Fatin Fatihah Hussin
DALAM putaran roda kehidupan, tidak selamanya kita akan diulit rasa bahagia. Akan tiba waktunya kesedihan menerpa ruang jiwa. Hal ini merupakan lumrah kehidupan sebagai kalifah ALLAH di muka bumi ini.
Tidak kira sama ada kita bersedia mendepaninya ataupun tidak, sedih dan gembira merupakan rencah kehidupan. Tanpa kedua-duanya, apalah makna sebuah kehidupan.
Memetik perkongsian artikel JejakTarbiah, ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan rasa sedih tersebut. Menghilangkan sekali gus nestapa tanpa sisa adalah mustahil terjadi.
Berikut merupakan lima cara untuk mengurangkan kedukaan yang sedang kita alami;
1) Membaca al-Quran dan menghayati maksudnya.
Dengan menghayati ayat-ayat al-Quran sebenarnya mampu mendatangkan satu perasaan lega ke dalam hati kita. Cubalah anda membaca tafsir setiap ayat atau setiap juz yang dibaca itu, pasti anda akan terpesona. Begitu banyak cerita tentang kesabaran dan ketabahan terkandung di dalamnya.
Deretan kisah mereka itu membuat kita rasa bahawa dugaan yang sedang kita hadapi pada hakikatnya adalah kecil jika diibandingkan dengan mereka yang disebut dalam Kitabullah.
WALAU apa pun surah yang dibaca, jangan biarkan hari anda berlalu tanpa menyelak kitab suci al-Quran. Foto: Unsplash
2) Mengimbas kembali penderitaan saudara-saudari kita di serata dunia.
Rasulullah SAW pernah berpesan bahawa dalam hal keduniaan, lihatlah orang yang berada di bawahmu. Ini juga bermaksud jika dirasakan kesedihan kita itu sangat berat, maka ingatlah bagaimana penderitaan yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam di belahan bumi lainnya.
Rakyat Syria misalnya, dizalimi dan melalui fasa peperangan yang tidak berkesudahan. Di Yemen, kelaparan menjerut perut-perut rakyatnya, terutama sekali anak-anak yang masih kecil. Mereka kekurangan nutrisi sehingga tubuhnya menampakkan tulang yang sangat ketara. Begitu juga di bumi Palestin, yang sehingga kini tidak meraih kemerdekaan dan terus menerus ditindas oleh puak Zionis Israel.
RAKYAT Syria misalnya, dizalimi dan melalui fasa peperangan yang tidak berkesudahan.
3) Segera mendirikan solat sunat terutamanya tahajud.
Tidakkah kita merasakan bahawa waktu terbaik dan paling dekat dengan Rabb adalah semasa kita bersolat? Lebih-lebih lagi pada waktu sepertiga malam. Di kala majoriti manusia tengah nyenyak diulit mimpi. Sepi suasana. Itulah waktu terbaik untuk kita bercerita kepada ALLAH. Mengadukan semua kekusutan dan kesempitan dada kita itu.
Yakinlah, doamu itu takkan ALLAH biarkan kosong. Akan DIA kembalikan dengan hasil yang paling baik.
BERJAGA malam untuk beribadah sangat dituntut oleh agama Islam seperti sembahyang tahajud dan qiamullail.
4) Membaca sirah orang terdahulu.
Ini adalah masanya untuk kita meluangkan waktu sejenak mencari buku-buku berkenaan salafus soleh. Potret kehidupan mereka dalam menjalani ujian demi ujian daripada ALLAH. Salafus soleh merujuk kepada tiga generasi terbaik yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu pada zaman Nabi dan para sahabat, tabi’in dan tabi’ut tabi’in.
Golongan tersebut adalah generasi yang sangat tinggi takwa dan tawakkalnya kepada ALLAH SWT. Walaupun demikian, mereka juga tidak pernah lepas daripada ujian ALLAH. Semua insan di bumi fana ini pasti akan melalui saringan ujian. Sedangkan utusan ALLAH pun ditimpa badai dan ombak pancaroba yang lebih dahsyat lagi, apalagi insan hebat seperti mereka.
MEMBACA sirah nabi dan sahabat-sahabat juga mampu merawat hati yang sedih.
5) Meminta pendapat daripada orang yang boleh dipercayai.
Kadangkala kita perlu berkongsi sedikit masalah kepada orang lain terutama dengan mereka yang lebih berpengalaman dan telah melalui pelbagai asam garam kehidupan. Diharapkan nasihat yang dititipkan tersebut mampu memberi beberapa solusi yang baik untuk masalah kita itu.
Akan tetapi, pilihlah seseorang yang pandai memegang amanah, tidak menjaja aib diri, bukan seorang pengumpat apatah lagi tukang fitnah. Dengan memilih orang-orang yang takutkan ALLAH, nescaya segala rahsia kita akan selamat di sisinya. Kita pun rasa selesa apabila berbicara dengannya.