Oleh Nik Salida Suhaila
PEMIMPIN sering didahulukan dalam protokol majlis rasmi atau tidak rasmi, sebab itu pemimpin dikatakan orang yang didahulukan selangkah. Alasannya mudah, supaya pemimpin mudah dikenali, dijangkaui dan ditemui rakyat atau orang yang dipimpin.
Selain terkehadapan daripada orang lain, pemimpin juga orang yang lebih dihormati, yang ditinggikan seperti seranting jaraknya berbanding pengikut.
Sebabnya tentulah tanpa rasa hormat, perintah dan arahan tidak diikut. Yang lebih baik lagi, antara pemimpin dan rakyat, jauhnya tidak berjarak, dekat tidak berantara dan hubungannya menyatu tanpa ada hieraki yang jelas. Untuk bertemu pemimpin, tidak perlu melalui syarat dan peraturan ketat kerana sememangnya pemimpin adalah hamba kepada rakyat dan sedia berkhidmat. Lebih baik lagi jika pemimpin yang datang bertemu rakyat, sedikit sebanyak terasa berbaloi memilih pemimpin yang bertanggungjawab dan amanah dengan tugas. Setiap pemimpin dipilih oleh rakyat menjadi tanggungjawab mereka untuk adil kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
Adil bukan bererti setiap orang mendapat apa yang mereka minta tetapi bermaksud memberikan sesuatu kepada mereka yang berhak. Dalam surah an-Nahl ayat 90, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar serta kezaliman.”
Melakukan kezaliman kepada rakyat atau orang yang dipimpin termasuk tidak mengagihkan perhatian dengan adil, bakhil kepada yang berhak, menipu rakyat demi kepentingan diri, menambah kekayaan dengan cara yang tidak betul, serta gagal memenuhi janji.
Ada pemimpin dipilih oleh pengikut yang mempunyai kepentingan diri tanpa mengambil kira keutamaan dalam kepemimpinan, sering mendedahkan diri ke dalam fitnah yang menyebabkan tohmahan kepada diri sendiri dan ahli keluarga serta tidak berfikir panjang sebelum bertindak sehingga menggagalkan hala tuju, wawasan, misi dan objektif organisasi.
Kepentingan diri adalah satu nilai yang tidak perlu diutamakan apabila dilantik sebagai pemimpin kerana tugas pemimpin ialah menjaga kepentingan orang yang dipimpin secara keseluruhannya.
Dalam surah an-Nisa’ ayat 58, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahli (yang berhak) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan itu memberi pengajaran sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi melihat.”
Setiap pemimpin harus tidak lupa bahawa Allah SWT dengan kuasanya sentiasa mendengar dan melihat. Dia tahu apa yang tersirat di sebalik keputusan dibuat atau apa yang dikata, walaupun pengikut hanya melihat zahirnya saja. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dan tidak beriman bagi seseorang yang tidak amanah.”
Tadbir urus yang baik dalam kepemimpinan, sama ada melalui institusi perkahwinan, pengurusan, pendidikan, perniagaan dan sebagainya hanya dapat dilaksanakan sekiranya mempunyai pemimpin yang adil dan amanah.
Sebagai contoh, dalam bidang perundangan, ketua yang adil dan amanah penting untuk memberi peluang pihak yang bertelagah untuk menuduh dan mempertahankan diri secara sama rata dan hakim menjatuhkan hukuman setelah mengambil kira prinsip keadilan secara total, sekali gus memberi kemenangan kepada pihak yang berhak setelah menjalankan tugas diamanahkan oleh negara dengan penuh tanggungjawab.
Dalam institusi perkahwinan pula, adatnya pemimpin keluarga ialah suami, walaupun suami tidak berupaya atau tidak mahu menunaikan tanggungjawab mencari nafkah, menjaga anak atau memberi perbelanjaan kepada ahli keluarga, isteri tidak akan mengambil alih tanggungjawab memimpin, sebaliknya hanya menjalankan tanggungjawab bagi pihak suami.
Tanggungjawab suami dan isteri adalah sama berat sebab itulah sifat adil dan amanah mesti wujud dalam hubungan suami isteri iaitu suami mencari nafkah dan isteri mengurus rumah tangga. Jika sama-sama mencari nafkah, tentulah sama-sama mengurus rumah tangga. Bahkan isteri yang ditinggalkan suami (cerai atau mati) juga diberi keadilan