Meyakini kewujudan wali Allah & karamah

Artikel Pilihan / Lensa Isu

Dr Mohd Khafidz Soroni

Mempercayai karamah  wali Allah SWT adalah termasuk dalam prinsip fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah (ASWJ). Pendapat yang menolak kewujudan karamah seperti sebahagian Muktazilah adalah dianggap menyimpang daripada fahaman ASWJ.

Karamah ialah perkara luar biasa yang dizahirkan oleh Allah SWT dengan izin-Nya di tangan seorang wali daripada para wali-Nya. Karamah berbeza dengan mukjizat kerana mukjizat diiringi dengan pengakuan sebagai Nabi yang diutuskan oleh Allah SWT bagi mengukuhkan lagi dakwaannya itu. Sedangkan karamah berlaku kepada orang salih yang taat terhadap hukum syariah berserta akidah yang benar. Ia adalah kesan daripada amalan dan hubungannya yang begitu dekat dengan Allah SWT.

Adapun perkara luar biasa yang berlaku kepada orang fasik tidak dipanggil karamah. Jika ia mampu menyedarkan dirinya untuk bertaubat, maka boleh jadi ia adalah ma’unah (bantuan daripada Allah). Namun, jika ia menambahkan lagi kefasikannya, maka ia adalah istidraj (hal luar biasa yang lebih menyesatkannya lagi).   

Antara contoh karamah ialah para wali mengetahui sebahagian perkara ghaib dengan izin Allah SWT. Dalilnya, hadis sahih daripada Rasulullah SAW sabdanya: “Waspadalah terhadap firasat orang mukmin, sesungguhnya ia melihat dengan cahaya Allah.” (Riwayat at-Tirmizi dan lain-lain)

Antaranya, para wali mempunyai kata-kata atau doa mustajab yang segera dimakbulkan oleh Allah SWT. Dalilnya, sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya daripada kalangan hamba-hamba Allah ada orang yang jika dia bersumpah di atas nama Allah, nescaya Dia akan menunaikannya (mustajab kata-katanya atau doanya).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)   

Antara karamah yang disebut dalam al-Quran ialah karamah Maryam AS yang memperoleh rezeki makanan di luar daripada musimnya, karamah Asif pengikut Nabi Sulaiman AS yang memindahkan singgahsana Balqis dalam setengah kerdipan mata dan karamah Ashabul Kahfi yang tidur selama 300 tahun tanpa makan dan minum.

Karamah turut berlaku dalam kalangan para sahabat RA. Ada dicatatkan sebahagiannya oleh Imam an-Nawawi dalam Riyadh as-Salihin dan secara lengkap dikumpulkan oleh Syeikh Muhyiddin at-Tu’mi dalam kitabnya Mu’jam Karamat as-Sahabah. Antaranya seperti para malaikat sering memberi salam kepada ‘Imran bin Husain RA, seekor singa yang ganas menjadi jinak serta menunjukkan jalan kepada Safinah RA, dan racun tidak memberi kesan kepada Khalid bin al-Walid RA selepas beliau meminumnya. Bagaimanapun, terdapat beberapa fahaman janggal dalam kalangan umat Islam mengenai kewujudan karamah para wali ini. Antaranya sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibn ‘Ata’illah as-Sakandari dalam kitab Lata’if al-Minan, terdapat golongan yang hanya mempercayai karamah para wali yang hidup di zaman dahulu sahaja, seperti Ma’ruf al-Karkhi, Sari as-Saqati dan al-Junaid al-Baghdadi, namun mereka mendustakan karamah para wali yang hidup di zaman mereka. Imam Abu al-Hasan as-Syazili menempelak golongan ini dengan katanya: “Golongan ini tidak lain melainkan umpama Bani Israel yang mempercayai Nabi Musa AS dan Nabi ‘Isa AS, namun mereka mendustakan Nabi Muhammad SAW hanya disebabkan mereka hidup di zaman Baginda.”             

Ada satu lagi golongan yang mempercayai wujud dalam kerajaan Allah ini para wali yang mempunyai karamah namun mereka tidak memperakui seorang jua pun sebagai wali secara khusus daripada kalangan orang yang hidup di zaman mereka. Justeru, setiap orang yang dikatakan kepada mereka bahawa dia adalah wali atau memiliki karamah, maka mereka akan menolaknya dengan ukuran akal mereka yang masih terbelenggu dengan sifat lalai dan tertipu dengan hawa nafsu. Ringkasnya, bagi mereka tiada seorang pun yang mengetahui tentang siapakah wali Allah itu.  

Kedua-dua pandangan ini adalah tidak tepat kerana dengan limpah rahmat dan kurnia Allah SWT, para wali-Nya itu sentiasa wujud di sepanjang zaman dan mereka boleh ditemui sekiranya kita benar-benar ikhlas mencarinya. Kata Imam Ibn ‘Ata’illah: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya yang kamu perlukan bukanlah adanya orang-orang yang dapat menunjukkan arah mana, tetapi boleh jadi yang kamu perlukan ialah wujudnya sifat ikhlas yang benar dalam mencari mereka. Usahakanlah sifat ikhlas yang benar, nescaya kamu akan menemui seorang mursyid (pembimbing).”    

Perumpamaan sifat ikhlas yang dikehendaki ini adalah seperti mana keadaan orang yang amat dahaga berusaha mencari air bagi menghilangkan rasa hausnya atau seumpama orang yang berada dalam keadaan sangat takut berusaha mencari tempat perlindungan yang aman baginya. Mereka yang belum mencapai sifat ini janganlah mudah tergesa-gesa mengatakan bahawa para wali Allah SWT itu sudah tidak lagi wujud.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *