Siti Nur Baiin Che Harun
Tahun 1443 Hijrah hampir melabuhkan tirainya. Walaupun negara masih lagi diuji dengan kes Covid-19, mari kita ambil peluang untuk meningkatkan momentum dan menanam azam untuk tahun baru ini. Ia sekali gus memimpin hala tuju kita khususnya dalam memperkasakan lagi amalan seharian kita. Jadikan musibah dan ujian Covid-19 ini sebagai satu hikmah dan sumber kekuatan untuk kita lebih beriman kepada Allah SWT.
Solat
Solat amalan paling utama yang perlu kita jaga dalam kehidupan seharian kita. Nabi SAW pernah ditanya: “Amalan apakah yang paling utama?” Baginda menjawab: “Solat pada awal waktu.” (Hadis Riwayat Tirmidzi). Solatlah di awal waktu, utamakan solat dalam segala hal dan urusan. Langsaikan dahulu tanggungjawab kita dengan Allah SWT barulah kita rasa tenang dan lapang. Malah, barakahnya tidak ternilai. Sentiasa perbaiki kualiti solat kita, seolah-olah kita menjaga sesuatu yang sangat berharga dan kita tidak mahu ia rosak atau tercalar. Tidak mahu ada lompong atau sedikitpun cela.
Selain menjaga solat wajib, bolehlah mula memperbanyakkan solat sunat, sekali gus memperbaiki kualiti solat wajib dengan menampung semula solat kita dengan solat sunat Rawatib: Qabliyah dan Ba’diyah. Sentiasa belajar dan ambil cakna untuk faham bacaan dalam solat. Selalu mencari dan menuntut ilmu dalam hal dan cara solat yang betul. Semak semula solat dan berusaha untuk khusyuk dalam solat. Lupakan sebentar urusan dunia. Setelah solat, ambil masa untuk banyakkan berdoa, berzikir, dan beristighfar. Rayulah kepada Allah dan mohon keampunan atas semua dosa yang dilakukan. Wujudkan pembudayaan solat berjemaah bersama keluarga. Mewujudkan ruang dan masa solat di pejabat atau di tempat kerja. Jaga kebersihan diri, beradab dalam berpakaian ketika solat supaya tidak membatalkan syarat sah solat secara tidak sedar.
Puasa sunat
Melazimi puasa sunat pada Isnin dan Khamis adalah satu amalan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT di dunia juga di akhirat. Amalan berpuasa pada Isnin dan Khamis adalah untuk melatih diri dengan sifat-sifat mulia, menjauhkan diri daripada kemaksiatan kepada Allah. Ia juga mampu merehatkan organ pencernaan dalam tubuh badan kita dan terdapat manfaat yang besar untuk kesihatan tubuh manusia. Allah menjanjikan pintu syurga Ar-Rayyan bagi mereka yang berpuasa.
Daripada Sahl bin Sa’ad RA berkata, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya di syurga ada satu pintu yang diberi nama Ar-Rayyan, iaitu pintu masuk bagi orang yang berpuasa di Hari Kiamat nanti. Tidak akan masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, akan diseru oleh penjaganya: “Di manakah orang yang berpuasa?” Maka mereka yang berpuasa pun bangun (memasukinya), tidak ada yang akan memasukinya melainkan mereka sahaja. Apabila mereka memasukinya, pintu itu akan ditutup, maka tiada siapa lagi yang akan dapat memasukinya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Baca dan belajar al-Quran
Dalam kebanyakan komitmen, jarang sekali kita peruntukkan khas untuk bayaran yuran kelas agama atau kelas belajar mengaji al-Quran. Jika kelas tuisyen, kelas memasak, kelas diet, langganan untuk saluran tertentu di TV dan sebagainya boleh pula kita asingkan komitmen bulanan untuk membayarnya. Jadi apa salahnya dalam norma baharu ini, kita khususkan komitmen untuk bayaran kelas mengaji al-Quran sama ada secara maya atau membayar orang yang lebih pakar untuk datang mengajar di rumah kerana al-Quran itu wajib dipelajari. Bacaan harian kita juga perlu diperdengarkan atau talaqqi bersama ustaz atau ustazah untuk memperbaiki bacaan kita. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta menginfaqkan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau terbuka dengan mengharapkan (daripada amalan yang demikian) sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.” (Surah al-Fathir: 29)
Sedekah
Memetik pesanan terakhir Al-Marhum Datuk Dr Harun Din tentang sedekah. “Orang Mukmin yang hebat ialah, dia bersedekah sampai kaya, bukan dah kaya baru bersedekah.” Maksud sedekah itu amat luas sekali dan tidak semestinya berbentuk kebendaan. Bersedekahlah tidak kira harta, wang ringgit, tenaga, pertolongan, senyuman, menyebarkan ilmu, masa dan sebagainya. Didiklah diri, anak, keluarga dan masyarakat untuk selalu bersedekah. Perbuatan sedekah amatlah disukai oleh Allah SWT.
Di saat ramai dalam kalangan kita diuji dengan kehilangan pekerjaan, hilang punca rezeki, diuji dengan kesihatan contohnya, sedekah sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam kesusahan dan meringankan beban. Berilah pertolongan dalam apa jua bentuk. Bersedekah adalah salah satu amalan yang boleh membersihkan harta kita, membuka pintu rezeki, mampu memadamkan murka Allah, membuat hati tenang, membawa rezeki, memadamkan dosa dan memadamkan api neraka. “Sesungguhnya sedekahnya orang Muslim itu dapat menambah umurnya, dapat mencegah kematian yang buruk, Allah akan menghilangkan daripadanya sifat sombong, kefakiran dan sifat bangga pada diri sendiri.” (Hadis Riwayat Thabrani)
Jaga aurat
Hukum menutup aurat mengikut syarak adalah wajib. Azam untuk menutup aurat dengan sempurna juga salah satu azam yang baik sekali. Semak dan muhasabah cara kita berpakaian terutama wanita sama ada menepati syarak atau sekadar mengikut trend masa kini. Berhijrahlah kepada yang lebih baik. Betulkan semula niat kita bukan untuk menang di pandangan manusia. Tujuan kita hanya satu kerana Allah. Kewajipan menutup aurat ini adalah untuk menjaga kehormatan diri.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur: Ayat 31). Elakkan daripada banyak membuat hantaran di media sosial yang melampaui batas kerana bimbang menimbulkan fitnah. Ia juga bagi mengelakkan penyakit ‘ain’.
Semoga kita tergolong dalam golongan yang Allah redai dalam apa jua perbuatan dan dijauhkan daripada amalan yang sia-sia.