
Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman
Hampir setiap hari terpampang di dada akhbar dan di kaca televisyen perihal keruntuhan akhlak terutama yang berlaku dalam kalangan remaja. Keruntuhan akhlak yang berlaku mengundang pelbagai salah laku jenayah seperti zina, rogol, minum arak, mencuri dan sebagainya.
Sangat menyedihkan apabila kita dimaklumkan bahawa jenayah juvana semakin meningkat, ada antara pelajar yang belum menamatkan pengajian menggugurkan anak luar nikah, gejala dadah yang semakin menjadi-jadi dan lain-lain berita yang amat mendukacitakan dan menghiris jiwa.
Masalah sosial ini semakin serius dari semasa ke semasa. Justeru, ia memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada pelbagai lapisan masyarakat sama ada individu, keluarga, masyarakat dan negara bagi menangani masalah ini daripada terus merebak, sekiranya dibiarkan, ia akan memusnah dan menghancurkan bangsa dan negara.
Menangani masalah keruntuhan akhlak adalah perkara yang seharusnya diberi perhatian secara yang bersungguh-sungguh. Usaha perlu dilakukan agar masyarakat kita kembali menghayati dan mempraktikkan akhlak yang mulia dalam kehidupan seharian mereka.
Sebenarnya, apakah yang dimaksudkan dengan akhlak ? Akhlak ialah perkataan Arab yang diberikan definisi oleh Kamus Dewan sebagai budi pekerti, kelakuan dan tabiat.
Menurut istilah, akhlak membawa maksud segala tingkah laku dan perbuatan yang sudah menjadi adat kebiasaan pada diri seseorang.
Dalam Islam, akhlak adalah inti pati bagi segala ibadat. Tanpa akhlak, ibadat hanya adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai nilai dan faedah.
Dalam membincangkan soal akhlak ini, Islam sejak sekian lama menyediakan penyelesaian bagi masalah ini, bahkan persoalan akhlak adalah antara persoalan utama yang diketengahkan oleh ajaran Islam yang disampaikan melalui Nabi Muhammad SAW.
Akhlak yang mulia adalah menjadi matlamat asas bagi risalah Islam. Nabi Muhammad SAW telah bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari maksudnya: Sesungguhnya aku (Muhammad) diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
Nabi Muhammad SAW sendiri mempamerkan akhlak terbaik yang boleh dijadikan contoh oleh setiap lapisan masyarakat. Allah SWT berfirman dalam al-Quran, Surah al-Qalam ayat 4 maksudnya: “Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai budi pekerti yang baik”.
Akhlak mempunyai pengaruh yang besar ke atas diri individu dan masyarakat. Akhlak yang mulia dapat menyempurnakan keperluan masyarakat manusia, iaitu kebahagiaan. Jika setiap individu Muslim berakhlak mulia, maka sudah pasti masyarakat itu akan dilimpahi dengan keadilan, kesejahteraan dan keamanan.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab terhadap sesiapa yang berada di bawah pimpinan kamu”
Tanggungjawab menangani masalah sosial ini adalah tanggung jawab semua meliputi setiap individu, keluarga, masyarakat dan negara. Individu yang mukallaf (akil baligh) mesti berusaha untuk mewujudkan akhlak mulia dalam diri.
Ini dapat dihasilkan sekiranya dia memahami tuntutan berakhlak mulia dalam Islam. Untuk memahami tuntutan ini, dia hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk menimba ilmu pengetahuan yang berkaitan.
Dalam persoalan ini, Imam al-Ghazali (1058-1111 M) telah menyatakan bahawa cara pembentukan akhlak yang paling berkesan ialah dengan penyucian hati.
Cara paling berkesan untuk menyucikan hati ialah dengan menanamkan keyakinan yang sepenuhnya terhadap muraqabah (pengawasan) Allah terhadap diri kita walau di mana sahaja berada. Ulama salaf pernah menyarankan agar setiap kali sebelum tidur, hendaklah dibisikkan dalam hati, ‘Allah bersamaku, Allah melihat segala perbuatanku’.
Apabila seseorang individu tersebut sentiasa merasai pengawasan Allah terhadap dirinya pada setiap waktu dan ketika, maka akan terpancar akhlak yang baik dari dirinya kerana dia tidak akan sanggup untuk melakukan perkara maksiat sedangkan dalam masa sama dia menyedari Allah SWT memerhatikan tingkah lakunya.
