Ulama Bawa manusia menuju Allah

Artikel Pilihan

 Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

Islam meletakkan ulama taraf kedua paling mulia selepas Nabi SAW. Sepeninggalan Baginda SAW, muncul ulama daripada kalangan sahabat seperti Sayyidina Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali bin Abi Talib, Ibn Abbas, Ibn Mas’ud, Ubay bin Kaab, Ibn Umar, Sayyidatina Aisyah dan lain-lain.

Firman Allah SWT: “Allah telah mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah ayat 11)

Rentetan ulama lapisan pertama, muncul pula lapisan ulama zaman tabiin dan tabi-tabiin sehinggalah ke zaman kerajaan Bani Umayyah, Abbasiah dan Uthmaniyyah seterusnya ke zaman kita. Pendek kata, segala urusan keilmuan, kegiatan dakwah dan pentadbiran negara Islam tidak sunyi daripada penglibatan dan gabungan ulama dengan umarak.

Alam Melayu tidak kurang hebatnya dengan kejayaan dakwah Wali Songo (Wali Sembilan) di Indonesia. Perjuangan Syeikh Daud Fatani, Syeikh Abd Samad Falembani, Tuan Guru Haji Sulong dan lain-lain di selatan Thailand. Begitu juga peranan yang dimainkan oleh Tok Kenali (Kelantan), Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi (Perak), Tengku Mahmud Zuhdi (Selangor), Syeikh Alwi Tohir al-Haddad (Johor) dan lain-lain yang terus menyampaikan ajaran Islam secara syumul. 

Namun seribu kali sayang, kebanyakan generasi sekarang tidak mengenali siapa sebenarnya ulama. Mereka hanya sekadar tahu ‘ustaz itu’ dan ‘ustaz ini.’ Tetapi bila digunakan istilah ulama mereka agak keberatan. Mereka lebih mengenali selebriti berbanding ulama. Malah, jika ada yang mengaku sebagai ulama pun hanyalah sekadar ‘mencari makan’ sahaja. Kita minta berlindung dengan Allah daripada bersikap seperti ini.

Antara syarat utama seseorang itu dikatakan ulama ialah mereka menguasai ilmu Islam secara berdisiplin. Iaitu menguasai ilmu secara berguru, berkitab dan menghafal beberapa formula asas disiplin ilmu berkenaan. Ia seperti ilmu bahasa arab, akidah, feqah, tafsir, hadis, tasawuf dan lain-lain. Semua disiplin ini semestinya bersanad yang sampai kepada Rasulullah SAW. 

Jika ulama boleh menguasai ilmu keduniaan seperti kepelbagaian bahasa, sains, perubatan dan kemahiran lain ia adalah kelebihan kepada ulama berkenaan.

Kedua, seorang ulama yang benar perlu beramal dengan ilmu yang dimilikinya. Pendek kata, cara pertuturan, perbuatan, kerjaya dan amal ibadatnya menjurus ke akhirat. Situasi ini menjadikan hidupnya sentiasa memperhambakan diri kepada Allah SWT.

Ia seperti sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang bertambah ilmunya, tetapi tiada bertambah petunjuknya maka tidak akan ada penambahbaikan padanya kecuali dia semakin jauh daripada Allah SWT.”

Berdasarkan kepada dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa menjadi kewajipan kepada alim ulama untuk memimpin masyarakat ke arah jalan kehidupan yang diredai Allah SWT.

Ketiga, ulama yang baik sewajarnya bertakwa kepada Allah di mana sahaja mereka berada. Sama ada di dalam kesenangan, kesusahan atau di saat menghadapi tekanan dan ujian Allah SWT. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya manusia yang benar-benar takutkan Allah hanyalah para alim ulama.”

Sebaliknya, alim ulama yang takutkan pemerintah, mengutamakan hidup keduniaan dan suka memutar belit fakta ilmiah kerana tujuan tertentu disifatkan sebagai ‘syaitan manusia’. Firman Allah SWT dalam menggambarkan sikap ulama bani Israel berbunyi: “Dan bacakanlah kepada mereka berita kepada orang yang kami berikan keterangan kami kepadanya lalu dibuangnya. Sebab itu mereka didatangi syaitan. Dan syaitan itu termasuk orang-orang yang sesat.” (surah al-A’raf ayat 75)

Diriwayatkan daripada Sayyidina Umar RA berkata: “Orang yang paling aku takuti pada kamu ialah si munafik yang bijak berbicara.”

Imam Habib Abdullah al-Haddad mengulas: “Orang munafik yang ditakuti oleh Sayyidina Umar ialah orang yang bijak memutarbelit makna al-Quran dan al-hadis yang boleh menimbulkan fitnah terhadap umat Islam.”

Keempat, ulama sewajarnya memiliki akhlak terpuji seperti Nabi SAW. Bukan berperwatakan awam: bengis, keras, kasar, lawak melampau dan melanggar undang-undang dan hukum syarak.  Sabda Baginda SAW dalam sebuah hadis yang sahih: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan budi pekerti yang mulia.”

Kesimpulannya, ulama sebenar ialah ulama yang menguasai ilmu dan beramal dengan ilmunya untuk membimbing diri dan masyarakat menuju Allah SWT. Mereka sentiasa prihatin dengan kepentingan Islam dan umatnya, mengikhlaskan diri kepada Allah SWT dan sentiasa menabur jasa dan bakti kepada agama, bangsa dan negara sama ada bergerak secara solo, berjemaah atau melalui agensi kerajaan. Seandainya meninggal seorang ulama seperti Syeikh Ramadhan al-Bouti nescaya Allah akan menggantikan dengan seribu ulama lain sepertinya. Atau lebih baik daripadanya. Yakinlah dengan agama ini. Alhamdulillah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Harta dan redha Allah

Mei 25, 2022