Dr Mohd. Khafidz Soroni
DALAM menghadapi musim pilihan raya ini elok rasanya penulis kongsikan di sini perspektif hadis Nabi SAW secara umum mengenai ciri dan kelebihan pemimpin yang terbaik. Mudah-mudahan ia menjadi panduan buat calon pemimpin mengetahui apa yang dikehendaki dan dijanjikan oleh Baginda Nabi SAW terhadap pemimpin, di samping pedoman buat para pemilih atau pengundi bagi mengenal pasti ciri pemimpin yang terbaik buat mereka.
Antara ciri utama pemimpin yang disebutkan dalam hadis ialah bersifat adil, iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Justeru itu, terdapat banyak hadis mengenai kelebihan pemimpin yang adil. Antara kelebihannya di dunia; pertama, doa pemimpin yang adil tidak ditolak oleh Allah SWT. Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Tiga orang yang doa mereka tidak akan ditolak, iaitu; orang yang berpuasa hingga berbuka, seorang imam (pemimpin) yang adil dan doa orang yang dizalimi.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan)
Kedua, pemimpin yang adil sangat dikasihi oleh Allah SWT. Abu Sa’id al-Khudri RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya manusia yang paling dicintai oleh Allah pada Hari Kiamat dan paling dekat tempat duduknya adalah imam (pemimpin) yang adil, sedangkan manusia yang paling dibenci oleh Allah Taala dan paling jauh tempat duduknya adalah imam (pemimpin) yang zalim.” (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hasan gharib)
Ketiga, pemimpin yang berintegriti layak mendapat doa mustajab Nabi SAW. ‘Aisyah RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW berdoa ketika berada dalam rumahku ini: “Ya Allah, sesiapa yang menjawat sesuatu jawatan dalam urusan umatku, lalu dia mempersulitkan urusan mereka, maka persulitkanlah dia. Dan sesiapa yang menjawat sesuatu jawatan dalam urusan umatku, lalu dia berbuat baik dengan mereka, maka berbuat baiklah dengannya.” (Riwayat Muslim dan an-Nasa’i)
Manakala kelebihan di akhirat; pertama, pemimpin yang adil akan mendapat perlindungan Allah SWT. Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda: “Ada tujuh golongan manusia yang dilindungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari yang tiada sebarang naungan selain naungan-Nya” lalu disebutkan yang pertama sekali ialah imam (pemimpin) yang adil. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kedua, pemimpin yang adil akan berada di tempat yang amat istimewa. ‘Abdullah bin ‘Amru RA berkata: Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang yang berlaku adil di sisi Allah berada di atas minbar-minbar yang dibuat daripada cahaya di bahagian kanan yang dimuliakan oleh ar-Rahman.” (Riwayat Muslim dan an-Nasa’i)
Ketiga, pemimpin yang adil akan terselamat ketika dihisab. Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya: “Tidak ada seorang pemimpin kepada sepuluh orang pun melainkan dia akan datang pada Hari Kiamat nanti dalam keadaan dibelenggu, sehingga dia akan dibebaskan oleh sifat adilnya atau dibinasakan oleh sifat zalimnya.” (Riwayat al-Bazzar dengan sanad yang sahih)
Keempat, pemimpin yang adil serta suka bersedekah termasuk ahli syurga. ‘Iyadh bin Himar RA berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Ahli syurga itu ada tiga, iaitu; orang berkuasa yang adil, suka bersedekah lagi mendapat taufik, orang yang bersifat pengasih lagi berhati lembut terhadap setiap kerabatnya dan juga Muslim lain, serta orang yang amat menjaga kehormatan diri di samping turut mempunyai tanggungan.” (Riwayat Muslim)
Selain sifat adil, antara ciri utama pemimpin juga ialah mempunyai kekuatan fizikal dan mental serta karisma sebagai seorang pemimpin. Abu Zar RA bercerita: Aku pernah bertanya: “Wahai Rasulullah, tidakkah tuan mahu menjadikanku sebagai penjawat (dalam urus tadbir)?” Lantas baginda pun menepukkan tangannya ke bahuku, kemudian bersabda: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya kamu itu lemah (dalam urus tadbir), sedangkan ia merupakan suatu amanah dan ia pada Hari Kiamat hanyalah kehinaan serta penyesalan, kecuali bagi sesiapa yang mengambilnya dengan haknya dan melaksanakan tanggungjawab yang dipikulkan terhadapnya.” (Riwayat Muslim)
Ringkasnya, kepemimpinan merupakan satu amanah yang perlu dipikul dengan sifat adil, tegas dan bijaksana. Ia bukannya habuan duniawi yang boleh dinikmati dan diperalat sesuka hati. Lantaran itu, Nabi SAW turut memberi ancaman terhadap pemimpin yang tidak menunaikan hak tanggungjawab yang sepatutnya. Ma’qil RA berkata: Sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada seorang pun yang memegang sesuatu daripada urusan umat ini, sama ada ia sedikit atau banyak (urus tadbir dan sebagainya), lalu dia tidak berlaku adil terhadap mereka melainkan Allah akan mencampakkannya ke neraka.” (Riwayat al-Hakim, katanya: Sahih sanadnya)