Usah kaburi kebaikan dengan keburukan

Artikel Pilihan / Lensa Isu

Datuk Mohd Ajib Ismail

Saban hari kita seakan semakin keliru untuk memilih antara teladan yang baik dengan yang buruk apabila melihat pelbagai tingkah laku menjengkelkan dan menyalahi ajaran agama seperti yang dipertontonkan oleh sebahagian masyarakat.

Situasi tersebut ditambah lagi dengan budaya tidak sihat khususnya di media sosial yang mendorong manusia berlumba-lumba mengejar populariti bagi mendapatkan sokongan sekali gus meraih keuntungan. Golongan itu mempromosi berlebih-lebihan, meminta-minta serta menagih simpati orang ramai dengan alasan untuk membantu orang susah dan memerlukan.

Mereka sengaja mencipta kontroversi untuk lebih dikenali dalam masa yang sama berbangga mencanang segala amalan kebajikan. Sedangkan perbuatan tersebut bercanggah dengan kaedah fiqh yang menetapkan bahawa “Tujuan tidak membenarkan cara.”

Sebahagian amalan kebajikan dilakukan dicampuradukkan dengan perbuatan dosa dan maksiat bukan bertujuan untuk bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Lebih parah lagi apabila kebajikan dilakukan untuk mengaburi mata orang ramai agar melupakan perbuatan dosa dan maksiat yang dikerjakan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 42 yang bermaksud “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.”

Ajaran Islam menegah perbuatan mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan bukan hanya dalam aspek akidah, tetapi syariah dan akhlak kerana akan mengelirukan dan mengaburi kebenaran.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW mengingatkan dalam sebuah hadis yang bermaksud “Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: “Wahai si fulan, semalam aku melakukan perbuatan dosa itu dan ini”. Sedangkan dia tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.” (Riwayat al-Bukhari).

Perbuatan mengaburi kejahatan dengan kebaikan merupakan jejak langkah Iblis sebagaimana kisah Iblis diusir dari syurga dan berpura-pura baik menggoda nabi Adam AS dan Hawa agar perbuatan derhakanya tidak dilihat salah. Firman Allah dalam Surah Taha ayat 120-121 yang bermaksud: “Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?” Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).”

Namun perbezaan antara nabi Adam AS dan Hawa dengan Iblis ialah mereka berdua bertaubat kepada Allah SWT setelah melakukan kesalahan sedangkan Iblis berterusan kufur dan ingkar. Perkara tersebut dijelaskan dalam al-Quran Surah Taha ayat 122 yang bermaksud: “Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.”

Manakala Iblis kekal dalam kesesatan dan menyesatkan umat manusia sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Hijr ayat 39 yang bermaksud: “Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”

Justeru, sudah menjadi tabiat Iblis mengaburi perbuatan buruk manusia agar kelihatan baik dan membisikkan pujian terhadap perbuatan tersebut agar manusia seronok melakukan maksiat dan kejahatan.

Jika seseorang mendakwa melakukan kebajikan untuk bertaubat, dia perlu berazam tidak mengulangi perbuatan dosa dan maksiat. Imam Nawawi menjelaskan jika kemaksiatan berlaku antara seorang hamba kepada Allah SWT, maka untuk bertaubat haruslah memenuhi tiga syarat iaitu segera hentikan semua kemaksiatan, merasa menyesal kerana melakukan kemaksiatan, dan berniat tidak mengulangi perbuatan maksiat itu untuk selama-lamanya.

Firman Allah dalam Surah al-Nisa’ ayat 17 yang bermaksud: “Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Jauhilah sifat orang munafik seperti talam dua muka, mencampuradukkan antara perbuatan iman dan kufur serta melakukan amalan kebaikan untuk menyembunyikan kejahatan agar menjadi asbab terus menerus melakukan perbuatan dosa.

Kebaikan yang dilakukannya hanyalah untuk mendapat pujian manusia bukan bertujuan mentaati perintah Allah SWT. Sifat golongan munafik ini digambarkan dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 14-16 yang bermaksud: “Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami telah beriman”, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman).” Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu). Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.”

Marilah kita memperbetulkan niat dan melakukan tindakan yang selaras dengan panduan syariat agar rezeki dan kehidupan mendapat keberkatan. Setiap perbuatan yang dilakukan tanpa menitikberatkan aspek keimanan menjadikan amalan dibuat sia-sia sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud “Wahai orang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun daripada apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *