Nurizan Abu Kassan
ZIARAH kubur merupakan salah satu budaya yang sering dilakukan oleh masyarakat. Dalam agama Islam, ziarah kubur termasuk kegiatan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk saling mendoakan pada orang-orang yang telah meninggal dunia.
Bukan itu sahaja, ziarah kubur juga memiliki hikmah lain yang perlu direnungi setiap manusia. Berziarah ke makam orang yang telah meninggal tentu mengingatkan manusia bahwa tidak ada yang kekal di dunia.
Semua orang akhirnya akan kembali pada pencipta-NYA. Manusia penuh dengan sifat rapuh dan tidak berdaya. Firman ALLAH dalam Surah an-Nisa, ayat 78 yang bermaksud:
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sudah sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh”.
Islam sebagai agama yang syumul tidak meninggalkan sesuatu amalan atau perkara melainkan ia memberi manfaat dan menjauhkan kita dari apa yang memudaratkan. Antaranya ialah amalan ziarah kubur di mana Islam telah memberikan sejumlah adab yang perlu kita perhatikan, iaitu:
1. Membetulkan niat
Adab ziarah kubur yang pertama adalah niat dengan hati yang tulus dan ikhlas. Semua masyarakat yang datang ziarah harus menghadirkan hatinya saat mendatangi makam. Datanglah dengan tujuan yang baik kerana ia dapat memberi manfaat kepada si mati.
Islam sangat menganjurkan siapa saja yang berziarah kubur harus diawali dengan niat yang baik untuk mendapatkan reda ALLAH. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
“Dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur, sekarang berziarahlah kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat. Akan tetapi, janganlah kalian berkata-kata dengan perkataan yang keji dan batil.” (Hadis Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai, Ibn Majah dan Ahmad)
2.Berwuduk
Sebelum menziarahi kubur, disunatkan untuk berwuduk sebelum ke tanah perkuburan. Jika anda takut wuduk terbatal atas sebab-sebab perjalanan yang jauh di dalam kenderaan atau halangan yang lain, anda juga boleh berwuduk apabila tiba di tanah perkuburan sekiranya di sana disediakan tempat untuk mengambil wuduk.
WUDUK mempunyai manfaat yang sangat besar kerana itu sangat dituntut untuk melakukannya.
Para ulama memberikan perhatian tentang kebersihan apabila memulakan perbincangan dalam kitab-kitab iaitu kebersihan adalah sangat penting untuk dijaga. Ini membuktikan bahawa kebersihan itu sangat dititikberatkan dalam semua hal khususnya dalam ibadat.
Dari Othman bin Affan katanya, Rasullullah bersabda:
“Barangsiapa yang berwuduk, kemudian dia menyempurnakan wuduknya, maka keluarlah dosa-dosa dari jasadnya hingga dari kuku-kukunya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
3. Memberi salam
Memberi salam ketika hendak ziarah kubur adalah merupakan adab yang mudah dan sudah diajar oleh ibu bapa sejak kecil lagi. Rasulullah juga mengajak semua umat Islam untuk memberi salam ketika menziarahi kuburan atau melalui kawasan tersebut.
Rasulullah pernah mengajar sahabat-sahabatnya apabila mereka menziarahi tanah perkuburan untuk memberi salam dan berdoa dengan berkata:
“Salam sejahtera kepada kamu wahai ahli perkampungan (tanah kubur) ini, dari kalangan kaum mukminin dan muslimin bahawa kami juga insya-ALLAH akan mengikut kamu apabila sampai giliran. Semoga ALLAH memberi rahmat dan selamat sejahtera kepada kami dan kamu sekalian.” (Hadith Riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)
4. Menutup aurat
Menutup aurat bukanlah pilihan tetapi tuntutan agama. Ia sering kali disalah ertikan oleh sesetengah masyarakat Islam. Mereka menganggap menutup aurat hanya sekadar dengan memakai tudung dan menutupi kepala terutama apabila ziarah ke kubur. Sedangkan aurat bukan hanya anggota kepala malah anggota lain juga merupakan aurat yang perlu ditutup.
PELAWAT hendaklah berpakaian yang menutup aurat ketika menziarahi kubur.
Perintah menutup aurat telah difirmankan oleh ALLAH. dalam surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu, dan dirikanlah sembahyang serta tunaikanlah zakat, dan taatilah kamu kepada ALLAH dan Rasulnya.
“Sesungguhnya ALLAH (perintah kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan dari kamu dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).”
5. Tidak meratapi dan meraung
Perlu diingatkan bahawa meratapi dan meraung di tanah perkuburan secara keterlaluan seolah-olah tidak meredai takdir ALLAH kerana bersikap berlebih-lebihan dalam urusan agama adalah hal yang terlarang.
Rasulullah bersabda: “Waspadalah kalian pada sikap berlebihan. Sesungguhnya binasanya orang-orang sebelum kalian disebabkan berlebihan dalam urusan agama.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Reda dan ikhlas akan pemergian seseorang adalah lebih baik. Hadiah yang boleh kita berikan kepada mereka adalah dengan menghadiahkan bacaan ayat al-Quran, bacaan Yasin serta tahlil kepada si mati dan berdoa agar ALLAH mengurniakan rahmat kepada mereka.
Perbuatan menziarahi kubur bukanlah hanya dilakukan semasa hari pengkebumian atau setiap kali menjelangnya Hari Raya sahaja. Ziarah kubur juga merupakan antara usaha orang yang hidup untuk mengingati orang yang telah mati. Ia juga mengingati anda tentang kematian dan membuat persediaan dengan memperbanyakkan amal ibadat sebanyak mungkin.
Marilah sama-sama kita mempersiapkan bekalan untuk menghadapi kematian dengan meningkatkan amal ibadah.
Diharapkan dengan melakukan amalan ziarah kubur ini dapat memberi keinsafan dan kesedaran kepada kita untuk mengingati akan kematian dan sentiasa bertaubat kepada ALLAH.