Jenis manusia tidak dapat cium bau syurga

Amalan Pilihan / Artikel Pilihan

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

MANUSIA akhir zaman tidak dapat lari daripada pelbagai ujian yang menatijahkan kepada kejayaan di dunia dan akhirat. Kehidupan sementara yang serba indah menjadi medan utama bagi memastikan setiap amalan yang dilakukan mendapat rahmat Allah SWT seterusnya membawa ke tempat kekal abadi iaitu di syurga.

Bagaimanapun, peringatan demi peringatan disampaikan oleh baginda Nabi SAW sebagai pedoman bagi manusia menghadapi hari mendatang dalam kehidupan. Di antara peringatan besar yang perlu untuk dilihat secara terperinci adalah jenis manusia yang tidak akan mencium bau syurga disebabkan amalan dilakukan bertentangan dengan syariat.

1. Manusia yang sombong

Orang yang sombong tidak dapat mencium bau syurga kelak. Baginda Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tidaklah seorang lelaki meninggal dunia dan ketika dia meninggal di dalam hatinya terdapat sifat sombong sebesar sebiji sawi, akan haram baginya mencium bau syurga atau melihatnya. Lalu seorang lelaki daripada suku Quraisy yang bernama Abu Raihanah berkata: “Demi Allah wahai Rasulullah, aku benar-benar menyukai keelokan dan menggemarinya sehingga pada gantungan cemetiku dan juga pada tali sandalku!’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Itu tidaklah termasuk al Kibr (sombong), sesungguhnya Allah Azza wajalla itu indah dan menyukai keindahan. Akan tetapi al Kibr itu adalah siapa yang bodoh terhadap kebenaran kemudian meremehkan manusia dengan kedua-dua matanya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Menerusi hadis ini, sombong merujuk kepada mereka yang tidak dapat menerima kebenaran yang telah jelas di depan mata mereka bahkan meremehkan orang lain. Keadaan ini amat banyak berlaku dan masing-masing mempunyai hujah tersendiri. Natijahnya, golongan sengaja menyelewengkan fakta semata-mata untuk kepentingan diri sendiri adalah mereka yang sombong.

2. Manusia mencari ilmu akhirat untuk duniawi

Menuntut ilmu adalah keutamaan dan kepentingan yang perlu didahulukan terutama ilmu akhirat. Namun, jika ilmu akhirat dicari hanya untuk duniawi semata-mata, orang berkenaan terancam dan tidak akan mendapat bau syurga. Baginda Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Barang siapa menuntut ilmu yang seharusnya untuk Allah, namun dia tidak menuntutnya kecuali untuk mencari dunia, maka pada hari kiamat dia tidak akan mendapatkan bau syurga.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Gambaran daripada hadis ini menjelaskan keadaan ilmu yang dituntut hanya untuk mendapatkan habuan dunia semata-mata. Akibatnya, golongan ini tidak akan mendapat bau syurga. Situasi ini melibatkan golongan yang berkata-kata atau berkongsi semata-mata melihat nilai upah bakal diperoleh. Hakikatnya, apa yang disampaikan adalah semata-mata untuk kepentingan ‘poket’ dunia. Jika sedikit upah yang dijanjikan, maka ringkas sahaja perkongsiannya dan jika banyak yang digandakan, pasti nilai ilmu tersusun dan menarik untuk diteliti.

3. Menisbatkan nasab bukan kepada ayahnya

Hakikat nasab sesuatu yang sangat dijaga. Seseorang yang mengaku sebagai anak orang lain atau tidak mengakui ayahnya sendiri akan mendapat ancaman iaitu tidak akan mencium bau syurga. Islam melarang umatnya menisbatkan nama kepada nama orang lain. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Barang siapa yang mengaku memiliki hubungan nasab kepada selain ayahnya, maka syurga menjadi haram baginya, padahal bau syurga dapat dicium sepanjang jarak perjalanan lima ratus tahun.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Manusia akhir zaman amat mudah melupakan jasa sosok tubuh yang digelar ayah. Apabila berdepan dengan situasi yang tidak mencerminkan kehidupan sebenar, mereka sanggup menasabkan diri mereka kepada ayah yang lain semata-mata ingin menampakkan kehebatan, kecerdikan dan kemewahan.

4. Wanita yang berpakaian tetapi telanjang

Ramai wanita mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat sehingga menampakkan perhiasan, rambut dan bahagian yang sepatutnya ditutup. Perkara ini mula berkembang dengan pantas apabila portal pembelian dalam talian mengeluarkan pelbagai fesyen terkini yang tampak jelas mutakhir ini.

Situasi ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW tentang perilaku wanita akhir zaman apabila melibatkan pemakaian mereka. Nabi SAW bersabda maksudnya: “Pada umatku yang akan datang ini, akan ada orang lelaki yang naik pelana kuda yang menyerupai pelana unta, lalu turun di pintu masjid. Wanita mereka berpakaian, tetapi telanjang, rambut kepala mereka bagaikan bonggol unta yang tinggi. Laknatlah mereka kerana mereka ialah wanita terlaknat. Kalau di belakangmu (sesudahmu) nanti masih ada umat lain, nescaya wanita kamu akan melayani wanita mereka sebagaimana dahulu kamu dilayani oleh wanita bangsa sebelum kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Hadis ini jelas menunjukkan keadaan wanita akhir zaman berpakaian sehingga setiap jenis fesyen yang dikenakan pasti menarik mata (lelaki) untuk melihatnya. Perkara ini dilihat menjadi trend terkini khususnya wanita yang berkerjaya apabila sanggup berbelanja sakan demi dilihat bergaya dan cantik di tempat kerja masing-masing. Jika fesyen yang dikenakan mengikut syariat Islam, maka tiada apa yang ingin digusarkan. Islam tidak melarang umatnya untuk dilihat cantik, namun apabila melampaui batas, perkara ini ditegah Nabi SAW.

Apakah yang dimaksudkan dengan wanita berpakaian tetapi terlanjang?

Dr Yusuf al-Qardhawi dalam kitab Al-halal wa al-haram fi al-Islam menjelaskan, wanita yang berpakaian, tetapi telanjang sebagaimana sabda Nabi SAW merujuk kepada pakaian dipakai wanita tidak berfungsi sebagai benteng bagi menutup keseluruhan aurat mereka. Antara ciri-ciri pakaian itu ialah nipis, ketat, singkat dan menampakkan bahagian utama badan.

5. Wanita yang minta cerai tanpa alasan

Perceraian perkara yang sangat dibenci oleh Allah SWT. Lebih-lebih lagi jika ada perempuan yang meminta perceraian daripada suaminya tanpa mempunyai alasan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “Seseorang wanita yang meminta cerai kepada suaminya bukan kerana kesalahan, maka haram baginya bau syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Punca utama perceraian ialah tiada persefahaman, pasangan curang, pasangan mengabaikan tanggungjawab, campur tangan keluarga dan orang luar serta masalah kewangan. Antara yang membimbangkan lagi, berlakunya perceraian itu adalah kerana sebab amat remeh yang pada dasarnya boleh diselesaikan dengan duduk berbincang antara satu sama lain.

Namun, yang berlaku di sebalik penceraian ini juga melibatkan isteri meminta cerai tanpa alasan kukuh. Maka disebabkan itu, wanita ini tidak akan menghidu bau syurga.

Oleh itu, kita sebagai manusia yang diberikan akal fikiran yang waras, perlu melihat dan meneliti perkara ini agar setiap tingkah laku seharian tidak menjurus kepada golongan digambarkan sebagai tidak akan mencium bau syurga.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *