
Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum
Alangkah bangganya apabila seorang anak mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran pada usia muda. Ibu bapa menitiskan air mata kegembiraan, guru meraikan kejayaan dan masyarakat menyanjung pencapaian tersebut apabila tular di media sosial. Namun, di sebalik kebanggaan itu, muncul satu persoalan yang wajar direnungkan bersama. Adakah anak yang mampu menghafaz ribuan ayat al-Quran turut memahami maknanya, menghayati pengajarannya dan mengamalkan tuntutannya dalam kehidupan seharian? Semudah surah al-Ikhlas pun tidak faham erti dan isi kandungan yang hebat!
Persoalan ini bukan bertujuan memperkecilkan kelebihan menghafaz al-Quran. Sebaliknya, ia mengajak masyarakat melihat pendidikan al-Quran secara lebih menyeluruh. Hafazan adalah amalan mulia yang perlu terus diperkasakan. Bagaimanapun, kejayaan sebenar pendidikan al-Quran tidak sepatutnya terhenti pada kemampuan mengingati ayat, bahkan perlu dilengkapkan dengan kefahaman, penghayatan dan pembentukan akhlak.
Allah SWT berfirman dalam Surah Sad, ayat 29 yang bermaksud: “(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu, penuh dengan keberkatan, supaya mereka memerhatikan kandungan ayat-ayatnya dan supaya orang yang berakal mengambil pengajaran.” Ayat ini menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk dibaca, tetapi turut mengajak manusia melakukan tadabbur terhadap petunjuk yang terkandung di dalamnya.
Tadabbur bermaksud merenung dan meneliti makna serta pengajaran ayat al-Quran untuk dijadikan panduan kehidupan. Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat tersebut menukilkan peringatan al-Hasan al-Basri bahawa tadabbur bukan sekadar memelihara huruf al-Quran sehingga mengabaikan batasan dan tuntutannya. Teguran ini mengingatkan umat Islam bahawa keindahan bacaan sepatutnya berjalan seiring dengan kemuliaan perbuatan.
Dalam Surah Muhammad, ayat 24, Allah SWT menegaskan maksudnya: “Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup?” Persoalan Ilahi ini cukup menggugah jiwa. Apakah gunanya ayat tentang kejujuran dihafaz sekiranya seseorang masih menipu? Apakah maknanya membaca ayat tentang persaudaraan sedangkan lidah terus menyakiti dan memfitnah orang lain secara terbuka walaupun sesame muslim?PlayNextMute
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari, hadis 5027) Hadis ini membuktikan kemuliaan mempelajari al-Quran. Pembelajaran tersebut sewajarnya merangkumi bacaan yang betul, hafazan, pemahaman makna dan pengamalan ajarannya. Semua aspek ini saling melengkapi dalam melahirkan generasi yang benar-benar mencintai kitab Allah.
Malah, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa pembaca al-Quran yang mahir mempunyai kedudukan mulia bersama para malaikat yang mulia lagi taat, manakala mereka yang membaca dengan bersusah payah memperoleh dua ganjaran. (Riwayat al-Bukhari, hadis 4937) Justeru, masyarakat digalakkan untuk memberi semangat kepada mereka yang belum mampu menghafaz keseluruhan al-Quran dan menghayati maksudnya. Setiap usaha mendekati kalam Allah mempunyai nilai di sisi-Nya.
Dalam konteks kekeluargaan, ibu bapa perlu menilai semula ukuran kejayaan pendidikan agama anak-anak. Jangan hanya bertanya berapa juzuk yang telah dihafaz, tetapi tanyalah juga apakah pengajaran ayat yang dipelajari. Apabila anak menghafaz ayat mengenai amanah, bimbing mereka supaya tidak menipu. Apabila membaca ayat mengenai berbuat baik kepada ibu bapa, didik mereka menghormati keluarga melalui pertuturan dan tindakan seharian termasuk dengan adik-beradik.
Pendidikan sebegini memerlukan contoh daripada ibu bapa sendiri. Sukar mengharapkan anak menghayati al-Quran sekiranya orang dewasa mengabaikan solat, mudah memaki hamun atau mempermainkan kepercayaan orang lain. Allah SWT mengingatkan dalam Surah al-Saff, ayat 2 hingga 3 tentang keburukan mengatakan sesuatu yang tidak dilakukan. Pendidikan melalui teladan jauh lebih berkesan apabila nasihat disertai amalan.
Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik penghayatan al-Quran. Ketika Saidatina Aisyah RA ditanya mengenai akhlak Baginda, beliau menjelaskan bahawa akhlak Rasulullah SAW ialah al-Quran. (Riwayat Muslim, hadis 746) Ertinya, petunjuk al-Quran terpancar melalui kesabaran, keadilan, kasih sayang, amanah dan hubungan Baginda dengan manusia. Inilah gambaran pendidikan al-Quran yang patut menjadi aspirasi setiap keluarga Muslim.
Cabaran semakin besar dalam masyarakat terutama dalam era digital yang dipenuhi pelbagai maklumat, fitnah dan budaya mengejar perhatian. Seseorang mungkin mampu memperdengarkan hafazan dengan merdu melalui media sosial, tetapi masih perlu dididik supaya menjaga adab ketika berinteraksi di laman sosial. Surah al-Hujurat, ayat 6 mengajar kepentingan menyemak berita manakala ayat 11 dan 12 melarang menghina, berprasangka buruk serta mengumpat.
Pada peringkat masyarakat dan negara, penghayatan al-Quran berupaya membentuk manusia yang berintegriti, bertanggungjawab dan menghormati hak orang lain. Pelajar yang memahami amanah akan menjauhi penipuan akademik. Pekerja yang menghayati keadilan tidak mudah mengkhianati tanggungjawab. Pemimpin yang menjadikan al-Quran sebagai pedoman pula seharusnya mengutamakan kebajikan rakyat berbanding kepentingan dan keuntungan peribadi semata-mata.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’, ayat 9 bahawa sesungguhnya al-Quran memberikan petunjuk ke jalan yang paling lurus. Petunjuk tersebut perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memberikan manfaat kepada manusia. Pendidikan al-Quran yang berkesan bukan sekadar melahirkan individu yang mampu menjawab soalan hafazan, tetapi insan yang tahu membuat keputusan berdasarkan prinsip benar, adil dan berakhlak.
Rasulullah SAW turut mengingatkan bahawa al-Quran menjadi hujah yang membela atau menentang seseorang. (Riwayat Muslim, hadis 223) Peringatan ini menuntut muhasabah tentang hubungan kita dengan kitab Allah. Adakah al-Quran sekadar menghiasi rak, sekadar dibaca untuk keberkatan dan diperdengarkan dalam majlis atau benar-benar membimbing pemikiran, cara percakapan serta tingkah laku perbuatan kita?
Kesimpulannya, jangan jadikan hafazan sebagai pertandingan kebanggaan semata-mata. Raikan anak yang menghafaz al-Quran, namun bimbing juga hatinya memahami pesanan Allah. Negara memerlukan generasi yang bukan sahaja profesional dan cemerlang intelektualnya, tetapi kukuh iman dan luhur akhlaknya. Biarlah al-Quran bukan sekadar tersimpan dalam ingatan, tetapi hidup dalam tindakan. Kerana kemuliaan sebenar bukan hanya pada banyaknya ayat yang dihafaz, tetapi sejauh mana petunjuk Allah membentuk kehidupan kita.