Oleh Salma Syahbuddin
Mandi wajib selepas keguguran merupakan satu tuntutan syarak yang amat penting untuk difahami oleh setiap wanita Muslim, terutamanya bagi mereka yang diuji dengan kehilangan zuriat seawal usia kandungan peringkat pertama.
Umumnya, persoalan utama yang sering bermain di fikiran para ibu adalah, adakah mereka perlu mandi wajib sebaik sahaja darah pasca-prosedur ‘Dilation and Curettage‘ (D&C) tersebut berhenti sepenuhnya?
Bagi merungkai kemusykilan ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah memberikan pencerahan menyeluruh berlandaskan manhaj Mazhab Syafi’i untuk dijadikan panduan hukum yang jelas.
Mengapa Hukum Mandi Wajib Selepas Keguguran Ditetapkan Sebagai Wajib
Berdasarkan pandangan muktamad dalam Mazhab Syafi’i, seorang wanita yang mengalami keguguran janin sama ada yang keluar itu sudah mempunyai rupa fizikal manusia yang lengkap, ataupun baru berbentuk segumpal darah (‘alaqah) dan seketul daging (mudghah), adalah diwajibkan untuk golongan ibu tersebut melaksanakan mandi wajib.
Hal ini kerana, proses keguguran tersebut disamakan dengan hukum wiladah (kelahiran).
Dalam fiqah Islam, kelahiran atau pengosongan rahim daripada kandungan merupakan salah satu daripada sebab utama yang mewajibkan mandi hadas besar.
Oleh itu, status mandi wajib selepas keguguran adalah wajib dan menjadi satu kefarduan sebaik sahaja darah nifas yang keluar selepasnya berhenti atau kering sepenuhnya.
Fasa Tumbesaran Janin Dan Kaitan Nifas Dengan Mandi Wajib
Kewajipan melakukan mandi wajib ini berkait rapat dengan definisi darah nifas itu sendiri.
Menurut syarak, darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita disebabkan kelahiran setelah kosongnya rahim daripada kehamilan, termasuklah sisa kandungan peringkat awal.
Fasa tumbesaran kandungan ini ada disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran melalui surah al-Mu’minun ayat 14:
ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً
Maksudnya: “Kemudian Kami ciptakan air benih (nutfah) itu menjadi segumpal darah (‘alaqah). Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging (mudhgah).” (Surah al-Mu’minun: 14)
Merujuk kepada ayat ini, para ulama menegaskan, sisa ketulan tersebut adalah permulaan kepada penciptaan manusia.
Mengulas tentang hukum mandi wajib selepas keguguran bagi wanita yang mengeluarkan ketulan darah, Imam al-Nawawi di dalam kitab Raudhah al-Talibin menyebutkan:
وَسَوَاءٌ فِي حُكْمِ النِّفَاسِ كَانَ الْوَلَدُ كَامِلَ الْخِلْقَةِ أَوْ نَاقِصَهَا أَوْ مَيْتًا وَأَلْقَتْ مُضْغَةً أَوْ عَلَقَةً
Maksudnya: “Dalam hukum nifas, sama ada anak yang lahir itu dalam bentuk penciptaan yang sempurna atau yang tidak sempurna atau mati atau gugur dalam bentuk ketulan daging atau segumpal darah… maka darah yang mengalir selepasnya adalah nifas.”
Oleh sebab darah yang keluar selepas keguguran itu dikategorikan sebagai darah nifas, maka amalan mandi wajib selepas keguguran menjadi satu kemestian syarak demi mengangkat hadas besar wanita berkenaan.
Status Mandi Wajib Selepas Prosedur Perubatan D&C
Bagi memastikan kesihatan rahim berada pada tahap yang terbaik, pakar perubatan biasanya akan menyarankan prosedur cuci rahim atau D&C.
Langkah ini penting untuk mengeluarkan keseluruhan sisa kandungan agar rahim benar-benar kosong daripada sebarang tisu embrio.
Dari sudut pandang hukum Islam, apabila rahim telah disahkan kosong sepenuhnya melalui prosedur D&C dan darah yang keluar selepas itu telah berhenti, maka wanita tersebut wajib segera melakukan mandi wajib selepas keguguran.
Malah, para ulama Mazhab Syafi’i menegaskan, sekiranya seseorang wanita itu mengalami keguguran tanpa keluar darah (kering) sekalipun, dia tetap diwajibkan untuk mandi. Imam Ibn Qasim di dalam kitab Fath al-Qarib al-Mujib menjelaskan:
وَالْوِلَادَةُ الْمُجَرَّدَةُ عَنِ الْبَلَلِ مُوجِبَةٌ فِي الْأَصَحِّ
Maksudnya: “Dan kelahiran yang tidak disertai kebasahan (darah) turut diwajibkan mandi menurut pendapat yang muktamad.”
Maka, tiada alasan untuk melambatkan mandi wajib selepas keguguran sebaik sahaja rawatan perubatan selesai dan sisa darah berhenti, kerana ia merupakan kunci utama untuk membolehkan kaum wanita kembali menunaikan solat lima waktu dan ibadah-ibadah suci yang lain.
Oleh yang demikian, setiap wanita yang diuji dengan keguguran kandungan wajib memahami bahawa mereka tertakluk di bawah hukum nifas dan wiladah.
Jangan bertangguh untuk melaksanakan mandi wajib selepas keguguran sebaik sahaja rahim telah dibersihkan melalui kaedah D&C dan darah berhenti mengalir.