Buat kebaikan kepada semua

Amalan Pilihan

Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

BERBUAT baik adalah tuntutan agama. Berbuat baik akan memberi manfaat kepada diri sendiri, masyarakat dan negara. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” (Surah al-Isra’, ayat 7)

Oleh itu, menjadi tuntutan kepada umat Islam untuk berbuat baik. Bahkan, kita dituntut berlumba-lumba membuat kebaikan. Allah SWT berfirman: “Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.” (Surah al-Maidah, ayat 48)

Dalam konteks ini, kita diperintahkan berbuat baik kepada manusia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Malah, sebenarnya tuntutan berbuat baik (ihsan) adalah kepada semua makhluk termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat baik kepada segala sesuatu.” (Riwayat Tirmizi)

Berbuat baik kepada semua orang akan memberikan impak positif dan kesan yang baik. Rasulullah SAW ketika menerima wahyu pertama, pulang ke rumah dalam keadaan takut.

Namun, diredakan oleh Saidatina Khadijah (RA) dengan kata-kata beliau: “Tidak perlu engkau takutkan. Demi Tuhan, Dia tidak akan menghinakanmu selama-lamanya sebab engkau adalah orang yang selalu memelihara silaturahim, membantu orang susah, menghormati dan menjamu tetamu dan menolong orang yang menderita dalam membela kebenaran.”

Ini adalah contoh bagaimana sikap berbuat baik kepada semua orang menjadikan seseorang itu disayangi dan dihormati, jauh sekali daripada dikhianati atau disakiti.

Penegasan Saidatina Khadijah seharusnya menjadi suntikan motivasi kepada umat Islam untuk menjadi contoh terbaik dalam berbuat baik kepada semua orang. Apatah lagi, Rasulullah SAW adalah kudwah (contoh ikutan) terbaik sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Banyak contoh yang ditunjukkan Rasulullah SAW, antaranya ketika Baginda menyantuni orang Yahudi yang sentiasa menyakiti baginda. Namun, apabila dia (Yahudi itu) meninggal dunia Rasulullah SAW tetap menziarahinya.

Rasulullah SAW adalah utusan Allah SWT yang membawa rahmat ke seluruh alam. Semua pedoman daripada Baginda sesuai diguna dan diikuti oleh semua.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat sekalian alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)

Tuntutan berbuat baik yang paling utama ialah berbuat baik kepada ibu bapa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Ayat ini jelas memerintahkan anak berbuat baik kepada ibu bapa. Sebaliknya, dalam perkara yang sama Allah SWT melarang anak menderhaka kepadanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘uff’ (ah) dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Kita juga diperintahkan agar berbuat baik kepada jiran. Malah, ia menjadi neraca keimanan seseorang. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia bercakap yang baik-baik ataupun diam sahaja, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah ia memuliakan jirannya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah ia memuliakan tetamunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Haiwan juga berhak mendapat kebaikan. Ketika menyembelih binatang ternakan diperintahkan penyembelih melakukan belas kasihan dan menyembelih dengan cara terbaik seperti menyembelih dengan alat yang tajam supaya tidak menyiksa binatang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menentukan (memfardukan) ihsan dalam semua perkara. Jika kamu membunuh maka bunuhlah dengan cara yang terbaik dan jika kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan cara yang terbaik. Tajamkanlah pisau sembelihan dan berilah kerehatan kepada binatang yang disembelih itu. (Riwayat Muslim)

Manakala, berbuat baik kepada tumbuhan juga adalah tuntutan yang tidak boleh diabaikan. Selain tuntutan menjaga dan memelihara persekitaran, kita juga dilarang memusnahkan pokok dan tumbuhan tanpa tujuan. Apatah lagi, tindakan yang membawa kepada pencemaran seperti pembakaran terbuka dan apa-apa bentuk kerosakan lain.

Bahkan, dalam keadaan peperangan sekalipun terdapat etika yang mesti dipatuhi. Saidina Abu Bakar al-Siddiq memberi wasiat kepada Usamah bin Zaid ketika mengetuai tentera ke Syam, katanya: “Janganlah kamu merosakkan pokok tamar dan membakarnya. Janganlah kamu menebang pokok yang berbuah.”

Secara umum, tuntutan berbuat baik meliputi seluruh makhluk khususnya sesama manusia. Sifat baik kepada semua orang akan menjamin perpaduan nasional dan kestabilan sosial.

Tegasnya, orang yang berbuat baik disayangi Allah SWT sebagaimana firman-Nya: “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik (berusaha memperbaiki amalannya).” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Yakjuj dan Makjuj

Disember 10, 2021

Usah asyik mengeluh

Disember 12, 2021