Mohd Rizal Azman Rifin
Setiap kali menyambut perayaan Maulidur Rasul, bibir kita sering dan tidak pernah kering membaca selawat ke atas Rasul Junjungan SAW sebagai wadah mempamerkan kecintaan terhadap baginda SAW. Demikian juga dalam kehidupan seharian, kita sedaya yang termampu cuba menerapkan sunah ditinggalkan baginda SAW yang juga satu simbol betapa hati kita ingin menjadikan diri kita umatnya yang terbaik.
Demikian juga dengan baginda SAW. Baginda SAW terlalu cintakan umatnya dan ini Allah rakamkan buat renungan dan penghayatan kita di dalam al-Quran. Allah memberitahu, “Sungguh sudah datang kepadamu seorang rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya melihat penderitaanmu, dia sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu dan kepada golongan Mukmin dia amat berbelas kasih lagi penyayang.” (Maksud Surah at-Taubah ayat 128)
Inilah pernyataan Allah terhadap cinta kasih baginda SAW kepada seluruh umatnya. Dalam kesibukan baginda SAW mengepalai urusan dakwah, menjadi ketua keluarga, ketua negara dan pelbagai urusan lain tidak pernah sekalipun baginda SAW melupakan untung nasib umatnya khususnya yang bersangkut paut aspek iman, ketakwaan dan pembinaan akhlak. Inilah yang selalu baginda SAW selalu garapkan semaksimumnya kepada umatnya.
Rasulullah SAW terlalu ingin melihat kita beriman dan bertakwa serta menjalani kehidupan di dunia dalam kaca mata beragama yang benar dan lurus. Ketika berurusan kepada manusia yang diajak beriman kepada Allah, baginda SAW tidak pernah rasa kecewa walaupun pelbagai rintangan berada di hadapan. Siang malam Rasulullah SAW asyik memikirkan nasib manusia yang masih lagi tidak mahu menyahut seruannya. Sehinggakan Allah mengatakan kepada baginda saw: “Maka (apakah) kamu akan membinasakan dirimu, kerana bersedih hati selepas mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini.” (Maksud Surah al-Kahfi ayat 6)
Allah juga memberitahu kepada baginda supaya jangan bersedih hati lantaran adanya manusia yang tidak mahu beriman dan menerima baik dakwah baginda SAW. Allah memberitahu baginda SAW: “Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjukki siapa yang dikehendaki-Nya, maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka lakukan.” (Maksud Surah Fathir ayat 8)
Jiwa dan hati Rasulullah SAW sangat mencintai kaumnya yang dikenali mahupun yang belum dijumpai. Semuanya setara di hati baginda SAW. Tidak seperti kita mencintai dan sayang hanya pada orang yang terdekat dengan kita dan orang yang pernah bersua muka dengan kita. Tidak begitu dengan sikap baginda SAW.
Pada suatu hari ketika para sahabat duduk bersama dengan baginda SAW, tiba-tiba baginda SAW berkata sambil mengusap janggutnya: “Alangkah rindunya aku mahu berjumpa dengan saudara-saudaraku.” Kata-kata baginda saw itu mengejutkan para sahabat lalu mereka bertanya, “Bukankah kami ini saudara-saudaramu, Ya Rasulullah?” Dengan lembut baginda menjawab pertanyaan sahabatnya, “Kalian adalah sahabat-sahabatku dan aku mencintai kalian. Tetapi aku merindukan saudara- saudaraku.”
Jawapan baginda SAW itu masih belum memberikan pengertian sejelas-jelasnya kepada para sahabat, lalu sekali lagi mereka bertanya untuk mencungkil apa yang dimaksudkan oleh baginda, ‘saudara-saudaraku’ itu. Kata mereka, “Siapa mereka itu, ya Rasulullah?” Sebelum menjawab pertanyaan sahabatnya, kelihatan air mata baginda SAW yang mulia bergenang di kelopak matanya lalu menitis perlahan hingga membasahi janggutnya.
Kemudian, baginda SAW memberitahu, “Saudara- saudaraku adalah orang yang tidak hidup sezaman denganku, mereka tidak pernah berjumpa denganku, tetapi mereka mencintaiku, membenarkan kata-kataku dan beriman kepadaku. Aku rindu kepada mereka, aku mencintai mereka.” Demikian kata-kata luahan hati suci baginda SAW dan para sahabat menundukkan kepala masing-masing, terdiam kerana sayu dengan perwatakan baginda SAW yang cukup luhur itu. Mereka semua menangis.
Rasa cinta dan rindunya Rasulullah SAW terhadap umatnya terbawa-bawa sehingga ke saat terakhir hayat baginda SAW. Puncak cinta baginda SAW terhadap umatnya semakin ketara menjelang hari-hari terakhir hayatnya dengan selalu menyebut, “Umatku, Umatku, Umatku.” Ketika malaikat Izrail sudah berada di sampingnya bagi mencabut nyawa, Rasulullah SAW masih sempat bertanya kepada malaikat Jibril kerana pada waktu itu malaikat Jibril turut bersama-sama malaikat Izrail iaitu pertanyaan baginda: “Wahai Jibril, katakan kepadaku tentang hakku di hadapan Allah.”
Lalu dijawab oleh Jibril: “Semua pintu langit sudah terbuka, para malaikat sudah berbaris menyambut ruhmu di langit dan pintu syurga sudah bersedia menanti engkau memasukkinya, ya Rasulullah.” Jawapan Jibril itu tidak memberikan keceriaan kepada raut wajah baginda. Mata baginda masih diselubungi kecemasan dan situasi itu membuatkan Jibril bertanya: “Tidakkah engkau gembira mendengarnya, wahai Rasulullah?”
Lalu diberitahu oleh baginda SAW: “Segala puji bagi Allah, wahai Jibril, nyatakan kepadaku khabar gembira mengenai umatku kelak pada Hari Kiamat.” Maka Jibril pun berkata: “Kunyatakan kepadamu, sesungguhnya Allah menjelaskan, Allah sudah melarang semua nabi masuk ke dalam syurga sebelum engkau memasuki terlebih dahulu, dan Allah melarang semua umat masuk ke dalam syurga sebelum umatmu masuk terlebih dahulu.” Mendengar jawapan Jibril itu barulah baginda tersenyum puas dan gembira kerana umatnya diberikan keutamaan di sisi Allah.
Lihatlah betapa cintanya Rasulullah SAW kepada kita hingga pada saat terakhir hayat baginda pun, urusan dan untung nasib umatnya masih diambil berat. Kita seharusnya sentiasa bersyukur menjadi umat baginda SAW dan tanda kesyukuran itu tidak cukup sekadar kita melafazkannya menerusi bacaan selawat. Apa yang baginda SAW minta kita laksanakan perlulah kita ikuti dan apa sahaja dilarang oleh baginda SAW sewajibnya kita jauhi. Segala sunah baginda SAW hendaklah kita sehabis terdaya kita aplikasikan dalam kehidupan di dunia ini.
Ketika kita sedang asyik menjalani kehidupan yang serba senang waktu ini, pujuklah hati untuk mengenang kembali perjalanan Rasulullah SAW yang tidak pernah mengeluh susah dan tidak pernah beralah pada cabaran demi menjadikan kita hidup dalam kesejahteraan di atas landasan yang diredai Allah