Di samping itu, setiap individu juga mesti pandai memilih kawan iaitu berkawan dengan seseorang yang baik, jujur serta bertaqwa kepada Allah. Kajian mendapati bahawa antara faktor utama keruntuhan akhlak ialah pengaruh kawan dan rakan yang jahat.
Manakala ibu bapa pula, menjadi kewajipan kepada mereka mendidik serta memberikan kefahaman kepada anak-anak mereka tentang kepentingan berakhlak mulia. Mereka bertanggungjawab menyemai kepada anak-anak sejak kecil dengan sifat amanah, benar, hormat, berbuat baik kepada orang lain dan sebagainya.
Dalam masa sama, ibu bapa bertanggungjawab mendidik betapa bahaya akhlak yang buruk seperti mengeluarkan perkataan lucah dan cacian, bercakap bohong, panjang tangan, meniru budaya barat, hiburan yang melampau, pergaulan bebas dan sebagainya.
Pada zaman awal Islam, ibu bapa sering membuat perjanjian dengan anak-anak mereka agar berakhlak mulia walau di mana sahaja berada. Sebagai contoh, kisah perjanjian antara Syeikh Abdul Qadir Jailani dengan ibunya.
Syeikh Abdul Qadir Jailani telah menceritakan: “Sejak kecil, aku telah membuat perjanjian dengan keluargaku untuk bercakap benar. Suatu hari, aku bermusafir dari Makkah ke Baghdad untuk menimba ilmu, lalu ibuku telah memberikan kepadaku 40 dinar sebagai wang perbelanjaan dan aku dikehendaki untuk bercakap benar walaupun dengan sesiapa jua. Ketika dalam perjalanan, tiba-tiba muncul sekumpulan perompak lalu mereka merompak rombongan yang aku sertai. Lalu datang seorang perompak kepadaku, lalu bertanya: “Apa yang kamu ada?”. Aku menjawab bahawa aku mempunyai 40 dinar. Dia hairan dengan sikap jujurku, lalu dia membawaku bertemu dengan ketua perompak.
Ketua perompak pun bertanya tentang apa yang ada padaku, lalu aku menjawab dengan jawapan yang sama juga. Ketua perompak itu kehairanan dengan jawapanku lalu bertanya: “Apa yang membuatkan kamu bercakap benar?”. Jawabku: “Aku telah berjanji dengan ibuku untuk bercakap benar, oleh itu aku takut untuk menkhianati janji”.
Tiba-tiba ketua perompak itu gementar sambil berteriak: “Awak takut untuk mengkhianati janji dengan ibumu, sedangkan aku tidak takut mengkhianati janji Allah?!!”.
Kemudian ketua perompak mengarahkan agar dikembalikan barang yang dirompak daripada rombonganku seraya berkata: “Aku bertaubat kepada Allah di hadapan kamu”. Lalu semua perompak itu mengikut jejak langkah ketuanya dengan bertaubat kepada Allah, hasil daripada keberkatan bersikap jujur dan benar”.
Tanggungjawab masyarakat dan negara pula dalam menangani masalah keruntuhan akhlak ini ialah dengan prihatin dan peka dengan persekitaran sekeliling. Anggota masyarakat sewajarnya sentiasa bekerjasama serta berusaha membasmi sebarang kegiatan maksiat yang berlaku di kawasan masing-masing. Kempen ‘maksiat sifar’ juga perlu diadakan dari semasa ke semasa bagi menyedarkan anggota masyarakat tentang bahaya keruntuhan akhlak.
Pihak berkuasa pula hendaklah berusaha mencari jalan terbaik untuk menguatkuasakan undang-undang yang lebih berkesan bagi menangani masalah sosial ini.
Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa daripada kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia ubah dengan tangan (kuasa), sekiranya tidak mampu, hendaklah mengubahnya dengan lisan, sekiranya tidak mampu juga, hendaklah mengubahnya dengan hati. Mengubah dengan hati itu adalah selemah-lemah iman”.
Kesimpulannya, setiap pihak mesti melaksanakan amanah dan tanggung jawab menangani masalah keruntuhan akhlak ini dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Kesan positif daripadanya akan lahir generasi muda-mudi yang cemerlang daripada sudut akhlak yang sudah tentu akan membimbing negara tercinta ini ke arah kemakmuran dan kesejahteraan.