Alam barzakh menunggu

Amalan Pilihan / Artikel Pilihan

Dr Mohd Khairy Asyraf Mohd Nathir

Setiap manusia akan meninggalkan dunia dan menuju ke alam yang nyata berbeza dengan kehidupan yang serba indah pada ketika ini. Kehidupan manusia yang sementara ini akan sentiasa di selubungi dengan keindahan, kesusahan, cabaran dan pelbagai lagi bertujuan untuk melihat siapakah di antara hamba Allah yang sebaik-baik amalan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk ayat 2)

Walaubagaimanapun, ada manusia yang diuji dengan ujian yang besar sehingga mereka tidak mampu lagi untuk hidup di atas dunia ini. Kesannya, ada yang membunuh diri bagi menyelesaikan masalah dunia yang dihadapi. Sedangkan mereka tidak mengetahui hakikat alam barzakh yang lebih dahsyat daripada kehidupan dunia.

Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya, janganlah setiap kamu mahukan kematian kerana adanya sesuatu kesusahan hidup yang menimpa. Apabila dia memang mahukan kematian tersebut, hendaklah dia berkata: “Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan itu baik bagiku dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Janganlah setiap kamu meminta kematian sebelum ajal menjemputmu kerana apabila seseorang kamu meninggal dunia, maka amal kebaikanmu akan terputus, sedangkan tujuan Allah memanjangkan usia seseorang Mukmin adalah menambah kebaikan mukmin itu sendiri.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Janganlah salah seorang daripada kamu semua mengharapkan kematian kerana jika dia adalah orang yang suka melakukan kebajikan, maka boleh jadi dia akan terus menambah kebaikan atau jika dia adalah orang yang sentiasa melakukan perbuatan dosa, maka boleh sahaja dia bertaubat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kematian bukan sekadar lenyapnya seseorang itu dan tidak akan ada lagi kejadian setelah itu, tetapi kematian adalah terputus atau terpisahnya hubungan antara roh dengan badan, bertukar atau berpindahnya sesuatu keadaan kepada keadaan yang lain, suatu tempat kepada tempat yang lain dan kematian adalah satu musibah paling besar.

Namun, terdapat perkara yang lebih dahsyat daripada kematian iaitu lalai dalam menghadapi kematian, berpaling dan hanya sedikit mengingati kematian serta meninggalkan amalan soleh yang merupakan bekalan yang besar selepas kematian. Bahkan pada kematian terdapat pesanan serta pelajaran bagi orang yang berfikir.

Kesempatan bertaubat untuk memohon keredaan Allah SWT

Keredaan Allah SWT hanya boleh diperoleh melalui taubat dan tidak lagi mengulangi perbuatan dosa yang lalu.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Oleh itu, sama ada mereka bersabar menderita azab atau sebaliknya (maka sama sahaja) kerana nerakalah tempat tinggal mereka dan jika mereka memohon peluang untuk mendapat keredaan Allah, maka mereka bukanlah lagi daripada orang-orang yang diterima permohonannya.” (Surah Fussilat ayat 24)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Abdullah At-Tastari, dia berkata: “Mahukan kematian adalah dilarang. Kecuali bagi tiga jenis orang iaitu orang yang tidak mengetahui apa yang akan berlaku setelah kematian, orang yang lari daripada takdir Allah SWT dan Orang yang amat ingin sekali berjumpa dengan Allah SWT.”

Diriwayatkan bahawa Malaikat maut datang menemui Khalilullah (Ibrahim AS) untuk mencabut nyawanya, lalu Nabi Ibrahim berkata: “Wahai Malaikat Maut, pernahkah kamu melihat seorang sahabat yang mahu mencabut nyawa sahabatnya sendiri? Mendengar kata-kata itu, Malaikat Maut Kembali menemui Allah SWT. Allah SWT lalu berkata kepada Malaikat Maut: “Adakah kamu pernah melihat seeorang yang tidak gembira bertemu dengan sahabatnya?” Setelah itu Malaikat Maut kembali menemui Nabi Ibrahim dan menyampaikan kata-kata Allah SWT kepdanya. Nabi Ibrahim berkata: “Jika demikian cabutlah nyawaku saat ini juga.”

Abu Darda menyatakan kematian yang menimpa diri seseorang Mukmin tujuannya adalah baik. Allah SWT berfirman maksudnya: “Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) daripada Allah. Dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang berbakti (yang taat, yang banyak berbuat kebajikan).” (Surah Ali Imran ayat 198)

Pada ayat lain Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia) dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).” (Surah Ali Imran ayat 178)

 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Hari Kiamat tidak akan berlaku sehingga orang yang lalu di kubur orang lain berkata: “Alangkah baiknya jika aku juga berada di situ.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Allah SWT menceritakan tentang Nabi Yusuf dan Maryam yang memohon kematian kepada Allah SWT. Kisah Nabi Yusuf ini adalah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian daripada kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian daripada ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh.” (Surah Yusuf ayat 101)

Kisah Maryam pula adalah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” (surah Maryam ayat 23)

Abu Qatadah menjelaskan: “Tidak seorang pun yang mahukan kematian, baik orang biasa mahupun Nabi kecuali Yusuf AS kerana keinginannya berjumpa dengan Tuhannya amat besar selepas mendapat nikmat serta kurnia yang melimpah daripada Allah SWT.”

Kisah Maryam pula terdapat dua pandangan mengapa Maryam inginkan kematian.

Pertama: Dia takut apabila orang berburuk sangka serta memburuk-burukkan sehingga menyebabkan fitnah bagi dirinya.

Kedua: Agar kaumnya tidak menuduhnya melakukan pembohongan serta kemaksiatan (zina) yang boleh membawa malapetaka bagi kaum itu.

Justeru, kematian merupakan kiamat kecil bagi semua manusia. Setiap manusia tidak akan terlepas daripada kematian. Tempoh kehidupan di dunia adalah sangat singkat. Oleh itu, setiap manusia perlu memanfaatkan masa yang ada untuk meningkatkan amal ibadah dan memperbanyakkan sedekah seterusnya memastikan kehidupan di alam barzakh kelak   dalam keadaan yang baik.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *