Bahaya bangga dan viral maksiat

Artikel Pilihan / Lensa Isu

Mohd Shahrizal Nasir

Manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan dalam kehidupan. Ada kalanya manusia tergelincir melakukan kesalahan sehingga mendapat dosa kerana tewas dengan godaan syaitan. Ada kalanya pula, syaitan tidak boleh dipersalahkan kerana manusia juga boleh terjebak melakukan perbuatan dosa disebabkan nafsu jahat dalam diri.

Allah SWT merakam kenyataan tentang nafsu dalam al-Quran yang bermaksud: “…sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah Yusuf, ayat 53

Keadaan manusia yang terjebak dalam dosa dan kesalahan menunjukkan kelemahan diri yang gagal mematuhi perintah Tuhannya. Itulah sifat hamba yang sepatutnya mendambakan keampunan daripada Allah SWT yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Dialah Tuhan yang memiliki segala kesempurnaan termasuk dalam memberi pengampunan kepada sesiapa juga hamba yang kembali bertaubat kepada-Nya.

Daripada Anas bin Malik katanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman: (Maksudnya) “Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-Ku maka Aku mengampuni segala dosamu yang lalu dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu engkau minta ampun kepada-Ku nescaya Aku ampuni. Wahai anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-Ku tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan seluas bumi pula.” Hadis Riwayat at-Tirmidzi

Keluasan rahmat Allah SWT dalam mengampuni sesiapa sahaja hamba-Nya yang ingin kembali kepada-Nya tidak boleh ditandingi oleh sesiapa pun. Justeru, setiap umat Islam perlu sedar bahawa jika diri terjebak dalam dosa maka menjadi satu kewajipan ke atasnya untuk memohon keampunan daripada Allah SWT. Ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam banyak firman-Nya bahawa tidak ada seorang pun yang dinafikan hak untuk mendapat keampunan melainkan mereka yang terlibat dengan dosa syirik atau menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa lain daripada itu bagi sesiapa dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.” Surah an-Nisa’, ayat 48

Berkait dengan hal dosa, ada satu perkara yang perlu diperhalusi agar diri tidak terjebak melakukannya. Dalam keadaan diri telah melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT, ada lagi kesalahan yang boleh terjadi disebabkan dosa tersebut. Perbuatan inilah yang dikenali sebagai ‘mujaharah’.

Mujaharah bermaksud perbuatan melakukan dosa secara terang-terangan sehingga menyebabkan orang lain mengetahui diri seseorang telah melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT. Mujaharah juga merujuk kepada perbuatan seseorang yang melakukan dosa secara sembunyi, namun kemudian menghebahkan perlakuan dosanya kepada khalayak umum.

Orang yang melakukan perbuatan mujaharah dikenali sebagai ‘mujahir’ atau dalam bentuk kata jamak disebut ‘mujahirun’ ataupun ‘mujahirin’. Golongan ini termasuk dalam kalangan orang yang dimurkai Allah SWT. Perbuatan mereka menghebahkan dosa yang dilakukan membuktikan tidak ada lagi sifat malu dalam diri.

Golongan mujahirin ini juga seolah-olah tidak takut dengan azab yang disediakan oleh Allah SWT bagi mereka yang melanggar ketetapan-Nya. Neraka yang disediakan untuk golongan yang ingkar terhadap ketetapan Allah SWT seakan-akan tidak lagi menjadi tempat yang digeruni kerana golongan mujahirin rela perbuatan mereka diketahui oleh orang ramai.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan ‘al-mujahirin’. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah seorang lelaki melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘Wahai si fulan, semalam aku melakukan perbuatan dosa itu dan ini’. Padahal sungguh pada malam harinya, Tuhannya telah menutup dosa yang dia lakukan, namun dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutup tentang dosa dirinya.” Hadis Riwayat al-Bukhari

Perbuatan ‘mujaharah’ juga dilihat sebagai usaha mempromosi kemungkaran agar orang lain turut terjebak melakukannya. Perkara ini perlu dibanteras kerana perbuatan buruk mesti disekat agar tidak berlaku penularan kepada orang lain yang menyaksikannya atau mendengar cerita kemungkaran berkenaan. Golongan mujahirin juga dilihat tidak hairan dengan peluang keampunan yang diberikan oleh Allah SWT kepada seluruh makhluk-Nya. Mereka sanggup mempromosikan kesalahan dan dosa yang dilakukan tanpa memikirkan kesan buruk yang boleh terjadi terhadap maruahnya pada masa akan datang.

Dalam kepesatan dunia teknologi maklumat hari ini, terlalu mudah untuk seseorang mendedahkan dosa yang dilakukannya kepada khalayak umum. Ada yang menyebarkan berita kemungkaran yang dilakukan dalam media sosial sendiri untuk mendapat perhatian ramai. Ada juga yang berasa bangga jika berita kemungkaran yang dilakukan ditularkan sehingga menjadi isu yang dibincangkan secara hangat oleh netizen.

Tidak kurang juga yang dilihat seolah-olah ingin mencabar pihak berkuasa agama dengan mendedahkan perlakuan tidak baik untuk dijadikan tontonan orang awam. Hak untuk mendapat kebebasan dijadikan modal untuk mewajarkan perbuatan mungkar sehingga timbul ungkapan seperti ‘ini dosa saya, saya yang tanggung’, ‘jangan masuk campur urusan peribadi saya’, ‘kamu jaga hal sendiri, jangan jaga tepi kain orang lain’ dan ‘kalau tak suka, janganlah lihat’.

Sesungguhnya sifat malu adalah benteng diri daripada terjebak dengan perbuatan keji dan mungkar. Sebab itu malu mempunyai perkaitan rapat dengan iman. Orang yang beriman akan memiliki sifat malu yang dapat menyelamatkan diri dan iman mereka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu suka.” Hadis Riwayat al-Bukhari

Setiap Muslim perlu menyedari setiap kesalahan dilakukan wajib segera memohon keampunan Allah SWT. Dialah Tuhan yang tidak sesekali mensia-siakan perbuatan hamba-Nya yang ingin kembali bertaubat dan menjadi orang diampuni dosanya. Jangan terlibat dengan perbuatan ‘mujaharah’ kerana ia menjadikan diri semakin jauh daripada rahmat dan keampunan-Nya.

Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: “… Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat …” Surah al-Baqarah, ayat 222

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *