Memperteguh identiti Ahli Sunnah wal Jamaah

Artikel Pilihan / Lensa Isu

Dr Mohd Hasrul Shuhairi

RENCANA ini adalah tambahan kepada artikel bertajuk Akidah Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) melestari keharmonian dalam masyarakat yang diterbitkan dalam ruangan Addin, Harian Metro pada 11 November lalu. 

Tajuk terbabit adalah tema bagi Seminar Akidah dan Pemikiran Islam Peringkat Antarabangsa 2021 (SAPIA 2021) anjuran Pusat Pengajian Usuluddin Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Universitas Islam Negeri Kiyai Haji Achmad Siddiq (UIN KHAS), Jember Indonesia dan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

Objektif penganjurannya:

A) Membincangkan implementasi ilmu akidah dan pemikiran Islam dalam pembangunan dan kehidupan masyarakat kontemporari.

B) Membincangkan isu kontemporari ilmu akidah dan pemikiran Islam menurut Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi tonggak kekuatan umat Islam di Malaysia dan dunia Islam.

C) Menonjolkan keunikan aliran Ahli Sunah Waljamaah sebagai aliran dominan di peringkat antarabangsa.

D) Menelusuri kegemilangan tokoh akidah dan pemikiran Islam Nusantara khususnya dan antarabangsa amnya.

E) Membentuk jaringan akademia tempatan dan global.

Seminar ini menggariskan beberapa resolusi yang perlu diambil perhatian semua pihak. Resolusi ini diputuskan berdasarkan beberapa intipati ucapan aluan oleh Dekan FKI Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, ucapan perasmian oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UniSZA Tan Sri Dr Abdullah Md Zin, pembentangan Ucaptama oleh Prof Dr Kiyai Haji Abdul Halim Soebahar dari UIN KHAS, Pembentangan Utama oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah, Mufti Negeri Sembilan Dato’ Hj Mohd Yusof Hj. Ahmad dan Prof Madya Dr Ahmad Bazli Shafie dari Pusat Pengajian Usuluddin, UniSZA.

Resolusi seminar:

1. Penegasan bahawa akidah Ahli Sunah Waljamaah merupakan pegangan majoriti umat Islam berdasarkan manhaj al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah.

2. Usaha mempertahankan akidah Ahli Sunah Waljamaah bukan hanya menjadi tugas ulama, pemerintah dan cendekiawan Muslim, tetapi menjadi tugas semua umat Islam dalam kehidupan bermasyarakat, berbangsa dan bernegara.

3. Umat Islam harus berusaha meningkatkan kualiti iman, Islam dan ihsan berdasarkan kefahaman Ahli Sunah Waljamaah.

4. Penguatkuasa agama dan orang awam perlu merujuk fatwa yang dikeluarkan badan fatwa rasmi negeri dan negara bagi membendung penyelewengan akidah dalam kalangan umat Islam.

5. Pembangunan indeks pematuhan diperlukan untuk diguna pakai oleh semua masjid, surau dan agensi berkuasa bagi memastikan setiap individu mengetahui ciri-ciri sebenar Ahli Sunah Waljamaah, melaksanakannya seterusnya menghalang kemasukan fahaman menyeleweng yang mempengaruhi masyarakat.

6. Masyarakat juga perlu memberi perhatian serius terhadap golongan liberal dan idea liberalismenya menerusi langkah-langkah afirmatif bagi memperteguhkan manhaj Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi identiti kepada aliran majoriti umat Islam sejak zaman-berzaman sebagai aliran wasatiyyah sebenar yang berpegang kepada keseimbangan antara wahyu dan akal, serta ijmak ulama yang muktabar dan adab al-‐ikhtilaf bagi mengelakkan perselisihan yang membawa kepada perpecahan. 

Resolusi ini menzahirkan kepentingan penegasan identiti diri dan negara mesti berdasarkan kefahaman Ahli Sunah Waljamaah. Ini selari dengan realiti kini bahawa istilah Ahli Sunah Waljamaah sudah disebut secara umum atau khusus dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Negeri dan Jawatankuasa Fatwa Negeri. Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan, dinyatakan bahawa: “Ahli Sunah Waljamaah maknanya ialah mazhab Abu Al-Hassan Al-Asha’ri dan Abu Mansur Al-Maturidi dan orang yang mengikut jejak langkah keduanya.”  

Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 22 April 2015 mengambil maklum antaranya ialah: (a) Umat Islam di Malaysia secara umumnya berpegang kepada mazhab Ahli Sunah Waljamaah, aqidah berasaskan mazhab Asya’riah dan al-Maturidiah dan feqah berdasarkan mazhab Syafie. (b) Ajaran agama berasaskan pegangan Ahli Sunah Waljamaah merupakan ajaran yang sederhana atau wasatiah. Ajaran yang diamalkan umat Islam di Malaysia sejak sekian lama ini ternyata menjamin keamanan, kesejahteraan dan keharmonian dalam menjalani kehidupan bermasyarakat.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bersidang pada 25 Februari 2016 bersetuju menerima cadangan takrifan berkaitan Ahli Sunah Waljamaah iaitu merujuk kepada kelompok majoriti umat Islam mereka yang berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar berdasarkan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, sahabat dan ulama Islam muktabar serta berpegang dalam hal berkaitan dengan; (a) Aqidah dan tauhid berdasarkan pegangan Imam Abu Hasan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. (b) Fiqh dan Syariah, berdasarkan mazhab Shafii di samping meraikan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. (c) Tasawuf, berdasarkan manhaj ulama sufi berwibawa seperti Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah pada 24-26 Mei 2016 bersetuju antaranya memutuskan umat Islam hendaklah berpegang dalam hal berkaitan dengan:

(a) Akidah dan Tauhid, berdasarkan hanya kepada pegangan Imam Abu Hassan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. (b) Fiqh  dan  Syariah,  berdasarkan  Mazhab  Syafi’i  di  samping  meraikan  mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan pandangan imam muktabar yang lain. (c) Tasawuf, berdasarkan manhaj sufi berwibawa seperti Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman yang bersidang pada 20 Mac 2016, diputuskan bahawa umat Islam di Kedah mesti berpegang dengan kefahaman Ahli Sunah Waljamaah berdasarkan perkara 33A Undang-undang Tubuh Negeri Kedah Tahun 1959. Fatwa di Kedah ini memperincikan;

(a) Dari segi akidah, berpandukan kepada manhaj Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi; (b) dari segi syariat, berpandukan kepada mazhab Imam al-Syafie, manakala tiga mazhab yang muktabar iaitu Hanafi, Maliki dan Hanbali boleh dirujuk dan digunakan dalam menyelesaikan masalah tertentu; dan (c) dari segi tasawuf, hendaklah berpegang dengan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali, manakala aliran tasawuf muktabar yang lain boleh diamalkan selagi ia tidak bertentangan aliran Ahli Sunah Waljamaah.

Terkini, Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka pada  23 September lalu meluluskan sebulat suara usul melakukan satu pindaan ke atas Seksyen 2 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 untuk memperkukuhkan maksud tafsiran Ahli Sunah Waljamaah bagi pegangan umat Islam di negeri ini. Berdasarkan teks ucapan pembentangan usul Ketua Menteri Melaka, terdapat  pelbagai doktrin yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunah Waljamaah. Beliau juga membentangkan isu Syiah, amalan khurafat di Pulau Besar, Ajaran Panji Langit, Hizbu Tahrir, Asalama, Millah Abraham, Syahadah dan Zikir Nafas oleh Pertubuhan Rahmatan Lil Alamin (Perahmat) serta aktiviti perbomohan yang meragukan.

Dibentangkan juga mengenai bahaya pemikiran Liberalisme, Pluralisme dan Anti Hadis, juga menzahirkan kebimbangan terhadap gerakan Wahabi dan Salafi yang sering membidaah serta mengkafirkan amalan khilafiyyah seperti wirid, tahlil, zikir, Maulidur Rasul dan lain-lain sebagai amalan yang sesat.

Resolusi seminar SAPIA 2021 ini adalah penegasan, sokongan dan perhatian serius semua pihak dalam memperteguhkan identiti diri dan negara dengan kefahaman Ahli Sunah Waljamaah. Ia penting untuk keharmonian, keamanan dan keselamatan semua.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *