Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Tidak ada manusia di alam ini dapat hidup bersendirian. Oleh itu, manusia sangat berhajat dan mengharapkan orang lain untuk sama-sama menghuni muka bumi Allah yang terbentang luas ini. Justeru, kita sebagai manusia biasa tidak dapat lari daripada memiliki sahabat atau teman. Boleh dikatakan setiap daripada kita memiliki teman masing-masing untuk sama-sama mengharungi suka duka dan pahit manis kehidupan yang penuh pancaroba.
Barangkali inilah di antara hikmah Allah yang tersirat di sebalik penciptaan manusia pelbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa serta bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).
Bertolak dari sini, Islam sebagai ad-Din yang syumul lagi lengkap dalam semua aspek kehidupan manusia tidak ketinggalan menyentuh persoalan teman atau sahabat yang sewajarnya menjadi pilihan Muslim. Lebih-lebih lagi, pakar psikologi dan ulama tasawuf sering menekankan betapa teman mampu mempengaruhi perwatakan dan pembawaan diri seseorang. Dengan lain perkataan, teman mampu mengubah sahsiah, perwatakan, akhlak dan sebagainya. Oleh itu, Rasulullah memberi peringatan kepada umatnya agar berhati-hati dalam memilih teman berdasarkan kepada sabdanya yang bermaksud: “Seseorang itu menurut agama sahabatnya, oleh itu seseorang Muslim hendaklah berhati-hati dengan siapakah yang perlu dia pilih sebagai sahabat.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Jelas daripada mafhum hadis itu bahawa jika temannya adalah orang yang baik dan soleh, maka dia akan membantunya dalam menyempurnakan tanggung jawabnya sebagai seorang Muslim di samping memelihara hak dan kewajipan yang wajib ditunaikan dalam konteks persahabatan iaitu memelihara temannya daripada terjebak ke kancah maksiat serta kejahatan, menjaga maruah kehormatannya dan sebagainya. Sebaliknya, jika temannya itu orang yang jahat dan toleh, akibatnya amat buruk dengan kesudahannya sudah pasti dia berada dalam kancah kejahatan serta kedurjanaan yang terlarang. Akhirnya, dia akan menyesal tanpa noktah penghujungnya sebagaimana kisah yang dirakamkan Allah tentang perihal orang yang tersilap memilih teman semasa di dunia. Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya seraya berkata: ‘Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama Rasul! Kecelakaan besarlah bagiku semoga (dulu) tidaklah aku menjadikan si polan itu teman akrabku. Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku daripada al-Quran ketika al-Quran ini telah datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mahu menolong manusia.'” (Surah al-Furqan ayat 28 – 29)
Sehubungan itu, Islam meletakkan garis panduan untuk kita memilih teman yang soleh dan sejati. Rasulullah mengajar kita semua agar memilih sahabat yang mendorong ke arah kebajikan dan amal soleh. Ini kerana setiap daripada kita mudah terpengaruh dengan sifat, agama dan peribadi teman. Justeru, teman yang baik lagi soleh dan yang baik budi pekertinya amat penting untuk merangsang kita berakhlak mulia sepertinya. Begitulah juga sebaliknya, teman yang toleh lagi jahat hanya akan mendorongkan kita ke arah kejahatan dan kemaksiatan yang dimurkai Allah.
Jika ditinjau situasi masyarakat dewasa ini, kita dapat perhatikan betapa anak muda kita tidak begitu mengambil endah akan hal memilih teman yang baik ini. Maka tidak hairanlah, ramai dalam kalangan muda-mudi kita yang begitu mudah terjebak dalam kancah gejala sosial dan jenayah yang dilarang. Menurut kajian yang dijalankan bahawa antara punca utama menyebabkan mereka mudah terjerumuh ke kancah itu ialah pengaruh rakan sebaya mereka. Mereka dengan tidak segan silu bergurukan teman rapat mereka berbanding ibu bapa mereka yang melahirkan mereka ke dunia ini. Akibatnya, berlakulah kes derhaka kepada ibu bapa, kes rumah tangga yang bercerai-berai, lari dari rumah dan sebagainya. Dalam hal ini, siapakah yang sebenarnya bersalah? Sekarang ini, tiada guna lagi kita menuding jari meletakkan kesalahan kepada sesiapa kerana ia sudah pun berlaku dan yang paling penting sekali ialah kita hendaklah berusaha merencana langkah drastik bagi mengawal dan juga mengatasi kemelut yang meruncing itu daripada mengakari dan melarat dalam masyarakat kita.
