Mohd Rizal Azman Rifin
Dalam dunia moden hari ini, manusia dilihat saling berlumba mengejar kepentingan duniawi. Siang malam dipergunakan untuk meraih harta dunia.
Baginda Rasulullah SAW ada bersabda, “Kalaulah anak Adam itu mempunyai satu lembah emas, nescaya dia ingin (mencari) lembah yang kedua. Dan jika dia mempunyai dua lembah emas, nescaya dia ingin (mencari) lembah yang ketiga. Perut anak Adam (manusia) tidak akan dipenuhi (tidak pernah puas) melainkan dengan tanah (apabila mati). Dan Allah menerima taubat sesiapa yang bertaubat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis itu menerangkan kepada kita betapa tamak dan rakusnya sifat manusia yang sentiasa dahaga terhadap harta kekayaan dunia.
Ini sekali gus memberikan peringatan supaya tidak mudah terjebak dalam sikap melampau terhadap kepentingan duniawi, sebaliknya perlu kepada sikap bersederhana dalam meniti kehidupan.
Islam menyediakan kita garis panduan yang cukup sempurna dalam menjalankan kehidupan harian dengan memperkenalkan sifat ihsan dan tidak terlalu silaukan harta dan wang ringgit semata-mata.
Sifat ihsan menjadikan seseorang itu sentiasa ikhlas, tenang dan berdisiplin tinggi. Lebih utama lagi, Allah SWT amat mencintai orang yang melakukan kebaikan, sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan berbuat baiklah (ihsan), sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-Baqarah: 195)
Seharusnya kita sedar bahawa Islam mengukur kemuliaan seseorang bukan berdasarkan kekayaan, pangkat atau rupa, tetapi pada sejauh mana kehadirannya membawa kebaikan dan manfaat kepada masyarakat sekeliling.
Ini piawai Islam dalam menilai kemuliaan seseorang yang jelas menggalakkan kita supaya sentiasa menjadi insan yang bukan untuk diri sendiri sahaja, sebaliknya turut menjadikan segala ilmu, kemahiran dan pengalaman, sebagai sumber memberikan khidmat untuk kesejahteraan masyarakat.
Baginda Nabi SAW ketika hayatnya sangat aktif dalam memberikan motivasi untuk umatnya dalam menaburkan bakti sosial untuk kebaikan orang lain.
Seruan Baginda SAW ini yang meniup semangat dalam kalangan umatnya untuk tampil berwatak manusia yang sanggup berkorban masa, tenaga, wang ringgit, ilmu dan kemahiran untuk dijadikan sandaran berkhidmat untuk masyarakat secara sukarela.
Sabda Nabi SAW, ‘Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia (orang lain).’ (Hadis Riwayat Imam Ahmad, at-Tabrani dan al-Baihaqi)
Jadi, berdasarkan hadis ini, Rasulullah SAW menggariskan bahawa nilai sebenar seseorang di sisi Allah SWT tidak diukur pada kekayaan, rupa paras atau pangkat, tetapi pada tahap mana kehadirannya membawa kebaikan dan meringankan beban orang lain.
Sejak zaman Rasulullah SAW lagi ramai kalangan sahabatnya yang memperagakan nilai peribadi mulia untuk berkhidmat secara sukarela demi kemaslahatan masyarakat.
Hal itu bukan setakat dalam kalangan lelaki sahaja, tetapi Muslimah juga sama-sama ‘bersedekah’ tenaga, masa dan kemahiran untuk insan lain.
Misalnya, dalam bidang perawatan dan perubatan beberapa tokoh Muslimah zaman Nabi SAW seiiring selangkah dengan lelaki mengetengahkan semangat berkhidmat untuk masyarakat.
Dalam kitab sejarah perkembangan Islam tertera dengan tinta emas bagai seorang wanita bernama Rufaidah binti Saad Al-Aslamiyah mengorak idea murni untuk menjadi laman Masjid Nabawi sebagai hospital lapangan merawat para tentera Islam yang tercedera semasa Perang Badar dan Khandak.
Beliau diangkat sebagai perintis dan tokoh jururawat Islam pertama di dunia.
Usaha murni insan berhati emas di zaman Nabi SAW kemudian menjalar terus ke era yang selanjutnya dan hakikat itu jelas dapat dilihat ketika Islam mencapai puncak gemilang ilmu pengetahuan dengan adanya beberapa ilmuwan Islam yang berpengetahuan tinggi dalam ilmu perubatan yang menggunakan ilmu mereka untuk kebaikan insan lain secara sukarela.
Mereka adalah golongan berhati emas yang infakkan ilmu sebagai khdmat sosial.
Seorang lagi tokoh ilmuwan perubatan Islam yang terkemuka iaitu Abu Bakar Muhammad bin Zakaria al-Razi (atau Rhazes).
Beliau merupakan tokoh sarjana Islam yang sangat berjasa kepada masyarakat, terutama dalam bidang perubatan dan penjagaan kesihatan mental.
Sumbangan utama beliau kepada khidmat sosial merangkumi aspek kemanusiaan dan rawatan percuma tanpa mengira status pesakit.
Beliau percaya perubatan adalah hak kemanusiaan. Beliau menentang amalan perubatan yang hanya mengutamakan keuntungan.
Beliau juga menyumbang ilmu dengan melahirkan karya agung seperti Kitab al-Hawi (ensiklopedia perubatan lengkap) yang dijadikan rujukan utama dalam pendidikan perubatan di Eropah selama berabad-abad.
Semangat menghulurkan bakti sosial dengan ilmu kemahiran terus segar dalam kalangan umat Islam hingga kini.
Hal itu membuktikan bahawa atas dunia ini akan sentiasa ada kalangan umat Islam yang bersedia raga dan ilmu untuk dicurahkan kepada kebaikan orang lain.
Ilmu dan kemahiran yang mereka miliki tidak sepenuhnya digunakan untuk mengaut keuntungan duniawi semata-mata, tetapi golongan seperti ini memilih untuk menjadikan khidmat sosial untuk mengumpulkan aset akhirat sebanyak-banyaknya.
Maka lahir inisiatif sukarela pengamal perubatan yang turun padang merawat golongan gelandangan dan komuniti rentan secara percuma.
Di Malaysia, usaha murni ini sering digerakkan oleh doktor yang meluangkan masa, terutama pada waktu malam, untuk memberikan saringan kesihatan dan rawatan asas.
Golongan berilmu perubatan dan kesihatan ini memilih jalan jalan ke syurga dengan menyumbang untuk insan lain secara percuma. Mereka ibarat golongan yang mahu menterjemahkan sabda Nabi SAW yang menyebut, ‘Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.’ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya, khidmat sosial atau kerja amal adalah salah satu jalan yang sangat dituntut untuk meraih ganjaran pahala dan keredaan Allah SWT.
Usaha murni ini membawa pelbagai impak positif kepada masyarakat. Semangat hulurkan bakti sosial seharusnya terius mekar dalam jiwa anggota masyarakat supaya ilmu yang dimiliki dimanfaat dengan jalan terbaik demi kebaikan insan lain, sekali gus sebagai jalan ke syurga Allah.