Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum
Dalam dunia serba terbuka hari ini, media sosial menjadi ruang utama manusia meluahkan rasa, berkongsi cerita dan mencari sokongan. Namun, satu fenomena yang semakin merisaukan ialah kecenderungan sebahagian anggota masyarakat untuk menjadikan isu peribadi, khususnya masalah rumah tangga sebagai bahan tontonan umum. Pergaduhan suami isteri, kekecewaan terhadap pasangan, aib keluarga, malah butiran sensitif kehidupan rumah tangga dikongsi tanpa batas, seolah-olah tiada lagi ruang luahan yang sepatutnya. Fenomena ini bukan sekadar isu adab digital, tetapi mencerminkan krisis akidah, kefahaman syariah dan keruntuhan akhlak yang semakin mencabar kehidupan Muslim moden.
Media sosial pada asalnya dicipta sebagai alat penghubung, namun kini berubah menjadi ‘diari terbuka’ tanpa kawalan. Kita menyaksikan status, video dan siaran langsung dijadikan medan meluahkan kemarahan, kekecewaan dan dendam termasuk terhadap pasangan sendiri. Lebih menyedihkan, ada yang menghalalkan pendedahan aib dengan alasan ‘melepaskan tekanan’ atau ‘mencari sokongan dan perhatian’. Sedangkan Islam mengajar setiap nikmat emosi dan ujian perasaan perlu diurus dengan hikmah bukan dipamerkan tanpa pertimbangan iman.
Al-Quran dengan jelas mengingatkan kewajipan menjaga aib dan maruah. Allah SWT berfirman: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?” (Surah al-Hujurat ayat 12)
Ayat ini bukan sekadar melarang mengumpat secara lisan, bahkan merangkumi segala bentuk pendedahan aib termasuk melalui tulisan, komen dan hantaran digital. Dalam konteks rumah tangga, membuka keburukan pasangan kepada umum adalah satu bentuk pengkhianatan amanah.
Lebih tegas lagi, Rasulullah SAW memberi peringatan keras tentang mendedahkan rahsia suami isteri. Baginda bersabda: “Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang bergaul dengan isterinya kemudian dia menyebarkan rahsia isterinya.” (Riwayat Muslim)
Hadis ini menjadi asas penting bahawa rahsia rumah tangga adalah amanah besar, bukan bahan kandungan untuk meraih simpati atau perhatian maya.
Tadabbur terhadap ayat 21 pada Surah ar-Rum : “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, Dia menciptakan untuk kamu pasangan hidup daripada jenis kamu sendiri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kamu kasih sayang dan rahmat”, menuntut kita memahami tujuan perkahwinan ialah sakinah, mawaddah dan rahmah, bukan pendedahan konflik kepada khalayak.
Ketenteraman tidak akan lahir apabila rumah tangga dijadikan medan pameran luka dan emosi mentah.
Daripada sudut akidah, kecenderungan meluahkan segalanya di media sosial menandakan krisis tawakal dan kebergantungan kepada Allah. Apabila hati lebih berharap kepada like, komen dan sokongan manusia berbanding pertolongan Allah, akidah mula rapuh. Allah SWT mengingatkan: “Dan bertawakallah kepada Allah, maka cukuplah Allah sebagai pelindung”. (Surah al-Ahzab ayat 3)
Luahan sepatutnya kembali kepada Allah melalui doa, munajat dan istikharah bukan kepada dunia maya yang tidak mampu menyembuhkan jiwa.
Daripada perspektif syariah, Islam tidak menutup ruang mendapatkan bantuan. Namun, syariah menetapkan saluran yang betul dan sahih. Masalah rumah tangga perlu dirujuk kepada pihak yang amanah seperti pasangan sendiri melalui komunikasi matang, ahli keluarga bijaksana, kaunselor bertauliah atau pihak berautoriti agama. Mendedahkan aib secara terbuka bukan jalan penyelesaian, bahkan sering mengundang dosa baharu, fitnah dan kerosakan yang lebih besar. Kaedah fiqh menyebut: “Menolak kemudaratan didahulukan daripada menarik manfaat”.
Aspek akhlak pula menuntut kesantunan, kesabaran dan pengawalan emosi. Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu yang menang dalam bergusti, tetapi orang yang kuat ialah yang mampu mengawal dirinya ketika marah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Media sosial sering menjadi medan meluahkan marah tanpa kawalan, sedangkan akhlak Islam mengajar diam itu keselamatan, dan menahan diri itu kemuliaan.
Realiti semasa menunjukkan pendedahan isu rumah tangga di media sosial sering membawa kesan jangka panjang apabila anak menjadi mangsa emosi, hubungan keluarga retak, reputasi tercalar dan konflik semakin membesar. Apa yang disangka ‘kelegaan sementara’ akhirnya bertukar menjadi penyesalan berpanjangan. Lebih membimbangkan, budaya ini menormalisasikan pencerobohan privasi dan menghakis rasa malu yang menjadi benteng iman. Rasulullah SAW bersabda: “Malu itu sebahagian daripada iman.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, Islam mengajar keseimbangan antara kejujuran emosi dan penjagaan maruah. Meluahkan perasaan bukan dosa, tetapi cara dan tempat meluahkan itulah yang menentukan nilai di sisi Allah. Benteng diri dengan akidah yang kukuh, patuh syariah dalam mencari penyelesaian, dan hiasi kehidupan dengan akhlak mulia walaupun diuji.
Ambillah iktibar dan tadabbur daripada kalam Allah berkenaan isu ini, antaranya:
1. Menjaga aib dan maruah
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain.” (Surah al-Hujurat ayat 12)
Larangan mengumpat dalam ayat ini bukan terbatas kepada percakapan lisan, tetapi merangkumi segala bentuk pendedahan keburukan termasuk melalui status, komen, kapsyen dan video. Apabila seseorang mendedahkan kelemahan pasangan atau konflik rumah tangga kepada umum, hakikatnya dia sedang ‘mengintip dan membuka aib’ yang Allah perintahkan supaya ditutup.
2. Rahsia rumah tangga adalah amanah Ilahi
Firman Allah SWT maksudnya: “Mereka (isteri) adalah pakaian bagi kamu dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah ayat 187)
Pakaian berfungsi menutup aib, melindungi dan menghiasi. Apabila suami atau isteri membuka keburukan pasangannya di media sosial, dia telah mencabut fungsi ‘pakaian’ itu. Rumah tangga dalam Islam bukan sekadar kontrak sosial, tetapi ikatan amanah yang menuntut penjagaan rahsia.
3. Mengawal emosi dan lidah (termasuk di media digital)
Firman Allah SWT bermaksud: “Tidaklah seseorang mengucapkan suatu perkataan melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa siap mencatat.” (Surah Qaf ayat 18)
Setiap perkataan yang ditaip, setiap ayat yang dipos, dan setiap kapsyen yang dimuat naik juga termasuk dalam catatan amal. Emosi yang diluahkan tanpa kawalan iman boleh menjadi bukti yang memberatkan di akhirat. Ayat ini mendidik kita supaya berfikir sebelum berkongsi: Adakah ini akan mendekatkan aku kepada Allah atau hanya melegakan nafsu sesaat?
4. Jalan penyelesaian: Kembali kepada Allah bukan dunia maya
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”. (Surah at-Talaq ayat 2 dan 3)
Ayat ini sering dibaca ketika menghadapi kesempitan hidup termasuk krisis rumah tangga. Jalan keluar bukanlah dengan membuka cerita kepada ribuan manusia yang tidak mampu menyelesaikan masalah, tetapi dengan takwa, sabar dan kembali kepada panduan Ilahi. Allah menjanjikan penyelesaian bagi mereka yang menjaga adab dan batas.
Kesimpulannya, pada era media sosial yang serba terbuka ini, umat Islam perlu kembali kepada prinsip asas iaitu tidak semua yang dirasa perlu dikongsi, dan tidak semua yang boleh dikongsi itu halal untuk dipamerkan. Rumah tangga adalah amanah, rahsia dan medan ibadah. Dengan menjadikan akidah sebagai asas, syariah sebagai panduan, dan akhlak sebagai perhiasan, kita mampu membina benteng kekuatan diri dan keluarga, seterusnya melahirkan masyarakat matang emosi, sejahtera rohani serta diredai Ilahi. Semoga Allah memelihara maruah dan keaiban kita di dunia dan di akhirat.