Hayati erti sebenar raya

Amalan Pilihan

Fadly Samsudin

Ketika ini seluruh umat Islam sedang bergembira dapat meraikan Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.

Peluang cuti sempena Aidilfitri ini juga pastinya tidak dilepaskan untuk bertandang ke rumah jiran, sanak-saudara dan rakan.

Amalan kunjung- mengunjungi itu amat digalakkan bagi mengeratkan kembali hubungan ukhuwah dan ikatan persaudaraan.

Mungkin ketika ini ada sebahagian kita yang sudah mula bekerja. Walaupun masa bercuti agak singkat namun peluang pulang ke kampung pastinya dapat mengubat kerinduan terhadap keluarga tercinta.

Kita dituntut meraikan Aidilfitri dalam suasana penuh nikmat dan syukur selepas berjaya melatih diri sepanjang tarbiah pada bulan Ramadan lalu untuk menjadi insan bertakwa.

Berbicara mengenai amalan berziarah, didapati amalan itu semakin kurang dilakukan terutama kepada generasi muda.

Ada sebahagian yang kurang berminat lagi untuk pulang ke kampung. Begitu juga halnya ada dalam kalangan masyarakat kita tidak pulang ke kampung ketika sambutan Aidilfitri dan membawa keluarga pergi ke luar negara.

Mengimbau kenangan menyambut lebaran di kampung, suasananya sebenarnya lebih meriah dan penuh kemesraan.

Kanak-kanak adalah insan paling gembira. Pada awal pagi lagi mereka sudah bersiap dengan memakai pakaian berwarna-warni sebelum beramai-ramai berjalan kaki menuju ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Selesai solat sunat Aidilfitri, bermulalah aktiviti ziarah dan boleh dikatakan hampir setiap rumah akan dikunjungi untuk mengutip duit raya.

Itu sebahagian pengalaman paling menyeronokkan buat kanak-kanak ketika menyambut Aidilfitri satu ketika dulu.

Suasana itu mungkin tidak sama lagi dengan zaman kanak-kanak pada masa kini.

Terlalu banyak kelebihan dan hikmah berziarah kerana Islam memberi peluang kepada keluarga, sahabat-handai mahupun jiran tetangga bertemu dan bertanya khabar.

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat janganlah ia menyakiti jirannya dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Pendakwah dan juga perunding syariah, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi berkata, tradisi menyambut Aidilfitri di kampung adalah sesuatu dituntut dalam Islam kerana perayaan itu disambut bersama ibu bapa selain berkumpulnya ramai sanak-saudara.

Beliau berkata, walaupun tidak ada dalil berkaitan arahan Nabi SAW supaya pulang ke kampung, namun ulama mendefinisikan berbuat baik kepada ibu bapa itu termasuk menziarahi, memberi khidmat, bermaafan, menyayangi dan menyantuni mereka sebaik mungkin.

“Jika sudah tidak ada kedua-dua mereka, ziarahilah kubur serta mendoakan kebaikan buat mereka sebagaimana diajar Baginda SAW.

“Selain itu, kampung adalah lokasi berkumpulnya adik-beradik serta sanak- saudara. Hal kebaikan itu tidak diperoleh jika beraya di luar negara,” katanya.

Menurutnya, menjadi satu perkara yang canggung apabila terdapat mereka yang pergi melancong ke luar negara ketika menyambut lebaran.

“Ia seolah-olah cuti yang ada selepas penat bekerja digunakan untuk melancong ke tempat impian mereka. Sedangkan sambutan Aidilfitri adalah kembali kepada fitrah.

“Fitrah kita sebagai hamba Allah SWT, anak kepada ibu bapa kita, ahli keluarga dalam susur-galur keturunan kita.

“Maka, utamakan pulang merayakan Aidilfitri yang penuh dengan pahala dan dianjurkan agama kerana percutian itu boleh dirancang pada masa lain,” katanya.

Beliau berkata, begitu juga dengan amalan terbawa-bawa oleh golongan anak muda yang pulang ke kampung apabila kurang bergaul dengan saudara mereka.

“Dalam mengkritik karakter anak generasi muda ini, tidak wajar kita hanya menyalahkan mereka yang dikatakan banyak menghabiskan masa menonton televisyen dan melayari Internet di tablet atau telefon pintar.

“Ini kerana amalan mereka itu dibentuk serta ditiru daripada ibu bapa mereka. Bahkan, sifat anak muda sememangnya suka berkawan dan bersosial, namun apa yang lemahnya ibu bapa jarang mempedulikan pengisian percutian perayaan buat mereka,” katanya.

Katanya, hal itu bertentangan dengan pandangan ulama yang menyatakan ‘perkara yang menjadi kebiasaan ketika kecil akan terbiasa sehingga dewasa.’

“Ibu bapa patut membetulkan keadaan itu dengan menyatakan ketika berziarah, telefon hendaklah disimpan.

“Selain itu, berikan anak-anak tugasan apabila ada tetamu datang seperti menghidangkan makanan, membasuh pinggan mangkuk, mengisi kuih raya ke dalam balang dan sebagainya,” katanya.

Menyentuh mengenai perbezaan sambutan Aidilfitri zaman kanak- kanak, masa kini dan dahulu, beliau berkata, salah jika sebagai ibu bapa mengharapkan perayaan Aidilfitri disambut seperti zaman mereka dahulu.

“Kita kena sedar peredaran masa dan keperluan generasi kini.

“Hal itu berbeza bagi anak-anak yang tinggal di bandar kerana terdapat beberapa isu, antaranya keselamatan di jalan raya, lokasi masjid terletak di tengah bandar, jiran pulang beraya ke kampung yang berbeza dengan suasana beraya di kampung,” katanya.

Menurutnya, Nabi Muhammad SAW mengajar mengenai adab berziarah sebagaimana dinyatakan di dalam al-Quran dan hadis.

“Sebelum masuk ke rumah yang dikunjungi wajib mengucapkan salam. Ia bagi menjaga aurat dan istirahat tuan rumah supaya bersedia menerima tetamu dengan ikhlas.

“Ketika berbual janganlah bercerita mengenai keburukan orang lain sehingga terjadinya mengumpat sedangkan selama Ramadan sudah banyak pahala diperoleh.

“Amat malang sekali sekiranya kita merosakkan tarbiah Ramadan. Tinggalkan gajet kita ketika berbual kerana Baginda SAW apabila bercakap akan memandang wajah orang di hadapannya di samping menuturkan kata-kata dengan jelas,” katanya.

Katanya, di mana adab jika di tangan ada telefon sambil mata memandang ke skrin telefon.

“Bukankah itu perbuatan yang biadab? Selain itu, jangan mencela makanan dihidangkan jika ia tidak kena dengan selera kita.

“Akhirnya, jangan lupa mendoakan orang yang diziarahi dengan kebaikan agar segala amalan mereka ketika Ramadan lalu diterima Allah SWT,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *