
Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashimh
ISU berkaitan status halal produk makanan yang kembali menjadi perhatian masyarakat termasuk kes melibatkan industri ayam, memperlihatkan bahawa persoalan integriti halal negara masih memerlukan perhatian serius.
Walaupun Malaysia telah membangunkan sistem pensijilan halal yang menjadi rujukan di peringkat antarabangsa, kejadian berulang berkaitan pematuhan halal menimbulkan persoalan tentang keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan dalam keseluruhan rantaian bekalan makanan.
Hakikatnya, halal bukan sekadar logo pada bungkusan produk, sijil yang dipamerkan di premis perniagaan atau pengiktirafan untuk meningkatkan daya saing sesuatu jenama. Halal amanah agama, tanggungjawab undang-undang dan jaminan integriti kepada pengguna. Justeru, semua pihak yang terlibat dalam industri makanan perlu memahami pematuhan halal tidak berakhir selepas memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), sebaliknya perlu dipelihara secara berterusan.
Halal bukan tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata
Dalam konteks industri makanan moden, pematuhan halal melibatkan proses yang panjang dan kompleks. Ia bermula daripada sumber bahan mentah, pemilihan pembekal, penyembelihan, pemprosesan, penyimpanan, pengangkutan, pengedaran sehinggalah produk sampai ke tangan pengguna.
Sebagai contoh, dalam industri ayam, persoalan halal bukan hanya berkaitan kaedah penyembelihan. Ia turut melibatkan kebajikan haiwan, pematuhan prosedur penyembelihan, pengendalian bangkai, pencemaran silang, kebersihan peralatan dan integriti dokumentasi. Kegagalan pada mana-mana peringkat boleh menjejaskan keyakinan terhadap keseluruhan rantaian bekalan.
Oleh itu, pengilang, pemborong, pengimport, pengedar dan peniaga tidak boleh meletakkan tanggungjawab halal sepenuhnya di bahu pihak berkuasa. Mereka perlu mempunyai sistem jaminan halal dalaman yang berkesan, bukan sekadar menyediakan dokumen apabila pemeriksaan dilakukan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”
Ayat ini memperlihatkan bahawa tuntutan makanan bukan hanya halal, tetapi juga baik atau tayyib. Oleh itu, industri makanan perlu menjadikan pematuhan halal sebagai budaya organisasi dan bukan sekadar memenuhi syarat pensijilan.
Penguatkuasaan perlu beralih daripada reaktif kepada proaktif
Satu persoalan yang sering dibangkitkan masyarakat ialah mengapa sesetengah isu halal hanya mendapat perhatian meluas selepas tular di media sosial. Apabila pengguna berkongsi gambar, video atau dakwaan berkaitan sesuatu produk, barulah pemeriksaan dan kenyataan rasmi kelihatan mendapat perhatian umum.
Persepsi sedemikian perlu diberikan perhatian kerana keyakinan masyarakat terhadap sistem halal bukan sahaja bergantung kepada kewujudan peraturan, tetapi juga kepada sejauh mana peraturan tersebut dilaksanakan secara konsisten.
Bagaimanapun, kita perlu berlaku adil. Tidak semestinya sesuatu tindakan hanya bermula selepas isu tular. Ada kemungkinan proses pemantauan dan siasatan berjalan lebih awal, tetapi tidak didedahkan kepada umum atas sebab tertentu termasuk keperluan mengumpulkan bukti dan mematuhi prosedur perundangan.
Namun begitu, pihak berkuasa perlu memastikan penguatkuasaan tidak dilihat terlalu bergantung kepada aduan orang awam. Pendekatan yang lebih berkesan ialah melaksanakan pemeriksaan berkala, audit mengejut, pemantauan berasaskan risiko dan pengesanan awal terhadap sebarang ketidakpatuhan.
Dalam hal ini, pihak berkuasa perlu bergerak lebih pantas daripada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap kelemahan sistem. Penguatkuasaan yang berkesan bukan sekadar bertindak apabila berlaku pelanggaran, tetapi berupaya mencegah pelanggaran sebelum ia berlaku.
Jangan jadikan agensi agama sekadar tempat mendapatkan pengiktirafan
Peranan agensi agama dalam ekosistem halal amat penting. Namun, perlu difahami bahawa pensijilan, pemantauan dan penguatkuasaan melibatkan fungsi serta bidang kuasa yang berbeza. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri memainkan peranan penting dalam pensijilan serta pemantauan halal manakala agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Kementerian Kesihatan Malaysia turut mempunyai tanggungjawab berdasarkan bidang kuasa masing-masing.
Oleh itu, isu halal tidak boleh diletakkan di bawah tanggungjawab satu institusi sahaja. Kerjasama rentas agensi perlu diperkukuh supaya tidak berlaku pertindihan tugas, kelewatan tindakan atau jurang pemantauan.
Pada masa yang sama, kita tidak wajar melabelkan pihak berkuasa agama sebagai sekadar ‘tukang cop sijil’. Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana sistem sedia ada boleh diperkasakan supaya pensijilan disusuli pemantauan yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Kerajaan juga perlu menilai keperluan menambah pegawai berkemahiran dalam bidang sains makanan, bioteknologi, analisis DNA dan teknologi pengesanan bahan. Hal ini penting kerana isu halal masa kini semakin kompleks dan tidak lagi boleh diselesaikan melalui pemeriksaan dokumen semata-mata.
Netizen sebagai rakan strategik, bukan pengganti penguat kuasa
Pada era digital, masyarakat mempunyai keupayaan menyampaikan maklumat dengan pantas. Perkongsian pengguna di media sosial kadangkala membantu mendedahkan isu yang memerlukan perhatian pihak berkuasa.
Peranan ini boleh dilihat sebagai satu bentuk kawal selia sosial atau social accountability. Pengguna berhak mempersoalkan sesuatu produk dan melaporkan perkara yang diragui, khususnya apabila melibatkan kepentingan agama, keselamatan makanan dan hak pengguna.
Namun, laporan masyarakat perlu disusuli penelitian dan pengesahan profesional. Tidak semua maklumat yang tular tepat, dan sesuatu dakwaan tidak boleh terus dianggap sebagai bukti kesalahan. Penyebaran maklumat yang belum disahkan boleh menjejaskan reputasi individu serta syarikat secara tidak adil.
Justeru, pihak berkuasa perlu menyediakan saluran aduan yang mudah diakses dan sistem maklum balas yang telus. Pengguna wajar dimaklumkan tentang perkembangan tindakan setakat yang dibenarkan oleh undang-undang. Kenyataan bahawa siasatan sedang dijalankan perlu disusuli tindakan yang dapat dipertanggungjawabkan.
Memperkukuh ekosistem halal negara
Bagi memastikan isu halal tidak terus berulang, penambahbaikan perlu diberi keutamaan. Antaranya ialah memperkenalkan pemantauan berasaskan risiko terhadap syarikat dan premis yang ada pensijilan halal, memperkukuh sistem kebolehkesanan (traceability) produk, meningkatkan audit mengejut serta memperluas penggunaan teknologi dalam pengesanan bahan dan sumber makanan.
Selain itu, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan penipuan, menyalahgunakan logo halal atau melanggar peraturan berkaitan. Ketegasan ini hendaklah dilaksanakan secara adil tanpa mengira saiz, pengaruh atau kedudukan sesebuah syarikat.
Pada masa yang sama, industri perlu diberikan pendidikan dan bimbingan berterusan supaya pematuhan halal menjadi sebahagian daripada budaya pengurusan perniagaan.
Kesimpulannya, isu halal tidak seharusnya menjadi medan untuk industri menyalahkan pihak berkuasa, pihak berkuasa menyalahkan kekangan sumber atau masyarakat saling menuding jari.
Kita tidak mahu penguatkuasaan halal hanya kelihatan aktif apabila sesuatu isu menjadi tular. Kita mahu sistem yang mampu mengesan, mencegah dan menangani ketidakpatuhan secara konsisten sebelum pengguna menjadi mangsa.
Halal bukan sekadar sijil untuk dipamerkan, tetapi amanah untuk dipertahankan. Kejayaan sistem halal negara bukan diukur melalui jumlah sijil yang dikeluarkan, sebaliknya melalui tahap integriti industri, keberkesanan penguatkuasaan dan keyakinan masyarakat terhadap setiap produk yang mereka gunakan. Inilah asas yang perlu dipertahankan sekiranya Malaysia mahu terus menjadi peneraju dan penanda aras industri halal di peringkat antarabangsa.