Ulama tempat rujukan penting

Artikel Pilihan

Dr Zamihan Mat Zin

Ulama yang benar bukan sekadar memiliki ilmu dan disegani, tetapi nasihat alim ulama atas kebenaran wajib diikuti setiap umat Islam. Sama ada umat itu terdiri daripada kalangan sultan, pemerintah, ahli politik, pegawai kerajaan, ahli perniagaan mahupun rakyat bawahan. Ini kerana apa yang disampaikan ulama sebenarnya manifestasi ajaran al-Quran dan hadis.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta pemegang-pemegang urusan (agama) di antara kamu. Dan jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu perkara maka kembalilah kepada Allah SWT dan Rasul jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Demikian itu lebih baik dan merupakan rujukan yang sebaik-baiknya.” (Surah an-Nisa ayat 59)

Begitu juga dengan ayat 110 surah Ali Imran yang bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia: kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran dan beriman kepada Allah SWT.”

Sebahagian ahli tafsir menjelaskan yang dimaksudkan dengan ‘ulil amri’ di sini ialah daripada kalangan ulama mujtahidin. Bagi saya, ulama mujtahidin itu bukan terhad kepada ulama empat mazhab sahaja, tetapi turut merangkumi ulama kontemporari yang sentiasa mencurah bakti demi agama menghadapkan hati mereka kepada Allah SWT.

Manakala ayat yang kedua menyentuh tugas umat Nabi SAW yang peranan utamanya terletak di bahu ulama dan umara. Justeru, dalam konteks semasa, anda harus tahu siapa ulama di sekitar anda dan bagaimana beroleh manfaat daripada ulama sepanjang masa atas semua isu yang berlaku.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Setiap Muslim wajib mendengar dan taat pemerintah yang disukainya ataupun tidak disukainya. Kecuali apabila dia diperintahkan untuk melakukan maksiat maka dia tidak wajib mendengar dan taat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat Imam al-Tirmidzi dan selainnya: “Ulama itu adalah pewaris Nabi SAW.”

Dalam sebuah hadis Qudsi yang sahih disebutkan: “Barangsiapa yang memusuhi waliku maka aku isytiharkan perang terhadapnya.”

Daripada Abu Said al-Khudri RA Rasulullah SAW bersabda: “Takutlah kamu kepada firasat orang yang beriman kerana sesungguhnya dia melihat dengan cahaya (petunjuk) Allah SWT.”

Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah ditanya berkenaan Imam Abu Hasan al-Asy’ari, al-Baqillani, Ibn Faurak, Imam al-Haramain, al-Baji dan lain-lain daripada kalangan ulama al-Asya’irah berkata: Dia menjawab: “Mereka itu adalah pemimpin-pemimpin agama dan ketua ulama Islam. Oleh itu berkewajiban mengikut mereka kerana peranan mereka menolong syariat, menghuraikan kemusykilan, menolak syubhat daripada mereka yang terpesong hati. Mereka juga bertindak menjelaskan apakah yang menjadi kewajiban dalam akidah dan agama. Ini kerana mereka adalah orang alim berkaitan dengan zat Allah SW, sifat yang wajb bagi-Nya, sifat yang mustahil ke atas-Nya dan sifat yang harus pada zat-Nya. Menjadi suatu kewajiban bagi kita mengiktiraf kelebihan imam–imam tersebut dan bahawasanya mereka itu termasuk dalam jumlah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dengan sabda Baginda SAW: “Setiap masa yang mendatang ilmu ini akan ditanggung oleh orang yang adil (ulama yang benar) yang akan menolak penyelewengan pelampau, penganutan orang yang memalsukan dan huraian orang yang jahil.” 

Katanya lagi: “Justeru, hanya orang yang bodoh lagi jahil atau pembuat bidaah yang terpesong daripada kebenaran sahaja yang tidak mentaati ulama. Mereka begitu teruja memperlekeh ulama dan menyesatkan mereka. Sebenarnya mereka itulah orang-orang yang fasiq (jahat). Oleh itu, menjadi satu kemestian bagi mencelikkan mata orang jahil, mengajar adab kepada orang yang fasiq dan menuntut mereka supaya taubat akan ahli bid’ah.” – Fatawa al-Hadithiyyah m/s 205.

Imam al-Murtadha al-Zabidi Rahimahullah berkata di dalam kitabnya Ithaf al-Sadaat al-Muttaqin jilid 2 m/s 86: “Dimaksudkan dengan Ahlu Sunnah Wal Jamaah ialah mereka yang terdiri daripada empat kumpulan: ulama hadis, ahli tasawuf, al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah.” Situasi ini dibuktikan dengan risalah Abu Jaafar al-Thohawi Rahimahullah mengenai akidah yang dinamakan al-Akidah al-Thohawiyyah yang beliau menyebut di dalamnya iktiqad Salaf al-Soleh (semoga mereka diredai oleh Allah SWT) yang dipegang dan diterima oleh umat Nabi Muhammad SAW. Isi kandungan akidahnya adalah isi kandungan akidah al-Asya’irah kecuali beberapa permasalahan yang tidak harus disesatkan dan difasiqkan.”

Kesimpulannya, berdasarkan kepada dalil di atas, jelaslah kepada kita bahawa tunjuk ajar alim ulama, nasihat dan kebenaran yang dibawa mereka wajib diikuti oleh semua pihak. Sejarah mencatatkan bahawa tiada kerajaan Islam di muka bumi yang mengecapi kegemilangan melainkan dengan jasa dan peranan ulamanya.

Manakala sebarang tindakan membangkang, memperlekeh atau menghina ulama menyebabkan individu berkenaan akan diperhinakan oleh Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Realitinya, dalam jangka masa setahun dua ini ramai dalam kalangan ulama kita telah ‘pergi’ bertemu Allah SWT. Namun ada pula suara sumbang yang mencela dan memperlekeh mereka. Sesungguhnya ulama telah menghabiskan masa yang banyak untuk ilmu, amal ibadah dan memperteguhkan agama Islam sepenuh jiwa raga mereka. 

Allah SWT menyaksikan bahawa mereka ‘pulang’ dalam keadaan syahid dunia dan akhirat. Kepada si pengumpat dan pencela bertaubatlah. Hentikan sikap buruk sangka kita. Jika tidak, terimalah kesengsaraan di sebalik dosa dan kezaliman yang anda lakukan. Kita semua dalam kekuasaan Allah SWT.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *