Oleh Nurhanim Osman
HUBUNGAN antara anak dengan ibu bapa antara ikatan paling istimewa dalam Islam. Namun, hakikat kehidupan menunjukkan hubungan itu tidak sentiasa bebas daripada ujian. Ada kalanya anak berasa kecewa, terluka atau berkecil hati dengan kata-kata dan tindakan ibu bapa, terutama apabila sering dimarahi, dibanding-bandingkan dengan adik-beradik lain atau merasakan diri tidak difahami.
Situasi seperti ini sering menimbulkan persoalan, khususnya dalam kalangan anak yang berusaha menjaga adab terhadap ibu bapa. Adakah perasaan terasa hati terhadap ibu bapa dianggap sebagai satu dosa atau penderhakaan?
Timbalan Pengarah Dakwah dan Jaringan Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Naemah Hamzah, menjelaskan seseorang anak tidak dianggap berdosa hanya kerana berasa tersinggung atau terluka dengan kata-kata dan perbuatan ibu bapanya.
Sebaliknya, jelas Naemah, dosa berlaku apabila perasaan itu diterjemahkan kepada tindakan yang melanggar adab dan batas syarak seperti memaki hamun, meninggikan suara, mencederakan ibu bapa, meninggalkan rumah kerana merajuk atau menyimpan dendam yang berpanjangan.
Beliau berkata, Islam menuntut anak sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 23 yang bermaksud:
“…maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
Larangan memperdengarkan kata-kata buruk
Menurut Naemah, Tafsir Ibnu Kathir menjelaskan ayat itu menegaskan larangan memperdengarkan kata-kata buruk atau melakukan kekerasan terhadap ibu bapa. Sebaliknya, anak diperintahkan supaya sentiasa bersikap lemah lembut, sopan santun dan memuliakan mereka.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan perasaan sedih, kecewa atau berkecil hati adalah fitrah manusia. Sama seperti manusia boleh berasa gembira atau marah, seseorang anak juga boleh berasa terluka dengan ibu bapanya kerana kedua-duanya adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan.
“Selagi mana perasaan itu tidak disusuli dengan akhlak yang buruk dan tindakan yang menyalahi syariat, ia bukan satu kesalahan. Namun, iman perlu menjadi panduan supaya perasaan itu tidak membawa kepada perbuatan yang merosakkan hubungan kekeluargaan,” katanya.
Beliau berkata, Islam membezakan antara perasaan dengan penderhakaan melalui niat serta tindakan yang dizahirkan.
“Perasaan terasa hati adalah sebahagian daripada ujian kehidupan. Berbeza dengan penderhakaan yang membabitkan unsur penentangan, penghinaan atau pengabaian hak ibu bapa secara sengaja.
“Penderhakaan membawa seseorang melampaui batas kemanusiaan dan akhirnya merugikan kehidupan di dunia serta akhirat,” katanya.
Pada masa sama, Naemah mengingatkan ibu bapa juga mempunyai tanggungjawab terhadap anak-anak. Beliau memetik kisah pada zaman Sayidina Umar al-Khattab RA apabila seorang bapa mengadu anaknya derhaka.
Anak itu bertanya kepada Umar, “Tidakkah anak juga mempunyai hak ke atas ibu bapanya?” Umar menjawab, “Benar.”
“Apabila ditanya apakah hak seorang anak, Umar menjelaskan seorang bapa perlu memilih ibu yang solehah, memberikan nama yang baik dan mengajarkan al-Quran kepada anaknya.
“Namun, anak itu memaklumkan tiada satu pun hak berkenaan dipenuhi bapanya. Lalu Umar berkata kepada lelaki itu: “Adakah kamu datang untuk mengadukan kepadaku kederhakaan anakmu? Kamu menderhakainya sebelum dia menderhakai kamu,” katanya.
Naemah berkata, kisah itu menjadi peringatan ibu bapa juga perlu bermuhasabah diri kerana rumah adalah sekolah pertama anak-anak, manakala ibu bapa pula menjadi contoh utama diteladani mereka.
Beliau berkata, terdapat ibu bapa yang tanpa sedar sering membanding-bandingkan anak, bersikap pilih kasih, terlalu mengikut emosi ketika marah atau mengabaikan keperluan emosi anak-anak. Sikap sedemikian boleh meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa seorang anak.
Namun, bagi anak yang berdepan situasi itu, Naemah menasihati supaya melihatnya sebagai sebahagian daripada ujian kehidupan, selain sentiasa mengawal emosi, mengelakkan kata-kata kasar dan tidak bertindak melulu ketika marah.
“Anak juga disaran menjaga bahasa badan, tidak menjeling atau menunjukkan riak wajah yang boleh menyakitkan hati ibu bapa. Jika keadaan menjadi tegang, mereka boleh meminta izin untuk beredar seketika sehingga emosi kembali reda.
“Pada masa sama, anak perlu bermuhasabah dan cuba memahami punca sebenar teguran atau kemarahan ibu bapa. Ada kalanya perkara yang dianggap remeh oleh anak sebenarnya mempunyai nilai yang besar di sisi ibu bapa kerana berkait dengan pengalaman hidup, pengorbanan atau kenangan mereka,” katanya.
Luahan perlu dilakukan dengan penuh adab
Mengulas sama ada anak boleh meluahkan rasa kecewa kepada ibu bapa, Naemah berkata Islam tidak melarang perkara itu. Malah, katanya, ibu bapa mungkin tidak menyedari kesilapan mereka jika anak tidak pernah meluahkan apa yang terbuku di hati.
Bagaimanapun, beliau menegaskan luahan itu perlu dilakukan dengan penuh adab, menggunakan bahasa yang sopan serta memilih waktu yang sesuai.
“Walaupun taat kepada ibu bapa adalah wajib, Islam turut menetapkan batasnya. Dalam Surah Luqman ayat 15, Allah SWT berfirman: “Dan sekiranya keduanya memaksa engkau supaya menyekutukan dengan Aku (Allah) apa yang tidak engkau ketahui, janganlah engkau turut keduanya.”
“Namun, dalam urusan lain, anak tetap dituntut berinteraksi dengan baik dan penuh hormat terhadap ibu bapa,” katanya.
Beliau turut menasihatkan anak berasa tidak dihargai atau sering dibanding-bandingkan supaya mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui sabar, solat dan doa.
Selain itu, katanya, mereka perlu belajar memaafkan, berlapang dada serta terus mendoakan kebaikan ibu bapa.
Elakkan lari meninggalkan rumah hanya kerana tidak puas hati kerana tindakan itu boleh mengundang kemalangan atau situasi yang lebih buruk akibat emosi yang tidak stabil.
“Muhasabah mengapa ibu bapa menegur atau memarahi kita. Carilah hikmah di sebalik teguran itu, bukan melihat kepada kemarahan semata-mata. Mungkin ada perkara yang perlu diperbetulkan atau kepentingan keluarga yang tidak kita fahami,” katanya.