Soalan:
Apakah hukumnya berpindah tempat solat selepas selesai mengerjakan solat fardu?
Jawapan:
Disunatkan bagi siapa yang telah selesai melakukan solat sama ada fardu atau sunat kemudian hendak melakukan satu lagi solat bahawa dia berpindah tempat supaya solat di tempat yang baru pula.
Ini adalah bertujuan membanyakkan tempat bersujud kerana segala tempat yang dilakukan padanya ibadah kepada Allah akan menjadi saksi atasnya pada hari kiamat kelak.
Tersebut pada Kitab Fathul Muin:
ويندب أن ينتقل لفرض أو نفل من موضع صلاته ليشهد له الموضع حيث لم تعارضه فضيلة نحو صف
Ertinya: “Dan disunatkan bahawa seorang itu berpindah tempat solatnya untuk solat fardu atau sunat supaya menjadi saksi tempat itu sekira-kira tidak menghilangkan keutamaannya umpama pada saf awal.”
Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. beliau telah berkata:
قرأَ رسولُ اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم: {يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا} [ الزلزلة:4] ثُمَّ قَالَ: “أَتَدْرُونَ مَا أَخَبَارُهَا؟ “قالوا: اللَّهُ ورَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ:”فَإِنَّ أَخْبَارَها أَنْ تَشْهَدَ عَلَى كُلِّ عَبْدٍ أَوْ أَمةٍ بِمَا عَمِلَ عَلَى ظَهْرِهَا، تَقُولُ: عَمِلْتَ كَذَا وكذَا في يَوْمِ كَذَا وَكَذَا، فهَذِهِ أَخْبَارُهَا
Ertinya: “Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah membaca ayat: Pada hari itu bumi akan bercerita iaitu dari surah Zalzalah ayat ke-4. Kemudian Rasulullah bertanya: Adakah kamu sekalian tahu apakah yang bumi bercerita itu? Berkata para sahabat: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Bumi bercerita itu ialah bumi akan menjadi saksi atas setiap lelaki dan perempuan dengan apa yang telah diamalkan di atas permukaannya. Berkata bumi: Kamu telah lakukan itu dan ini pada hari sekian dan sekian. Maka inilah maksud bumi bercerita.” (Hadis Imam Tirmizi)
Kesimpulannya disunatkan bagi siapa yang telah melakukan satu solat pada suatu tempat berpindah ke tempat lain jika dia hendak melakukan solat yang lain pula.
Tidak disyaratkan berpindah itu jauh bahkan memadai berpindah sedikit sahaja dari tempat yang lama sekira-kira dikatakan berpindah.
Siapa yang tidak berpindah tempat nescaya tidaklah dia melakukan sebarang kesalahan.
Wallahua’lam