Oleh Nazri Abu Bakar
Begitu pantas masa berlalu, seperti baharu sahaja menyambut ketibaan 2021 tetapi hari ini sudah di tahun 2022. Kepantasan masa beralih jadikanlah asbab untuk sentiasa bermuhasabah diri dan kembali semula kepada pencipta kita Allah SWT.
Tahun 2021 meninggalkan pelbagai episod kenangan yang tidak akan dilupakan dalam perjalanan hidup sama ada suka atau duka. Apatah lagi semua kita diduga dengan ujian yang cukup hebat termasuk pandemik COVID-19 dan banjir. Kelihatannya dugaan itu perlu terus diharungi sepanjang 2022.
Allah SWT memberikan peringatan
Penceramah agama yang juga Peguam Syarie, Che Zam Zam Che Man, berkata bermacam-macam musibah yang melanda sepanjang tahun 2021, seolah-olah memberikan isyarat kepada semua bahawa Allah SWT memberikan peringatan untuk kembali kepada-Nya.
- anya, surah Al Hadid ayat enam, Allah SWT memberikan pertanyaan kepada orang yang mengaku beriman; ‘Apakah belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman itu, untuk khusyuk hati mereka mengingat Allah…”
“Tahun berganti tahun tanpa disedari usia semakin bertambah angkanya, namun ramai tertipu dengan hanya memandang pada nombor yang semakin bertambah, tetapi hakikat sebenar yang sering dilupakan adalah melihat berapa lagikah usia yang berbaki.
“Cuba kita fikirkan, contohnya jika tahun 2022 ini umur kita sudah mencapai 50 tahun dan jika ditakdirkan kita akan tinggalkan dunia ini sewaktu umur 55 tahun, ini bermakna baki usia kita hanya lima tahun sahaja lagi.
“Tahun hadapan umur kita bertambah 51 tahun, maka baki usia tinggal empat tahun lagi begitulah pada tahun berikutnya. Baki usia manusia semakin berkurang, persoalannya kita hanya tahu tarikh kelahiran tetapi tiada siapa tahu tarikh kematian,” katanya.
Tegas Che Zam Zam, Nabi Muhammad SAW menegaskan di dalam hadis yang bermaksud ; “Sebaik-baik manusia ialah orang yang panjang umurnya dan baik amalannya” (HR Tirmizi). Justeru, sepatutnya semakin bertambah usia semakin dekat diri kepada Allah SWT dan semakin bertambah amal kebaikan. Apa yang perlu dibimbangi semakin bertambah usia, semakin jauh dari tuhan dan semakin banyak melanggar perintah-Nya.
Syeikh Fudail Iyad berpesan dalam kalam hikmahnya yang bermaksud ; “Jika kamu sudah mencapai usia 40 tahun, 50 tahun dan 60 tahun, hakikat yang sebenarnya kamu sedang berjalan menuju kepada Tuhan mu, justeru gunakanlah kesempatan di usia begini untuk kamu belajar mendekatkan dirimu kepada Allah SWT.
Jika di usia ini kamu masih melakukan dosa, sedangkan dosa pada usia muda dahulu belum lagi bertaubat kepada Allah, maka kamu akan dihukum dengan dua dosa sekali gus iaitu dosa pada masa muda dan pada usia tua.
Katanya, usia yang Allah pinjamkan di dunia ini sebenarnya modal yang perlu dijaga dan tidak disalah gunakan. Nabi SAW bersabda di dalam hadis bermaksud; ‘Dua nikmat yang kebanyakan manusia tertipu di dalamnya iaitu nikmat sihat dan nikmat waktu lapang’ (HR Al-Bukhari)
“Saya berikan tamsilan usia yang Allah pinjamkan untuk kita ini seperti beza antara pokok tebu dan buah kelapa. Jangan jadi umur kita seperti pokok tebu, ia hanya manis pada pangkalnya, tetapi makin hujung ia makin tawar.
“Kita bimbang makin bertambah umur kita, makin tawar amalan yang dilakukan. Semakin jauh dari Allah. Tidak ada kemanisan dalam ibadat yang kita lakukan. Solat, berjemaah di masjid, duduk dalam majlis ilmu, puasa, bacaan al Quran, zikir dan semua amalan yang dilakukan menjadi tawar di penghujung usia kita. Tetapi jadikanlah umur kita seperti buah kelapa, ia makin tua makin pekat santan dan minyaknya,” katanya.
Justeru, semakin bertambah usia, semakin terasa kemanisan amalan yang kita lakukan dan semakin seronok melakukan amal ibadat, makin dekat dengan Allah malah solat, puasa, bacaan al Quran, zikir, duduk dalam kuliah dan semua amalan yang dilakukan terasa nikmat dan kemanisannya.
Imam Ghazali berpesan dalam kata-kata hikmahnya yang bermaksud; ‘Apabila seseorang yang sudah mencapai usia 40 tahun ke atas maka hendaklah ia menimbang amalannya antara kebaikan dan keburukan yang mana satu lebih berat dilakukannya.
Sebaliknya, jika amalan kebaikannya lebih berat dan banyak dilakukannya maka ia sudah bersiap sedia untuk masuk ke dalam syurga Allah.
Tidak ada banyak masa
Namun, jika amalan keburukan yang dilakukan itu lebih berat dan banyak berbanding kebaikan, maka seolah-olah dia bersiap sedia untuk masuk ke dalam api neraka’.
Jelasnya, tidak ada banyak masa lagi yang tinggal kerana dunia berada di penghujung zaman yang penuh fitnah dan ujiannya. Justeru jangan menangguhkan lagi untuk kembali kepada Allah SWT, tuhan yang menciptakan alam ini.
Allah SWT mengingat kepada hambanya dalam Surah Az Zumar ayat 54; ” Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab, kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.
Apapun, perjalanan hidup mesti diteruskan dan semestinya insan perlu memiliki cita-cita untuk kembali ke kampung asal di syurga Allah SWT, kerana dunia bukan tempat asal, ia penuh dengan permainan, ketidakadilan, kezaliman dan tipu daya kerana dunia bukan tempat tinggal, tetapi ia adalah tempat untuk ditinggalkan.
Carilah sebanyak mungkin amalan soleh yang akan dibawa ke sana, kerana pengakhiran adalah sama untuk semua tidak mengira kaya atau miskin, berpangkat atau tidak, ada pengikut atau tidak dikenali, satu hari nanti setiap manusia pasti pulang bertemu Allah SWT.
Akhirat tidak menuntut untuk manusia pulang membawa segala harta, pangkat, kuasa, kemasyhuran yang dimiliki di dunia ini, tetapi bertemulah dengan Allah SWT membawa iman sempurna dan amalan soleh.