Analisis hadis kelebihan ibadah korban

Amalan Pilihan / Artikel Pilihan

Dr Mohd Khafidz Soroni

Antara perkara sunat yang digalakkan bagi orang yang hendak berkorban ialah memilih binatang korban yang besar dan terbaik. Diriwayatkan kelebihannya, haiwan korban itu akan menjadi tunggangannya untuk melintas titian sirat di akhirat kelak. Ini berdasarkan hadis: “Besarkanlah binatang korban kamu sekalian kerana sesungguhnya ia adalah tunggangan kamu sekalian di atas titian sirat.”

Hadis ini masyhur disebutkan dalam sebahagian kitab fiqah mazhab Syafii dan lain-lain. Antara yang menyebutkannya ialah Imam al-Haramain al-Juwaini dalam kitab al-Nihayah, diikuti kemudian oleh Imam al-Ghazali dalam kitab al-Wasit dan Imam ar-Rafie dalam kitab al-Aziz.

Bagaimanapun, hanya satu sumber hadis yang ditemukan iaitu riwayat ad-Dailami dalam kitab Musnad al-Firdaus daripada Abu Hurairah RA. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir terdapat pada sanadnya Yahya bin Ubaidillah, seorang perawi yang sangat daif. Dalam Taqrib al-Tahzib, dia dinilai sebagai matruk (ditinggalkan). Penilaian al-Hafiz Ibn Hajar turut dipersetujui dan dinukilkan oleh al-Hafiz as-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah dan al-Allamah al-Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’.

Meskipun hadis itu dinilai sangat daif, menurut saya ia belum palsu. Adapun pihak yang mengatakannya palsu, menyandarkan penilaiannya kepada Imam Ibn as-Solah dan Imam Ibn al-Arabi al-Maliki. Padahal mereka sebenarnya tidak begitu jelas menilai hadis berkenaan sebagai palsu. Kata Imam Ibn as-Solah: “Hadis ini tidak dikenali dan tidak sabit menurut apa yang kami ketahui”. Kata Imam Ibn al-Arabi dalam Aridat al-Ahwazi: “Tidak ada satu hadis sahih pun mengenai kelebihan berkorban. Orang ramai ada meriwayatkan tentangnya beberapa riwayat ajaib yang tidak sahih, antaranya sabda baginda: “Sesungguhnya ia adalah tunggangan kamu sekalian ke syurga.

Bagaimanapun, menurut rumusan saya, sama ada al-Hafiz Ibn Hajar, al-Hafiz as-Sakhawi, al-Allamah al-Ajluni, Imam Ibn as-Solah mahupun Imam Ibn al-Arabi tiada yang sarih mengatakannya sebagai hadis palsu. Kata-kata Imam Ibn al-Arabi di atas hanya menafikan adanya hadis sahih, namun beliau tidak menafikan adanya hadis hasan dan daif mengenai kelebihan berkorban. Buktinya, ketika beliau sedang mengulas hadis Aisyah RA, beliau tahu bahawa Imam at-Tirmizi menilainya sebagai hadis hasan. Iaitu sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai oleh Allah selain daripada mengalirkan darah (haiwan korban). Sesungguhnya ia (haiwan korban itu) akan datang pada Hari Kiamat kelak dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada (reda) Allah sebelum titisan darah itu jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kalian dengan berkorban.” Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan gharib

Kemudian Imam at-Tirmizi mengisyaratkan terdapat dua hadis lain mengenai kelebihan berkorban daripada Imran bin Husain RA dan Zaid bin Arqam RA. Pertama, hadis Imran bin Husain RA, iaitu sabda Rasulullah SAW: “Wahai Fatimah, pergilah kepada haiwan korbanmu dan saksikanlah ia sendiri kerana sesungguhnya akan diampunkan bagimu di awal titisan pertama yang mengalir daripada darahnya itu segala dosa yang kamu lakukan”. Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, katanya: Sahih sanadnya

Walaupun al-Hakim menilai sanadnya sahih, namun kata al-Hafiz az-Zahabi dalam at-Talkhis: “Bahkan, Abu Hamzah (pada sanadnya) adalah sangat daif”. Hadis Imran bin Husain RA ini turut disokong oleh hadis Abu Said al-Khudri RA yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, Abu as-Syeikh dan al-Hakim, namun terdapat pada sanadnya Atiyyah bin Qais, perawi yang dipertikaikan. Juga disokong oleh hadis Ali bin Abi Talib RA yang diriwayatkan oleh Abu al-Qasim al-Asbahani. Kata al-Hafiz al-Munziri dalam at-Targhib wa at-Tarhib: “Sebahagian syeikh kami menilai hadis Ali RA ini sebagai hasan.”

Kedua, hadis Zaid bin Arqam RA, iaitu sahabat RA bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah makna haiwan korban ini?” Jawab baginda: “Sunah bapa kamu sekalian, Nabi Ibrahim AS”. Sahabat bertanya lagi: “Maka, apakah yang kami peroleh, wahai Rasulullah?” Jawab baginda: “Bagi setiap bulunya satu kebaikan.” Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Majah dan al-Hakim, katanya: “Sahih sanadnya”. Namun begitu, terdapat pada sanadnya ‘A’izullah al-Mujasyi’i dan Abu Dawud al-A’ma, dua perawi bermasalah yang menjadikan sanad hadis ini sangat daif. Semua perbincangan hadis ini menunjukkan kepada kita betapa perlunya berhati-hati dan cermat dalam menilai sesuatu hadis. Namun begitu, hadis yang masih tidak disepakati palsu, boleh berfungsi sebagai galakan atau motivasi untuk kita giat beramal ibadah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *