Kejayaan tak datang bergolek

Amalan Pilihan / Lensa Isu

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

KEJAYAAN dan kegagalan, kemenangan dan kekalahan dan seumpamanya adalah lumrah  realiti kehidupan yang pasti ditempuhi oleh setiap manusia di atas muka bumi ini. Ia tidak hanya berlaku dalam dunia permainan atau perlawanan bola sepak, olahraga, peperiksaan dan sebagainya, malah ia juga berlaku seiringan dalam setiap detik serta ruang lingkup hidup manusia seperti politik, peperangan, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Namun, tidak semua orang dapat menerima berita kejayaan mahupun hakikat kegagalan dengan hati yang waja dan terbuka. Sebagai contohnya, kita mendapati ada orang yang tidak dapat menahan kegembiraan apabila dia memperoleh kejayaan yang diharapkan. Sebaliknya, ada juga manusia yang sanggup melakukan perbuatan durjana dan khianat apabila dia tidak menerima kegagalan yang dihadapinya. 

Begitulah cermin kehidupan yang dapat kita gambarkan melalui pengalaman hidup yang kita lalui sepanjang masa. Setiap daripada kita pasti merasai saat dan detik tersebut. Kadang-kadang kita mengecapi kejayaan dan berada di kemuncak kemenangan dan kadang-kadang, pada ketika lain kita juga akan diuji dengan kegagalan serta kepahitan yang begitu sukar untuk diterima. 

Dalam al-Quran sememangnya terdapat beberapa isyarat yang begitu jelas tentang sunah kehidupan yang mewarnai kehidupan ini dan yang pastinya  ia berada di bawah ketentuan dan ketetapan  Allah juga.

Dalam surah Ali ‘Imran, ayat 140 – 141, Allah merakamkan peristiwa kekalahan yang memeritkan  dialami oleh tentera Muslimin apabila mereka kalah teruk kepada tentera Quraisy dalam peperangan Uhud walaupun sebelum itu mereka telah merintis kejayaan penuh gemilang dalam peperangan Badar al-Kubra sebagaimana maksudnya: “Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera) maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar).  Demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa kemenangan dan kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya) dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang yang mati syahid. Dan (ingatlah) Allah tidak suka kepada orang yang zalim. Dan juga supaya Allah membersihkan orang yang beriman (daripada dosa mereka) dan membinasakan orang yang kafir.”

Meminjam kata-kata Syed Qutub di dalam kitab tafsirnya Fi Zilalil Quran  (Di bawah bayangan al-Quran) semasa menafsirkan ayat di atas, beliau menjelaskan bahawa kekalahan tersebut ada tersurat dan tersirat hikmahnya yang tersendiri. Antara hikmah itu ialah setiap Muslim sewajarnya menginsafi dan menyedari bahawa kemenangan sebenarnya adalah hasil atau natijah yang bertitik tolak daripada daya usaha dan perjuangan manusia sendiri. Justeru, mereka tidak boleh berpeluk tubuh dan juga tidak boleh mengharapkan kemenangan dengan hanya menanti faktor bantuan mukjizat Ilahi.

Selain itu juga, peristiwa tersebut mengungkapkan satu pengajaran bahawa kejayaan dan kemenangan sebenarnya tidak boleh datang dengan sendirinya, sebaliknya ia banyak dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan sebab yang memudahkan peluang ke arah meraih sesebuah kejayaan yang diimpikan seperti kekuatan ekonomi, keutuhan sosial, kemantapan akidah, keadilan politik dan juga keluhuran budi pekerti. Semua faktor ini adalah antara prasyarat dan persediaan yang amat penting serta memberi pengaruh yang turut sama menentukan kemenangan atau kegagalan sesuatu bangsa dalam pelbagai bidang. 

