Tingkatkan amal, jauhi kemurkaan Allah

Amalan Pilihan / Artikel Pilihan / Lensa Isu

Dr Zuraimy Ali

ISU menyerupai atau mengubah jantina seperti wanita kepada lelaki mahupun lelaki kepada wanita merupakan perkara yang dilarang dalam Islam. Allah SWT telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian namun masih ada dalam kalangan masyarakat yang terikut dengan sebahagian budaya dan amalan songsang Barat yang sanggup mengubah jantina semata-mata memenuhi kepuasan nafsu tanpa melihat kepada ketetapan hukum Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.” (Surah At-Tiin, ayat 4-6). Justeru sebagai seorang Mukmin sepatutnya memelihara dan menerima kejadian yang telah dianugerahkan Allah SWT kepada manusia. Kejadian manusia merupakan kejadian yang terbaik yang diciptakan Tuhan buat manusia maka janganlah dilakukan perubahan terhadap ciptaan Tuhan bagi memenuhi desakan hawa nafsu semata-mata.

Sebagai Muslim kita seharusnya mengambil perhatian serius terhadap isu ini memandangkan jika tidak dicegah dan dibanteras ia akan menjadi satu amalan budaya yang songsang dalam masyarakat. Lebih parah apabila hal ini dipandang satu perkara yang biasa bagi golongan yang mahu menukar jantina. Menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk menegur dan memberikan nasihat sokongan kepada golongan tersebut supaya tidak bertindak dengan lebih melampau sehingga mengotorkan pandangan masyarakat terhadap kemurniaan ajaran Islam. Beberapa kes yang telah dilaporkan sebelum ini menampakkan golongan ini cuba membawa imej penghinaan terhadap Islam apabila melakukan ibadat di Makkah dengan berpakaian yang jelas tidak mengikut syariat Islam berdasarkan keperluan jantina.

Terdapat perbincangan hukum fekah berkaitan dengan isu sama ada menyerupai, mengubah rupa bentuk ataupun mengubah jantina. Antaranya perbincangan mengenai tasyabuh iaitu penyerupaan seorang yang dihukumkan haram berdasarkan keterangan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.” (Hadis riwayat Al-Bukhari). Jika menyerupai wanita sudahpun difatwakan haram apatah lagi jika seseorang itu mengubah jantina. Selain itu, ada riwayat yang dinyatakan melalui hadis Nabi SAW yang melarang seseorang lelaki memakai pakaian wanita dan sebaliknya. Ini berdasarkan keterangan Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki.” (Hadis riwayat Abu Daud). Al-Imam al-Zahabi berkata: “Apabila wanita memakai pakaian yang dipakai oleh lelaki dan berlagak seperti seorang lelaki, dengan pakaiannya yang serba sempit, yang kelihatan jelas bentuk tubuh badannya, maka yang demikian itu dia sudah menyerupai lelaki dan dia sudah berhak menerima kutukan Allah SWT dan Rasul-Nya.

Islam sangat memandang serius perbuatan seseorang yang dianggap menyalahi dan melanggari fitrah kejadian manusia yang telah ditentukan Allah SWT. Justeru pihak berkuasa agama Islam negeri perlu menguatkuasakan undang-undang berdasarkan ketetapan fatwa yang telah diputuskan berkaitan dengan isu ini. Hal ini kerana adalah jelas ia dapat memberi kesan dan mudarat yang besar terhadap persepsi pihak jabatan agama Islam dan mengganggu gugat kerukunan dalam sesebuah masyarakat. Jika tiada tindakan yang tegas untuk diambil bagi membanteras gejala yang tidak sihat ini maka budaya atau amalan yang menyalahi syariat agama ini akan dianggap normal sekaligus akan menjadi satu fenomena yang mampu meracuni anak-anak muda terhadap tindakan dan perlakuan songsang tersebut. Bagi masyarakat awam yang mempunyai kesedaran agama dan moral yang tinggi seharusnya cepat bertindak dengan memberikan nasihat dan khidmat sokongan bagi mereka yang mula terjebak dan masih di peringkat awal supaya dapat dipulihkan kembali serta menerima takdir ketentuan kejadian asal yang menjadi fitrah ke atasnya. Namun jika nasihat dan teguran tidak diendahkan, maka kewajipan pihak berkuasa perlu bertindak pantas bagi menyelamatkan generasi kini supaya tidak menjadi barah dalam peradaban masyarakat Islam yang sentiasa menjunjung tinggi kehormatan insan serta mengangkat nilai dan budaya yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia selari dengan ketetapan hukum syariat.

Sebagai kesimpulannya, jika ada segelintir daripada saudara kita yang mempunyai kecenderungan untuk menyerupai atau mengubah jantina maka tugas kita ialah memberikan khidmat bantuan dan sokongan sebaik mungkin melalui pelbagai cara dan kaedah bagi memastikan mereka mampu untuk kembali ke pangkal jalan. Namun jika ada yang mengalami masalah kecelaruan atau gangguan identiti jantina maka rawatan yang sesuai perlu diberikan bagi merawat penyakit tersebut. Ini disebabkan terdapat sebahagian daripada mereka yang mempunyai gangguan tersebut maka penyelesaiannya perlu kepada rawatan klinikal. Justeru, bagi golongan yang sengaja menzahirkan penyerupaan atau mengubah kejadian Tuhan dengan melanggari batasan syariat maka ingatlah bahawa kemurkaan Allah SWT lebih berat untuk ditakuti oleh setiap manusia. Oleh itu, wahai saudaraku yang dikasihi kembalilah ke jalan yang diredai Allah SWT bukan jalan yang akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Ingatlah bahawa masih ada ruang untuk berubah kembali kepada fitrah kejadian yang asal. Semoga kita semua dilindungi Allah SWT dan sentiasa diberikan petunjuk-Nya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Halal dan berkat

September 13, 2022