Dr Mohd Khafidz Soroni
Antara hadis eskatologi Islam yang boleh dikaitkan dengan sistem pilihan raya dalam negara demokrasi ialah hadis daripada Abu Hurairah RA katanya: Sewaktu Nabi SAW berbicara dalam suatu majlis, tiba-tiba datanglah seorang Arab Badwi, lalu bertanya: “Bilakah hari kiamat itu?” Jawab Baginda: “Apabila amanah dipersia-siakan, maka tunggulah saat kiamat tiba.” Lalu seseorang bertanya: “Bagaimanakah ia dipersia-siakan?” Jawab Baginda: “Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kiamat tiba.” (Riwayat al-Bukhari)
Urusan tersebut boleh dikiaskan dengan undi yang diberikan kepada calon pemimpin dalam pilihan raya. Jika semua calon didapati layak tidaklah menjadi masalah. Namun, yang dikhuatiri jika ada calon yang tidak layak, maka undi yang diberikan boleh termasuk dalam perbuatan mempersia-siakan amanah. Perbuatan menyerahkan sesuatu urusan kepada orang yang tidak layak ini juga boleh berlaku dalam pelbagai aspek yang lain.
Hadis di atas mengkhabarkan, hilangnya sifat amanah merupakan antara tanda hampirnya hari kiamat hingga situasi menjadi terbalik, di mana orang yang amanah tidak lagi diangkat tinggi, sebaliknya orang yang khianat pula dipercayai. Lantaran itu, urusan yang diamanahkan tidak pun dilaksanakan dengan sepenuhnya.
Situasi ini berleluasa pada akhir zaman berpunca daripada penyakit hati yang sepatutnya dijaga dengan iman dan takwa, namun akibat diabaikan ia akhirnya bercampur dengan sifat hasad, tamak, haloba dan cinta kepada dunia. Apatah lagi apabila melihat peluang terbentang luas di hadapan mata. ‘Abdullah bin Mas’ud RA berkata: “Perkara pertama yang kamu sekalian akan kehilangan daripada agama kamu ialah sifat amanah, dan perkara terakhir yang kamu sekalian akan kehilangan daripadanya ialah solat.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah)
Amanah merupakan perkara pertama yang akan hilang sehingga akhirnya tiada lagi manusia yang bersifat amanah dan boleh dipercayai. Adakalanya orang yang didakwa bersifat amanah itulah orang yang sebenarnya tidak boleh dipercayai. Thabit al-Bunani, seorang tabiin terkenal berkata: “Boleh jadi seorang lelaki itu berpuasa dan bersolat, namun apabila diberikan sesuatu amanah, ia tidak pun menunaikannya.”
Huzaifah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sifat amanah itu telah diturunkan dalam lubuk hati kaum lelaki, kemudian mereka mempelajari al-Quran dan seterusnya mereka mempelajari as-Sunnah.” Katanya lagi, Baginda turut menceritakan kepada kami tentang terangkatnya amanah, lalu bersabda: “Apabila seseorang itu tidur nyenyak, maka sifat amanah itu dicabut daripada hatinya sehingga meninggalkan bekas seperti bekas lebam. Kemudian ia tidur nyenyak lagi dan amanah dicabut lagi sehingga meninggalkan bekas seperti melepuh di tangan, seperti bara api yang kamu gelekkan pada kakimu lalu melepuh. Walaupun kamu nampak melepuh sebenarnya tiada apa-apa pun di dalamnya. Maka, manusia selanjutnya saling mengikat janji, sedangkan hampir-hampir tiada seorang pun yang menunaikan amanah. Sehingga ada dikhabarkan: “Sesungguhnya dalam Bani si fulan ada seorang lelaki yang amanah,” serta dikatakan tentang lelaki itu: “Alangkah bijaknya dia, alangkah cerdasnya dia, alangkah tegasnya dia.” Padahal tidak ada di dalam hatinya iman walau seberat biji sawi sekali pun.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Akibat hilangnya sifat amanah, banyak kes pecah amanah atau khianat berlaku di serata dunia. Perbuatan ini bukan khusus dilakukan oleh golongan tertentu, bahkan boleh jadi sahaja ia dilakukan oleh ahli politik, penjawat awam, pengurusan tertinggi, golongan profesional, kakitangan sokongan, awam mahu pun swasta.
Orang yang melakukan khianat serta tidak bertaubat pasti akan mendapat balasan di akhirat, walaupun di dunia ia mungkin terselamat. Umar bin al-Khattab RA menceritakan: “Ketika selesai perang Khaibar, maka sekumpulan sahabat Nabi SAW tiba seraya berkata: “Si fulan mati syahid, si fulan mati syahid,” sehingga mereka melewati seorang lelaki dan berkata: “Si fulan mati syahid.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sekali-kali, sesungguhnya aku melihatnya berada di dalam api neraka akibat sehelai pakaian atau jubah yang dia ambil (daripada rampasan perang sebelum dibahagikan).” (Riwayat Muslim)
Sekiranya pakaian atau jubah yang diambil secara khianat dan harganya tidak seberapa itu pun menyebabkan pelakunya masuk ke neraka, maka bayangkan pula bagaimana keadaan orang yang menggelapkan wang sehingga nilai berpuluh ribu ringgit, atau beratus ribu ringgit, malah berjuta-juta ringgit? Maka, berwaspadalah daripada menyerahkan amanah kepada orang yang akan mempersia- siakannya. Amanah bukan sekadar suatu kalimah yang indah untuk dituturkan dan dijaja, tetapi ia adalah satu tanggungjawab yang boleh menjadi amat berat untuk digalas.