Sya’aban beri kesempatan memperbaiki diri

Amalan Pilihan

Oleh Asiah Che Hassin

Seakan tidak terasa bulan Rejab berlalu, kini kita berada dalam bulan Syaaban. Sebahagian Ahli Sunnah mengatakan, sesungguhnya Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, Syaaban untuk memperbaiki diri daripada cela dan Ramadan menerangkan hati dan jiwa.

Diriwayatkan oleh Aisyah: “Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa Baginda akan berpuasa seterusnya. Dan Baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya pada bulan Syaaban.” (Riwayat al-Bukhari)
Erti Syaaban

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya dalam tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)

Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang Arab pada bulan itu akan berhijrah ke mana-mana tempat untuk mencari air sehingga ke gua-gua dan sebagainya.

Pendapat lain pula mengatakan, sebab diertikan demikian adalah sebagai tanda pemisah iaitu memisahkan antara bulan Rejab dan Ramadan. Bulan Syaaban adalah masa untuk berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan memasuki bulan Ramadan.

Sebahagian ahli hikmah menyatakan, sesungguhnya Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, Syaaban kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam celaan dan Ramadan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Amalan digalakkan pada Syaaban
Antara amalan yang digalakkan pada Syaaban adalah memperbanyakkan puasa sunat. Kitab Durratun Nasihin ada menyebut hadis yang menyatakan Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala 70 nabi dan seperti orang yang beribadat kepada Allah Taala selama 70 tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid.”

Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya dalam tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit.” (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa’izhin)

Malam Nisfu Syaaban

Meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan zikir, membaca al-Quran kerana malam itu adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.

Bertaubat atas dosa pernah dilakukan terhadap Allah SWT, taubat nasuha iaitu janji tidak mengulangi dosa yang lalu dan berusaha melaksanakan janji itu dengan istiqamah.

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu.”

Doa juga senjata umat Islam untuk berlindung daripada kejahatan. Diriwayatkan oleh Abdullah Umar, Rasulullah SAW bersabda: “Dalam solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah semasa malam Jumaat, pada malam 10 Muharam, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya, iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *