Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman
SOALAN
Assalamualaikum Datuk. Saya doakan Datuk dalam keadaan sihat. Saya ingin tahu tentang kematian. Saya ada mendengar bahawa sejurus selepas kematian, kita akan dibangunkan semula untuk soalan kubur. Persoalan saya, apakah ‘dibangkitkan’ itu secara zahir dengan jasad atau roh?
JAWAPAN
Waalaikummussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang menghidupkan dan mematikan manusia serta menjadikan kematian sebagai pintu menuju alam kekal abadi. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat serta seluruh umat Islam yang mengikuti petunjuknya hingga hari kiamat.
Persoalan yang dikemukakan ini menyentuh satu daripada perkara penting dalam akidah Islam iaitu kehidupan di alam barzakh. Ramai yang tertanya-tanya bagaimana keadaan seseorang setelah dikebumikan. Adakah dia terus tidur sehingga hari kiamat? Atau adakah dia akan ‘dibangkitkan’ untuk menjawab soalan malaikat Munkar dan Nakir? Jika benar, apakah kebangkitan itu berlaku dengan jasad, roh atau kedua-duanya sekali?
Terlebih dahulu perlu difahami perkara berkaitan alam kubur termasuk dalam perkara al-ghaybiyyat atau al-sam’iyyat, iaitu perkara ghaib yang hanya diketahui melalui wahyu. Akal manusia tidak mampu mengetahui hakikat sebenar alam barzakh secara terperinci melainkan melalui al-Quran, al-Sunnah serta penjelasan para ulama Ahli Sunah Waljamaah.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Di hadapan mereka ada alam barzakh sehingga hari mereka dibangkitkan.” (Surah al-Mukminun: 100)
Ayat ini menunjukkan bahawa selepas kematian, manusia tidak terus memasuki syurga atau neraka secara sempurna, sebaliknya berada di alam barzakh sehingga tibanya hari kebangkitan.
Benarkah berlaku soal jawab kubur?
Jawapannya ialah ya. Perkara ini sabit melalui banyak hadis yang sahih, bahkan ulama menyatakan bahawa ia termasuk dalam pegangan Ahli Sunah Waljamaah.
Rasulullah SAW bersabda bahawa apabila seseorang selesai dikebumikan dan pengiringnya pulang, datang dua malaikat yang dikenali sebagai Munkar dan Nakir. Mereka akan mendudukkan si mati lalu bertanya tiga soalan utama: Siapakah Tuhanmu? Apakah agamamu? Siapakah lelaki yang diutuskan kepada kamu (Nabi Muhammad SAW)? (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Orang yang beriman akan dapat menjawab dengan benar kerana Allah meneguhkan hatinya manakala orang munafik atau kafir tidak mampu memberikan jawapan yang betul.
Adakah dibangkitkan dengan jasad atau roh?
Ini persoalan yang sering ditanya.
Pegangan Ahli Sunah Waljamaah ialah nikmat kubur, azab kubur dan soal jawab kubur berlaku ke atas roh dan jasad secara bersama menurut cara yang dikehendaki Allah SWT walaupun hakikatnya tidak sama seperti kehidupan di dunia.
Imam al-Tahawi dalam al-‘Aqidah al-Tahawiyyah menegaskan soal jawab Munkar dan Nakir, nikmat kubur dan azab kubur adalah benar sebagaimana yang datang dalam hadis sahih.
Imam Ibn Abi al-Izz ketika mensyarahkan kitab berkenaan menjelaskan roh akan dikembalikan kepada jasad dengan cara yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Pengembalian ini bukanlah seperti kehidupan manusia di dunia, bahkan ia kehidupan alam barzakh yang mempunyai hakikat tersendiri.
Begitu juga Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah menyatakan nikmat dan azab kubur berlaku kepada roh dan roh mempunyai hubungan dengan jasad sehingga jasad turut menerima kesannya. Oleh itu, kedua-duanya berkait menurut kaifiat yang hanya diketahui oleh Allah SWT.