Lanjutan itu, umat Islam sewajarnya memahami erti kehidupan di dunia ini yang sarat dengan perjuangan dan pertarungan yang sengit. Oleh itu, kemenangan dan kegagalan adalah sebahagian daripada sunatullah tersebut. Bagi orang yang beriman, mereka sudah tentu dapat memahami konsep tersebut kerana mereka betul-betul menyakini bahawa Allah yang menentukan segala-galanya. Bagaimanapun, setiap Muslim mesti menyedari bahawa setiap kejayaan masih terikat dan bergantung kepada sebab-musabab iaitu daya usaha dan persediaan yang dilakukan pada peringkat awalnya. Pendek kata, kemenangan dan kegagalan ini bersifat dinamik dan tidak bersifat statik. 

Jika diimbas kembali kembali kepada sirah Rasulullah SAW untuk dijadikan sebagai peringatan dan pengajaran kepada umat Islam semua, kita mendapati betapa Rasulullah sendiri mengalami peristiwa suka duka dan pahit manisnya dalam perjuangan baginda menyebarkan dakwah Islam pada ketika itu. Sebagai contohnya, di dalam peperangan Badar Rasulullah SAW tampil sebagai pemimpin yang mengatur barisan tentera Muslimin yang berjumlah 313 orang sahaja menentang tentera Quraisy yang jauh lebih besar bilangannya lengkap dengan senjata yang canggih dan hebat  ketika itu. Namun tentera Islam yang berbekalkan dengan keimanan yang kental kepada Allah serta yakin dengan janji Allah di samping strategi peperangan yang tersusun, mereka mampu mencipta kemenangan yang gemilang menundukkan musuh Islam yang bongkak dengan jumlah ramai dan senjata lengkap. Berita kemenangan ini sudah pasti menjadi pemangkin kepada tentera Islam ke arah penyebaran dakwah Islam ke seluruh tanah Arab. 

Kemudian ternyata kemenangan tidak selalunya berpihak kepada tentera Islam. Apabila peperangan Uhud meletus, baginda bersama tentera Islam berjuang menentang kaum Quraisy akan tetapi kali ini tentera Islam mengalami kekalahan walaupun taktik peperangan disusun sejak awal lagi. Sebenarnya, dalam peperangan tersebut, tentera Islam hampir mencapai kemenangan tetapi di saat-saat akhir peperangan tersebut, tentera Islam telah berubah niat dan tujuan iaitu merebut harta rampasan perang yang tersadai berbanding berjuang kerana Allah. Serentak itu, mereka mula lupa diri dan terus melanggar arahan dan perintah Rasulullah yang akibatnya tentera Islam berpecah belah serta akhirnya kekalahan menimpa tentera Islam.

Dari sini, barulah tentera Islam menyedari betapa kekalahan berkenaan berpunca daripada kesilapan mereka sendiri iaitu mengingkari arahan Rasulullah dan mereka sudah pasti menerima pengajaran di sebalik peristiwa tersebut dengan penuh keinsafan serta kesabaran.

Malah, kegagalan tersebut telah menguatkan lagi semangat juang dan keimanan mereka kepada Allah. Di satu segi yang lain, tentera Quraisy meraikan kemenangan dan berjaya menebus kekalahan mereka dalam peperangan yang lalu. 

Kesimpulannya, kemenangan dan kekalahan adalah salah satu perjalanan hidup yang pasti dilalui oleh setiap insan. Kadang-kadang ia datang tanpa diduga dan disangka sama sekali walaupun tidak dirancang kerana ia ketentuan Ilahi juga. Tapi apa yang lebih penting, tak kira sama ada kemenangan mahupun kekalahan yang dihadapi, kita sebagai seorang Islam semestinya bersedia untuk terus tabah berjuang menyusuri liku-liku hidup yang penuh onak. Janganlah pula sampai kita alpa dibuai kemenangan dan juga jangan sampai kita berduka nestapa dan bersikap pesimis diuliti kekalahan dan kegagalan.    

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Elak dipatuk ular 2 kali

Disember 9, 2021