Mohd Rizal Azman Rifin
Isu penglibatan remaja dalam kegiatan jenayah dan antisosial bukan hanya bersifat setempat, malah ia fenomena global yang sangat merunsingkan semua pihak. Jadi, apakah peranan kita sebagai ibu bapa supaya fenomena buruk lagi keji tidak menimpa anak kita? Apakah yang perlu kita laksanakan dan apakah pendekatan terbaik yang mampu membina watak anak yang soleh dan berdaya kukuh imannya?
Ibnu Abbas pernah memberitahu bahawa Rasulullah SAW suatu ketika bersamanya ada menuturkan yang kata baginda, “Bukakanlah untuk anak kalian pertama kalinya dengan kalimah ‘La ilaha illallah’ (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah).” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)
Baginda SAW minta menghidupkan sunahnya dengan mengumandangkan azan di telinga kanan dan mengiqamatkannya pada telinga kiri anak baru lahir. Inilah pendidikan pertama kita untuk menerapkan pendidikan iman ke dalam jiwa anak.
Tidak diragukan lagi bahawa amalan sunah itu memberikan impak jangka panjang yang sangat positif menerusi alunan azan dan iqamat di telinga anak yang baru lahir bermakna kita memperdengarkan kalimah agung yang membesarkan Tuhannya.
Inilah pendidikan iman mengikut garis panduan sunah yang jangan sesekali kita abaikan. Abu Rafi’ memberitahu kita bahawa ayahnya pernah menceritakan kepadanya: “Aku melihat Rasulullah SAW telah mengazankan seperti azannya sembahyang di telinga Hasan bin Ali, sebaik Fatimah melahirkannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Ingatlah, iman itu tidak boleh diwarisi, namun kita masih mampu berusaha sedaya yang terikhtiar memberikan pendidikan iman ke jiwa anak kita.
Perkara kedua yang perlu kita laksanakan ialah mendidik anak mengenai halal dan haram apabila mereka mulai memasuki alam akil baligh (berakal). Dalam hal ini, Ibnu Abbas sekali lagi ada berpesan: “Ajarkanlah anak untuk taat kepada Allah dan takut berbuat maksiat kepada-Nya, serta suruhlah anak kamu mentaati perintah dan menjauhi larangan kerana hal sedemikian akan memelihara diri mereka dan kamu daripada api neraka.”
Kita teliti sepintas lalu inti pati pesanan itu untuk kita gali ibrah buat kita semua. Pertama, ialah perlunya kita bertindak pantas tatkala anak sudah mencapai usia berakal dengan membimbing mereka berkenaan aspek amal ibadah seperti solat. Namun, kita perlu berwaspada jangan sampai bertindak secara keras dan tergesa-gesa. Ikut fasa dan secara beransur-ansur mencorakkan didikan.
Misalnya kita ambil aspek mengajar anak supaya bersolat. Amru al-Ash mengatakan bahawa Rasulullah SAW dengan penuh ketegasan ada berpesan: “Perintahkan anak kamu melaksanakan solat pada usia tujuh tahun dan pada saat mereka berusia 10 tahun, pukullah mereka jika mereka tidak melaksanakannya dan pisahkan tempat tidurnya.” (Hadis Riwayat Hakim dan Abu Daud)
Lihatlah bagaimana susun atur kerja mendidik dalam aspek mendirikaan solat yang perlu kita patuhi itu. Ini bermakna pendidikan solat berada pada puncak ‘kurikulum’ pendidikan kepada anak. Kosa kata ‘perintahkan’ adalah suatu kata bernada serius yang melambangkan pentingnya solat dijadikan tunjang dalam mendidik anak. Kita analisis sedikit lagi iaitu fasa seterusnya yang lebih tegas dan tiada sebarang kompromi ialah semasa anak kita berusia 10 tahun. Baginda SAW memberikan keizinan kepada kita untuk memukul anak sekiranya mereka liat dan enggan mematuhinya.
Tempoh masa sejak usia tujuh tahun hingga mereka berumur 10 tahun memberikan kita ruang dan peluang yang banyak untuk membimbing anak dalam perkara solat. Tiga tahun jangka masanya. Takkan tiga tahun kita tidak mampu mengasuh dan mendidik anak agar mula mencintai ibadah solat?
Kita masih lagi berligar di sekitar pesanan baginda SAW tadi. Kali ini kita lihat pula dan cuba memahami dalam erti kata faham yang sebenarnya keizinan memukul anak sekiranya mereka enggan mendirikan solat. Boleh pukul, tetapi kaedah pukulan yang kita lakukan itu mesti dalam etika yang diharuskan.
Bukan memukul secara rambang dan disulami emosi marah keterlaluan sehingga meninggalkan kecederaan pada anggota tubuh badan anak. Jika ini yang berlaku, kita sudah tergelincir daripada etika yang sebenar.
Ingatlah, semasa mendidik menerusi kaedah memukul itu, elakkan terkena tempat yang sensitif dan mudah cedera seperti di kepala, dada dan perut. Peringatan Rasulullah: “Janganlah memukul wajah.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Perlu kita ingatkan pula akan hal ini, iaitu tahap dalam memukul. Pukulan pada tahap pertama kita tidak boleh memukulnya dengan keras dan menyakitkan badan anak. Cukup sekadar memukulnya dengan sekali hingga tiga kali pukulan pada tapak tangan ataupun kaki.
Seandainya hukuman pukul sehingga tiga kali pun masih belum mampu menjinakkan hati mereka, kita diizinkan memukulnya sehingga 10 kali. Kata baginda SAW, “Seseorang itu tidak boleh didera lebih daripada 10 kali kecuali pada hukuman had Allah.” ( direkodkan dalam Kitab al-Iqna’ dan al-Mughni)
Sungguhpun memukul dalam mendidik anak khususnya dalam didikan solat dibenarkan, kaedah dan tahap pukul sewajibnya kita patuhi serta sentiasa berwaspada. Jangan sesekali bertindak dalam keadaan emosi meluap-luap kemarahan. Buruk akibatnya kepada psikologi dan jiwa anak kita selain boleh memberikan kecederaan parah kepada tubuh badan mereka.
Marilah kita warnakan jiwa anak kita dengan landskap keimanan yang teguh kepada Allah dan insya-Allah, masa depan mereka di dunia serta akhirat kelak pastinya akan menjanjikan kebahagiaan dan keberkatan. Semoga anak kita menjadi ‘permata dunia dan permata akhirat’ yang bergemerlapan sinar imannya.