Tiada jalan penyelesaian yang ampuh bagi mengatasi masalah itu melainkan setiap ibu bapa sewajibnya memahami dan memainkan peranan mereka dalam pendidikan serta asuhan anak mereka dengan tarbiah Islam. Islam amat menekankan pemantapan akhlak terpuji dan pengisian rohani dengan keimanan yang tulus kepada Allah di dalam diri Muslim. Maka, institusi keluarga benteng pertama dan unit terpenting dalam satu-satu masyarakat yang bakal melahirkan generasi terbilang serta mithali untuk kepemimpinan Islam akan datang. Dari sini, terserlahlah peranan dan tanggung jawab sebenarnya yang digalas oleh setiap ibu bapa untuk mendidik anak mereka sebagai insan yang soleh serta bertakwa kepada Allah. Apalah gunanya kekayaan dan harta bertimbun-timbun sedangkan anak merempat di jalanan terlibat dalam gejala sosial yang hanya akan mendatangkan masalah kepada masyarakat serta negara.
Selain itu, masyarakat juga sewajarnya peka dan mempunyai deria rasa keprihatinan terhadap anggota masyarakatnya, terutama muda-mudi yang masih mentah dengan rentak kehidupan ini. Untuk itu, setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan untuk memantau segala gerak-geri muda-mudi dengan menggalakkan amalan yang bermanfaat kepada masyarakat. Pada masa yang sama mencegah amalan-amalan yang dilarang oleh Allah seperti mengedar dadah, mencuri dan sebagainya. Inilah antara ciri-ciri masyarakat Islam yang terbaik dan mithali sebagaimana yang terungkap dalam firman Allah Taala yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah ali Imran, ayat 110)
Siapakah dia sebenarnya teman sejati? Dalam hal ini, Rasulullah melukiskan satu perumpamaan yang indah tentang teman sejati dan teman buruk. Sabda baginda yang bermaksud: “Ibarat teman yang baik itu adalah seumpama seorang yang membawa haruman kasturi. Walaupun kamu tidak dapat memilikinya, namun kamu dapat juga menghidu bau harumnya dan bandingan teman yang jahat itu seperti seorang (tukang besi) yang menggunakan alat hembusannya. Biarpun kamu tidak terkena habuknya yang hitam, akan tetapi kamu terkena juga asapnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Ringkasnya, persahabatan dengan teman yang soleh lagi bertakwa akan menjulang temannya itu ke mercu kemuliaan dan kesejahteraan. Persahabatan dengan teman yang jahat pula hanya membawanya ke lubuk kehinaan dan kecelakaan yang tiada penghujungnya.
Sebagai renungan kita bersama, ada seorang ahli hikmah pernah menyatakan: “Sesiapa yang ingin bersahabat dengan lapan jenis manusia, maka akan bertambah lapan pula akibatnya.
“Pertama, sesiapa yang berkawan dengan dengan orang kaya, maka akan bertambahlah cintanya kepada dunia.
“Kedua, sesiapa yang bersahabat dengan orang fakir miskin, maka akan bertambahlah rasa syukur dan reda dengan rezeki yang diperolehinya.
“Ketiga, sesiapa yang bertemankan pemimpin, maka akan bertambahlah kecongkakan dan kesombongannya.
“Keempat, sesiapa yang bersahabat dengan wanita, maka akan bertambahlah kebodohan dan nafsu syahwatnya.
“Kelima, sesiapa bergaul dengan anak atau kanak-kanak, maka akan bertambahlah sifat suka bermainnya dan membuang masa.
“Keenam, sesiapa yang bersahabat pula dengan orang fasik, maka akan bertambahlah keberaniannya untuk berbuat dosa dan menangguhkan taubat kepada Allah.
“Ketujuh, sesiapa yang suka bergaul dengan orang yang soleh, maka akan bertambahlah keinginannya untuk taat kepada Allah.
“Akhir sekali, sesiapa yang suka berkawan dengan ulama, maka akan bertambahlah ilmu dan sifat waraknya.”