Ahmad Azlan Raihan dan Mohd Hanif Ibrahim @ Angah Sunan
PENGARUH tasawuf dalam kehidupan masyarakat Melayu adalah sangat mendalam. Menurut Rosni Wazir, tasawuf dan alam Melayu adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan. Hal ini dipersetujui dengan fakta bahawa pengislaman sebahagian besar rantau tersebut adalah hasil daripada usaha, pengorbanan dan jasa yang dilakukan oleh pendakwah sufi yang datang dengan rupa sebagai ‘pedagang’ dan ‘kawan’. Mereka datang dengan aman, membawa bersama akhlak yang mulia, penuh hikmah dan toleransi yang tinggi. Rekod menunjukkan tiada pertentangan atau permusuhan, rantau alam Melayu ini dengan mudah sekali menyerahkan dirinya untuk diislamkan oleh tangan-tangan yang berjasa ini. Kaitan antara tasawuf dan alam Melayu juga disaksikan dengan peranan tokoh-tokoh yang amat berpengaruh dalam masyarakat, sebahagian besarnya mempunyai identiti tasawuf yang signifikan.
Abdul Rashid menyatakan, pada akhir abad yang ke-16 Masihi, umpamanya, sudah lahir hasil karya falsafah tasawuf dalam bahasa Melayu. Bahkan pada awal abad ke-17 Masihi, berlaku pula polemik ilmiah tentang falsafah, tasawuf dan ilmu agama yang lain khususnya seperti polemik yang berlaku antara Hamzah Fansuri dan Syamsudin Pasai dengan Nuruddin Al-Raniri yang datang dari India dan kemudian kritikan Abdul Rauf terhadap Syeikh Nuruddin al-Raniri. Kelahiran hasil karya bersifat intelektual ini berpunca daripada pengaruh Islam yang meresap ke dalam bahasa dan budaya Melayu. Jika kita melihat sejarah di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa pengaruh tasawuf membawa pengaruh yang besar bukan sahaja dalam kehidupan masyarakat Melayu, malah ia membawa kemajuan dari segi keilmuan.
Jika kita peminat kepada peribahasa-peribahasa Melayu, kita akan dapati bahawa pengaruh tasawuf juga telah lama berpengaruh di dalam bahasa seharian yang selalu kita diungkapkan. Antaranya ialah ‘Anjing ditepuk menjungkit ekor’ yang membawa maksud seseorang yang tidak berbudi, jika dihormati akan menjadi sombong. Ini bertepatan dengan kalam ahli sufi yang menyatakan orang yang tidak layak mendapat kehormatan apabila dihormati, akan menambahkan kesombongan hatinya.
Seterusnya iaitu ‘Buta hati’ yang membawa maksud seseorang yang tidak mempunyai belas kasihan sedangkan tasawuf itu sendiri mengajar kepada belas dan kasihan. Menurut Prof Abdul Manam, tasawuf itu dari satu dimensi ialah merasai hakikat iman dan mencapai martabat ihsan. Sekurang-kurangnya martabat ihsan itu ialah seseorang itu merasai dan menyedari bahawa dirinya sentiasa dalam tilikan dan pandangan Allah. Kesedaran inilah yang akan menjadikan seseorang itu merasa bertanggungjawab. Orang yang mengalami kesedaran ini akan merasai bahawa dirinya akan dipersoalkan di hadapan Allah mengenai tanggungjawabnya terhadap dirinya, keluarganya dan juga masyarakatnya. Mengenai perkara ini Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam perkara kasih sayang, rahmat merahmati dan belas kasihan sesama mereka adalah seumpama satu tubuh, apabila satu anggota mengadu kesakitan maka seluruh anggota yang lain akan merasainya dengan tidak dapat tidur malam dan demam.” Di antara peribahasa yang popular ialah ‘Turutkan rasa binasa, turutkan hati mati’ yang membawa maksud seseorang itu akan menghadapi kecelakaan sekiranya menurut hawa nafsu. Ini berdasarkan ayat al-Quran sebagaimana dalam al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Aku tidak membebaskan diriku (daripada kesalahan) kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada keburukan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku.” (Surah Yusuf, Ayat 53)
Menurut Imam Ghazali, nafsu amarahlah yang selalu memerintah keburukan, nafsu yang menghimpun kuatnya rasa marah, selalu diikuti sifat-sifat tercela, jauh daripada Allah dan termasuk bala tentera atau langkah syaitan untuk mengarahkan manusia kepada penyesalan dan kebinasaan. Oleh kerana itu nafsu ini wajib diperangi, dilawan keinginannya dan dikendalikan seperti yang dipesan Rasulullah SAW di atas.
Seterusnya jika anda selalu mendengar ceramah bagi menasihatkan orang-orang yang berbuat salah, kita selalu akan mendengar peribahasa ‘Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan’ yang membawa maksud jika sudah mengetahui akan kesalahan yang telah dilakukan hendaklah kembali ke jalan yang sebenar. Dalam kaedah tasawuf, inilah yang dinamakan sebagai taubat. Apabila kita menyedari kesilapan yang kita lakukan lalu kita kembali kepada Allah. Menurut apa yang dikemukakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, taubat dari segi bahasa adalah kembali. Jika diperincikan lagi, taubat daripada Adam bermaksud kembali daripada maksiat sedangkan taubat daripada Allah SWT kembali ke atas-Nya dengan rahmat.
Di antara peribahasa lain yang terkenal antaranya ‘Usul menunjukkan asal’ yang membawa maksud tingkah laku seseorang itu menunjukkan tinggi atau rendahnya darjat seseorang. Menurut sebahagian ulama sufi, zahir itu dalil kepada batin. Oleh itu jika perlakuan seseorang itu buruk, ia adalah dalil bahawa dalaman seseorang itu yang buruk. Imam Al Ghazali mengatakan bahawa akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syarak dan akal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk. Contoh lain ialah peribahasa ‘Barang yang dikata itulah kota’ yang bermaksud setiap perkataan yang diucapkan haruslah ditunaikan. Jika dilihat daripada pengaruh tasawuf ialah ciri-ciri orang munafik iaitu apabila bercakap tetapi ia tidak mengamalkannya dalam kehidupan.