Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum
Fenomena ‘trend menunjuk-nunjukkan kekayaan secara berlebihan’ bukan lagi isu terpencil, malah semakin ketara dalam landskap media sosial hari ini. Paparan gaya hidup mewah, kenderaan eksklusif, percutian mahal, dan kejayaan material ditayangkan hampir setiap hari khususnya oleh individu berpengaruh, usahawan digital serta pengasas produk, dan perkhidmatan yang majoritinya beragama Islam. Apa yang lebih merisaukan, trend ini sering dibungkus dengan naratif motivasi dan kejayaan seolah-olah kemewahan adalah ukuran mutlak kebahagiaan serta keberkatan hidup.
Dalam suasana ini, masyarakat awam terutama generasi muda terdedah kepada kekeliruan nilai antara keperluan, kehendak, dan kemewahan yang melampau.
Islam tidak menolak kekayaan, malah mengiktiraf harta sebagai nikmat dan amanah daripada Allah SWT. Namun, Islam sangat tegas dalam mengawal sikap terhadap harta agar tidak melahirkan kesombongan, riyak, dan penindasan nilai rohani. Allah SWT mengingatkan dalam al-Quran: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu daripada manusia kerana sombong, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman ayat 18)
Ayat ini menjadi asas tadabbur bahawa pamer kekayaan yang melampau bukan sekadar isu sosial, bahkan menyentuh dimensi akidah dan akhlak.
Dalam konteks semasa, paparan kemewahan sering disertai dengan unsur riyak yang halus. Riyak tidak semestinya melalui ibadah, malah boleh berlaku dalam urusan dunia apabila niat asal untuk berkongsi bertukar menjadi keinginan dipuji dan dikagumi. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang paling aku takutkan ke atas kamu ialah syirik kecil.” Sahabat bertanya: “Apakah itu syirik kecil?” Baginda menjawab: ‘Riya’. (Hadis Riwayat Ahmad)
Hadis ini mengingatkan riyak adalah penyakit hati yang boleh merosakkan nilai amal dan keikhlasan termasuk dalam cara seseorang menzahirkan kejayaan duniawi.
Lebih membimbangkan, trend ini turut mencetuskan tekanan sosial dan psikologi dalam kalangan masyarakat. Apabila kekayaan dipamerkan tanpa hikmah, ia menanam rasa rendah diri, iri hati, dan keputusasaan kepada mereka yang sedang berjuang dalam kehidupan. Islam menuntut sensitiviti sosial dan empati. Allah SWT berfirman: “Adapun nikmat Tuhanmu, maka ceritakanlah.” (Surah ad-Duha ayat 11)
Ayat ini sering disalah tafsir sebagai galakan mempamerkan nikmat secara terbuka, sedangkan para ulama menegaskan bahawa ‘menceritakan nikmat’ mestilah dengan tujuan syukur, dakwah, dan manfaat, bukan untuk bermegah-megah atau merendahkan orang lain.
Di sinilah pentingnya tadabbur yang seimbang antara akidah, syariah dan akhlak. Daripada sudut akidah, umat Islam perlu meyakini bahawa rezeki datang daripada Allah SWT dan bukan semata-mata hasil kepintaran atau usaha individu. Firman Allah: “Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka ia adalah daripada Allah.” (Surah an-Nahl ayat 53) Kesedaran ini membina sifat tawaduk dan menghalang rasa ujub. Daripada sudut syariah pula, Islam menetapkan garis panduan jelas tentang pengurusan harta: larangan pembaziran, keadilan dalam muamalat, serta kewajipan zakat dan sedekah. Allah SWT menegaskan: “Sesungguhnya orang membazir itu adalah saudara syaitan.” (Surah al-Isra’ ayat 27)
Pembaziran yang dipamerkan bukan sahaja merugikan individu, malah mencemarkan imej Islam itu sendiri.
Akhlak menjadi benteng terakhir yang mempamerkan keindahan Islam dalam realiti kehidupan. Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, tetapi kekayaan yang sebenar adalah kaya hati.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini mengajar bahawa nilai manusia tidak diukur pada apa yang dipamerkan, tetapi pada ketenangan jiwa, kesederhanaan, dan keupayaan memberi manfaat kepada orang lain. Akhlak inilah yang seharusnya dizahirkan oleh mereka yang mempunyai pengaruh besar di media sosial.
Peranan golongan ilmuwan dalam mendepani isu ini amat besar dan tidak boleh dipandang ringan. Ilmuwan bukan sekadar penyampai ilmu di mimbar atau bilik kuliah, tetapi juga penjaga neraca nilai dalam masyarakat.