Imam Ibn al-Qayyim dalam kitab al-Ruhḥ menghimpunkan pelbagai dalil yang menunjukkan roh mempunyai hubungan dengan jasad di alam barzakh. Hubungan itu tidak sama seperti ketika hidup di dunia dan juga tidak sama seperti selepas kebangkitan pada hari kiamat.
Adakah jasad benar-benar bangun?
Di sini pentingnya kita memahami istilah yang digunakan oleh hadis.
Hadis menyebut bahawa malaikat ‘mendudukkan’ si mati. Namun, ulama menjelaskan bahawa kita tidak boleh membayangkan keadaan itu seperti seseorang bangun daripada tidur di dunia sehingga tanah kubur terbuka atau jasad kelihatan bergerak sebagaimana yang dapat dilihat oleh manusia.
Alam barzakh mempunyai hukum dan dimensinya yang tersendiri. Apa yang berlaku di dalamnya tidak semestinya dapat disaksikan oleh manusia yang masih hidup.
Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda sekiranya manusia dapat mendengar azab kubur sebagaimana yang didengari oleh haiwan, nescaya mereka tidak sanggup mengebumikan jenazah. Ini menunjukkan bahawa alam barzakh wujud, tetapi Allah menghijabinya daripada penglihatan dan pendengaran manusia.
Mengapa jasad yang hancur masih boleh disoal?
Ada yang bertanya, bagaimana pula jika seseorang meninggal dunia dalam kebakaran, tenggelam di laut, dimakan binatang buas atau jasadnya hancur menjadi tanah?
Jawapannya ialah kekuasaan Allah SWT tidak terikat dengan logik manusia.
Allah yang menciptakan manusia daripada tiada, sudah tentu berkuasa mengembalikan roh kepada jasad menurut bentuk yang dikehendaki-Nya di alam barzakh.
Oleh sebab itu, ulama menjelaskan soal jawab kubur tidak bergantung kepada sempurna atau tidaknya jasad di sisi manusia. Ia urusan Allah SWT yang berlaku menurut sunnatullah di alam barzakh.
Persediaan sebenar menghadapi soalan kubur
Hakikat yang lebih penting daripada mengetahui bagaimana mekanismenya ialah mempersiapkan diri untuk menghadapinya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah meneguhkan orang beriman dengan ucapan yang teguh di dunia dan di akhirat. (Surah Ibrahim: 27)
Menurut Ibn Abbas RA dan ramai ahli tafsir, antara maksud ayat ini ialah Allah akan memberikan kekuatan kepada orang beriman untuk menjawab soalan Munkar dan Nakir di dalam kubur.
Jawapan tersebut bukan semata-mata hasil hafalan. Seseorang yang menghafal tiga jawapan, tetapi tidak menghayati akidah dan amalannya belum tentu mampu menjawab apabila berhadapan dengan malaikat. Sebaliknya, orang yang benar-benar hidup dengan tauhid, istiqamah dalam ibadah dan mencintai Rasulullah SAW akan dipermudahkan oleh Allah SWT untuk menjawabnya.
Kesimpulannya, menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah, soal jawab kubur, nikmat kubur dan azab kubur adalah benar berdasarkan al-Quran serta hadis sahih. Roh akan dikembalikan kepada jasad menurut kaifiat yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Ia bukan kehidupan seperti di dunia dan bukan juga kebangkitan sempurna seperti pada hari kiamat. Sebaliknya kehidupan alam barzakh mempunyai hakikat tersendiri.
Sebagai orang beriman, perkara paling utama bukan terlalu mempersoalkan bagaimana proses itu berlaku, tetapi memastikan kita mempunyai bekalan iman, tauhid, amal soleh dan taubat yang ikhlas agar Allah SWT mengurniakan keteguhan ketika menjawab soalan kubur serta menjadikan kubur kita sebagai antara taman daripada taman syurga.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita husn al-khatimah, melindungi kita daripada fitnah dan azab kubur serta meneguhkan lidah dan hati kita ketika berhadapan dengan Munkar dan Nakir. Amin Ya Rabbal Alamin.