuk satu pekerjaan, sesudah bertugas dia datang dan berkata, ini untuk negara dan ini untuk saya, iaitu hasil hadiah daripada orang ramai. Andainya dia duduk di rumah ibu bapanya, adakah dia dapat hadiah jika ia jujur? Janganlah kamu mengambil sesuatu yang tidak hak bagi kamu.”
Selagi rasuah tidak dapat dihapuskan dalam sesebuah negara, selama itulah masyarakatnya akan berada dalam keadaan kucar-kacir. Tidak boleh dinafikan terdapat kes-kes pembunuhan akibat daripada perbuatan rasuah. Ini kerana perasaan tidak puas hati di pihak yang tertindas itu membuatkan mereka hilang pertimbangan, lalu melakukan perbuatan yang berlawanan dengan undang-undang yang tersedia ada.
Dalam sabdanya yang lain, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Bahawa dosa perbuatan rasuah itu sama-sama ditanggung oleh pihak yang memberi, yang menerima dan orang yang menjadi perantaraan dalam perbuatan rasuah itu”. Sementara hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad pula menjelaskan: “Tuhan melaknat orang-orang yang memberi rasuah, yang menerima dan menjadi perantaraannya.”
Kita sepatutnya meninjau kembali tujuan hidup kita yang sebenarnya. Menyelidik kembali akan hubungan kita dengan Allah SWT serta hubungan kita sesama manusia lain. Dengan demikian melalui kesedaran yang jujur dapatlah kita bersihkan diri dari segala perbuatan yang jijik itu.
Kesimpulannya, semua umat Islam di negara ini khususnya diseru agar menjauhkan diri daripada amalan rasuah kerana ia ditegah oleh Islam dan membuatkan hidup sengsara. Boleh dikatakan setiap pengamal rasuah akan sentiasa dibelenggu keresahan dan kebimbangan, malah sentiasa menganggap orang lain sebagai musuh yang ingin menjatuhkan dirinya.