Selain itu, ilmuwan juga perlu terlibat aktif dalam literasi digital dan wacana awam. Media sosial tidak boleh dibiarkan menjadi medan bebas tanpa panduan nilai. Ilmuwan perlu tampil sebagai suara keseimbangan, menawarkan naratif alternatif yang menekankan kesederhanaan, keberkatan rezeki, dan tanggungjawab sosial. Ini selari dengan firman Allah SWT: “Dan demikianlah Kami jadikan kamu umat yang pertengahan (wasatiyyah).” (Surah al-Baqarah ayat 143)
Konsep wasatiyyah ini menuntut keseimbangan antara dunia dan akhirat, antara kejayaan material dan kecemerlangan rohani.
Trend menunjuk-nunjukkan kekayaan secara berlebihan perlu ditangani bukan dengan kebencian, tetapi kesedaran dan pendidikan nilai. Setiap individu perlu bermuhasabah tentang niat, kesan, dan tanggungjawab sosial dalam setiap perkongsian. Akidah yang betul melahirkan keyakinan kepada Allah, syariah yang difahami membimbing tindakan dan akhlak yang mulia menjadi perisai dalam menghadapi cabaran dunia moden. Sejarah merakamkan satu kisah klasik yang sangat relevan dengan fenomena pamer kekayaan hari ini iaitu kisah Qarun pada zaman Nabi Musa AS. Qarun dikurniakan kekayaan luar biasa sehingga kunci khazanahnya sahaja dipikul oleh sekumpulan lelaki yang kuat. Allah SWT menggambarkan keangkuhannya dalam al-Quran: “Sesungguhnya Qarun adalah daripada kaum Musa, lalu dia berlaku zalim terhadap mereka. Kami telah memberinya perbendaharaan harta, kuncinya sahaja memberatkan sekumpulan orang yang kuat.” (Surah al-Qasas ayat 76)
Kekayaan yang sepatutnya menjadi wasilah syukur dan manfaat akhirnya bertukar menjadi sumber kesombongan apabila Qarun mendakwa: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu kerana ilmu yang ada padaku.” (Surah al-Qasas ayat 78)
Ayat ini sangat signifikan untuk ditadabbur dalam konteks hari ini apabila kejayaan material sering dikaitkan sepenuhnya dengan kepintaran, strategi pemasaran, dan kehebatan diri, tanpa sandaran kepada Allah SWT.
Qarun bukan sekadar memiliki harta, malah menzahirkan kekayaannya secara terbuka sehingga mengundang kekaguman sebahagian masyarakat. Al-Quran merakamkan reaksi mereka yang terpesona: “Alangkah baiknya kalau kita mempunyai seperti apa yang diberikan kepada Qarun.” (Surah al-Qasas ayat 79)
Gambaran ini seakan-akan cerminan dunia media sosial hari ini apabila paparan kemewahan mencetuskan rasa kagum, keinginan melampau, dan perbandingan hidup yang tidak sihat. Namun, golongan berilmu ketika itu mengingatkan: “Celakalah kamu! Pahala Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh.” (Surah al-Qasas ayat 80).
Inilah peranan ilmuwan sepanjang zaman – menegur, meluruskan persepsi, dan mengembalikan neraca nilai kepada akhirat. Pengakhiran kisah Qarun adalah peringatan yang sangat keras. Allah SWT menenggelamkan Qarun bersama hartanya ke dalam bumi: “Maka Kami benamkan dia bersama rumahnya ke dalam bumi.” (Surah al-Qasas ayat 81)
Tadabbur daripada ayat ini menunjukkan bahawa kekayaan yang dipamerkan tanpa iman dan akhlak bukan sahaja tidak menyelamatkan, bahkan boleh menjadi sebab kebinasaan. Amaran yang sama turut ditegaskan dalam Surah at-Takathur, sebuah surah pendek, tetapi sangat mendalam maknanya. Allah SWT berfirman: “Bermegah-megah telah melalaikan kamu sehingga kamu masuk ke dalam kubur.” (Surah at-Takathur ayat 1–2)
Para mufassir menjelaskan takathur merujuk kepada perlumbaan mengumpul dan mempamerkan kelebihan – sama ada harta, pengaruh, atau status sehingga manusia lalai daripada tujuan hidup sebenar.
Kesimpulannya, trend menunjuk-nunjukkan kekayaan secara berlebihan bukan sekadar fenomena media sosial, tetapi cerminan krisis nilai yang sedang melanda masyarakat moden termasuk dalam kalangan umat Islam sendiri.
Golongan ilmuwan pula memikul amanah besar untuk meluruskan wacana masyarakat, menegur dengan hikmah, serta memimpin umat keluar daripada kekeliruan nilai yang tidak berpenghujung.