
Sejarah Ringkas
Pondok ini dinamakan Madrasah Diniah Bakriah yang juga dikenali dengan nama Pondok Terusan Limbat, Pasir Tumboh.
Ia terletak kira-kira 11 km dari Bandar Kota Bharu dan jaraknya dari jalan utama Kota Bharu-Pasir Puteh pula ialah sebanyak 1 km. Pondok ini juga berdekatan dengan perumahan Desa Darulnaim dan juga mini MRSM Pasir Tumboh.
Ia ditubuhkan pada 1954M oleh 2 orang adik beradik iaitu Tuan Guru Hj Mustafa b. Abu Bakar dan adiknya Tuan Guru Hj Abdul Aziz dibantu oleh Tuan Guru Hj Hashim b Hj Abu Bakar. Penubuhannya merupakan rentetan pengajaran yang telah dilakukan oleh ayahandanya tuan Haji Abu Bakar.
Pengajaran di balaisah (surau ) ini disambung oleh Tuan Guru Haji Abdul Aziz dan abangnya Tuang Guru Haji Mustafa sehinggalah tertegaknya sebuah madrasah yang serba sederhana dengan bantuan tenaga setempat pada tarikh itu.
Pada peringkat awal penubuhannya, bilangan pelajar(lelaki) hanya 50 orang sahaja. Pengajian dijalankan disebuah madrasah kayu yang berukuran 40×30 kaki sahaja.
Sebelum tertegaknya madrasah ini, terdapat enam orang pelajar sulung yang datang meminta kepada tuan Guru Haji Abdul Aziz supaya membacakan kepada mereka kitab turath. Sehingga mereka berjaya menguasai bidang ilmu dan seterusnya menjadi tenaga pengajar di sini. Antara mereka ialah Ustaz Abdullah bin Ali.
Generasi demi generasi yang silih berganti, hinggalah ke hari ini, madrasah ini terus meniti di bibiran pencinta ilmu agama.
Matlamat Pengajian Pondok
1. Menjadikan pondok sebagai pusat pengajian Islam secara teori dan praktikal
2. Mencari keredhaan Allah serta menghapuskan kerosakan akhlak
3. Melahirkan generasi berilmu beramal, berani dan bertaqwa
4. Melahirkan pelajar mahir serta memahami secara mendalam ilmu agama dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup
Lokasi
Ia terletak kira-kira 11 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu dan 1 kilometer dari jalan utama Kota Bharu – Pasir Puteh disamping ia terletak berhampiran dengan kawasan perumahan Desa Darul Naim, Pasir Tumboh serta beberapa pusat pengajian yang lain seperti SMU Taqaddum al-Maarif dan mini MRSM Pasir Tumboh.
Komuniti Penduduk
Madrasah ini mempunyai jumlah bilangan komuniti sebagaimana maklumat di bawah :
- Tenaga pengajar seramai 40 orang
- 300 orang pelajar dewasa, warga emas dan pasangan yang telah berkahwin
- 150 orang pelajar lelaki
- 70 orang pelajar perempuan
Perkembangan pembangunan
Setelah tertegaknya madrasah yang menjadi gedung pengentahuan, selangkah maju kehadapan untuk meniti arus pembangunan yang menjadi kemudahan dan asas kehidupan seharian pelajar pondok.
Ini dilihat pada infrastrukturnya yang telah dibangunkan bagi tujuan tersebut. Yang mana ia sememangnya merupakan keperluan asasi ke arah terbentuknya madrasah yang sempurna.
Pada tahun 1959, Sebuah masjid didirikan dengan menelan belanja RM45 ribu. Ianya mendapat kelulusan Majlis Ugama Kelantan sebagai masjid mendirikan sembahyang Jumaat. Di samping itu, masjid ini juga dijadikan tempat belajar. Pelajar semakin bertambah kepada 700 orang yang terdiri daripada pelajar dalam dan luar negeri seperti Thailand dan Singapura. Masjid ini telah diperbesarkan dengan pembinaan bangunan 4 tingkat yang siap pada awal 1990 yang dirasmikan oleh KDYM Sultan Kelantan. Kemudian mula membina bangunan tambahan 3 tingkat pada 2005
Pada tahun 1969, Sebuah lagi madrasah baru 2 tingkat berukuran 40×60 kaki dibina dengan belanja RM35 ribu. Ia dinamakan Madrasah Tuan Guru Hj Mustafa. Ianya dijadikan tempat pengajian dan sebagai menampung tempat pengajian yang sedia ada. Bermula tahun 2025 bangunan ini di ubahsuai menjadi Masjid Iktikaf Tuan Guru Hj Mustafa yang sedang dalam proses menyiapkannya
Pada tahun 1984, Sebuah bangunan 2 tingkat dibina berhadapan dengan masjid yang mana dijadikan pejabat Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB) di sebelah bawah mula 1997 hingga 2003 sebelum dijadikan pejabat rasmi pondok.Pada awal pembinaannya ia merupakan tempat belajar dan juga tempat latihan syarahan kepada pelajar.
Pada tahun 1988, Sebuah bangunan 2 tingkat dibina lagi berukuran 40×60 kaki sebagai tempat belajar dan juga berlatih syarahan bagi pelajar. Ia dinamakan Madrasah Tuan Guru Hj Abdul Aziz.
Pada tahun 1993, Sebuah bangunan 3 tingkat di nama Asrama Sayyidina Umar al-Khottab atau lebih dikenali dengan Asrama Selangor telah dibina
2001 – Mula membina sebuah bangunan 5 tingkat yang dinamakan Asrama Sayyidina Abu Bakar. Bahagian bawah dijadikan dewan serbaguna termasuk untuk pengajian dan latihan syarahan bagi pelajar manakala sebelah atas dijadikan tempat penginapan pelajar di mana telah guna mulai tahun 2004
Pada tahun 2014, Sebuah bangunan 3 tingkat dinamakan Asrama Sayyidina Osman al-Affan atau lebih dikenali dengan Asrama Pelajar Utara telah dibina
Pada tahun 2016, Sebuah bangunan 2 tingkat dinamakan Asrama Sayyidina Ali telah dibina
Pada tahun 2017, Sebuah bangunan 3 tingkat dinamakan Asrama Sayyidatina Khadijah telah dibina bagi kegunaan pelajar muslimat
Pada tahun 2020, Sebuah bangunan 3 tingkat dinamakan Asrama Imam Syafie telah dibina